Malaysia Dateline

Mengapa PKR, DAP, Warisan tidak sokong undian belah bahagi?

Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bangun untuk pengundian belah bahagi di Dewan Rakyat hari ini dilihat mengundang rasa tidak puas hati rata-rata penyokong Pakatan Harapan (PH).

Selain Anwar yang juga Presiden PKR kesemua Ahli Parlimen parti itu serta DAP turut tidak menyokong undian belah bahagi terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 atau Belanjawan 2021.

Hanya empat Ahli Parlimen Pejuang termasuk Tun Dr Mahathir Mohamad dan AMANAH (6) manakala masing-masing satu dari PKR, DAP dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) berbuat demikian.

Ini bermakna 13 ahli Dewan Rakyat sahaja yang berdiri untuk menyokong cadangan Mahfuz Omar (AMANAH-Pokok Sena) untuk undian belah bahagi.

Berikut senarai 13 Ahli Parlimen yang mengusulkan undian belah bahagi (en bloc) Belanjawan 2021:

Ahli Parlimen Pejuang:

1. Mahathir Mohamad (Langkawi)
2. Mukhriz Mahathir (Jerlun)
3. Amirudin Hamzah (Kubang Pasu)
4. Shaharudin Salleh (Sri Gading)

Ahli Parlimen AMANAH:

5. Mahfuz Omar (Pokok Sena)
6. Khalid Samad (Shah Alam)
7. Hanipa Maidin (Sepang)
8. Hatta Ramli (Lumut)
9. Dzulkefly Ahmad (Kuala Selangor)
10. Hasanuddin Yunus (Hulu Langat)

11. Hassan Karim (PKR-Pasir Gudang)
12. Morsi Bimol (DAP-Mas Gading)
13. Baru Bian (PSB-Selangau)

Semasa proses pengundian, dikatakan terdapat arahan menggunakan isyarat tangan untuk Ahli Parlimen PKR agar tidak bangun menyokong undian belah bahagi.

Untuk rekod, Perikatan Nasional (PN) pada masa ini mempunyai 113 Ahli Parlimen selepas wakil rakyat Gerik, Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia pada 16 November lalu.

Blok pembangkang pula terdiri daripada 107 Ahli Parlimen dengan paling ramai dari DAP (42) diikuti PKR (38), AMANAH (11), Warisan (8), Pejuang (4), PBS (2) manakala Muda dan Bebas masing-masing satu.

Pengundian hari ini masih di peringkat dasar dan akan disusuli perbahasan selama dua minggu seterusnya undian di peringkat jawatankuasa yang melibatkan kesemua kementerian.

Bacaan ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 dijadualkan pada 17 Disember depan.