Malaysia Dateline

Mengapa Sahruddin berdiam diri?

Kenyataan dari Ketua Pembangkang Johor, Hasni Mohammad yang menyatakan bahawa beliau cukup mandat untuk menubuhkan kerajaan baharu adalah suatu perkara yang mengejutkan seperti wujud perbincangan antara PPBM, Pas dan BN di negeri ini.

Secara umumnya, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal juga sehingga kini tidak memberi respon berkenaan kenyataan yang disuarakan oleh Hasni. Ia terus menerus menimbulkan perasaan tertanya-tanya yang berlaku di negeri ini.

Maklumat dalaman yang diperolehi, terdapat pimpinan PPBM yang berjaya dihubungi berkata wujud penolakan pembentukan kerajaan negeri bersama BN dan Pas. Hal itu turut dinyatakan oleh salah seorang Adun PPBM yang hanya menantikan isyarat dari peringkat pusat atau lebih tepat ‘langkah Tun’ dalam membentuk kerajaan baharu.

Ini jelas memberikan gambaran serta menyanggah kenyataan dari Pengerusi Umno Johor yang mempercayai beliau cukup untuk membentuk kerajaan negeri. Parti-parti PH Johor lain juga dikatakan setia bersama dengan konsesus PH.

AMANAH, PKR dan DAP tetap utuh untuk membuat keputusan membelakangkan kenyataan dari Hasni. Hanya yang terkecuali adalah Adun Pemanis dari PKR Dr Chong Fat Full yang memilih untuk bersama dengan barisan terbaru yang dicanang Hasni.

Sumber sahih pula memberitahu Tun Dr Mahathir akan bersama dengan Pakatan Harapan (PH). Maklumat ini jelas apabila terdapat Adun-Adun dari PPBM Johor yang hanya menantikan isyarat dari Tun untuk mereka membuat langkah.

Sekali lagi BN melalui Hasni seperti terjerat dan ini juga akan menjerat Sahruddin yang sebegitu selesa tanpa mengeluarkan kenyataan berhubung keadaan kerajaan negeri. Sahruddin tidak seharusnya mendiamkan diri dalam keadaan sekarang dan itu mencerminkan kredibiliti beliau seolah-olah bersetuju dengan kenyataan Hasni itu.

Selain itu, Sahruddin juga umum diketahui adalah kem PPBM yang menyokong Muhyiddin Yassin. Antara faktor adalah penjawatannya yang memegang jawatan MB itu adalah ehsan dari desakan Muhyiddin yang menginginkan beliau sebelum ini.

Sahruddin adalah individu yang tidak mencerminkan langsung kesinambungan PH dalam negeri ini dan tindakannya yang membuat hubungan sulit dengan BN dan Pas dilihat salah satu pengkhianat di Johor.

Tun bakal mengumumkan pendiriannya untuk bersama PH dan gambaran awal ini akan membawa perubahan mekanisme dalam langkah Adun-Adun PPBM di Johor. Perubahan ini jelas diwatakkan oleh Adun yang pro-Tun bukanlah dari kalangan mereka yang pro-Muhyiddin seperti MB Johor.

Strategi dan langkah untuk membentuk kerajaan baharu membelakangkan parti komponen PH yang lain serta bersama dengan musuh sebelum ini adalah suatu langkah yang rapuh.

Inilah yang boleh ditafsirkan oleh pemerhati politik untuk membuat keputusan bahawa kerapuhan ini akan mencerminkan siapakah diri MB Johor sebenar iaitu ‘pengkhianat’.