Malaysia Dateline

Mengapa saya ucap salam takziah DBP

Memang itu reaksi spontan saya apabila mendengar berita pelantikan Ketua Pengarah baru DBP. Ramai pihak yang mengucapkan tahniah kepada pelantikan itu melalui media sosial. Saya mengucapkan takziah.

Mengapa saya ucap takziah? Sebabnya adalah personal. Itu reaksi personal saya. Saya merasakan harapan saya sudah tidak ada lagi kepada institusi itu. Sudah putus hubungan. Apakah wajar saya ucapkan tahniah?

Tentulah hipokrit kalau saya ucap tahniah. Tetapi apakah perlu saya mengumumkan reaksi personal saya itu di dalam media sosial? Mengapa saya tidak diam sahaja?

Persoalan ini sebenarnya adalah persoalan umum. DBP itu sebuah institusi penting di Malaysia. Kewujudannya tak dapat dipisahkan dengan sejarah perjuangan dan perjalanan sebuah negara-bangsa Malaysia, khasnya dengan orang/bangsa Melayu. Dan reaksi personal saya itu adalah dalam konteks itu.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik sendiri yang mendorong saya ke arah beremosi dan bereaksi demikian. Tidak lama selepas menjawat jawatan Menteri Pendidikan dia meminta pihak DBP menjemput saya menjadi panel sebuah forum mengenai DBP, yang diadakan di DBP. Panel lain bersama saya ialah Hishamuddin Rais dan Eddin Khoo, manakala moderatornya Dr Muhaimin Sulam.

Kemudian saya bersama kawan-kawan dalam PAKSI (Seniman Paksi Rakyat) pernah berjumpa Dr Maszlee di pejabatnya dan berbincang beberapa perkara mengenai budaya khasnya mengenai DBP. (Ini adalah dalam siri “Dialog PAKSI dengan Menteri-menteri” – yakni menteri-menteri kerajaan Malaysia baru.)

Tak perlulah saya ceritakan semua isi perbincangan itu di sini, termasuk beberapa janjinya yang menyambut dan meraikan perjuangan seni-budaya PAKSI.

Status fesbuk saya “Salam takziah DBP” yang mendapat perhatian pihak Malaysiakini dan mendorong wartawannya Nadia Azam menghubungi saya dan membuat laporan berita “Dinsman ‘berkabung’ terima berita KP baru DBP” itu sebenarnya tidaklah ditujukan kepada KP baru DBP, tetapi ditujukan kepada Menteri Pendidikan.

Saya menyatakan ‘takziah’ itu bermakna saya tidak lagi mengharapkan apa-apa pada DBP, dengan pelantikan KP barunya itu, sepertimana saya
beberapa tahun sebelumnya dinafikan apa-apa hubungan dengan DBP oleh pihak DBP yang (saya dimaklumkan) diinisiatifkan oleh pihak TKPnya waktu itu.

Dan seperti saya nyatakan kepada Nadia Azam pada 14 Januari itu, kekecewaan kepada DBP itu adalah juga kekecewaan kepada kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan yang bukan sahaja banyak memungkiri janji Manifestonya tetapi juga janji-janji mereka yang ditaburkan selepas mereka berkuasa.

“DBP itu sebuah institusi yang penting sekiranya kita mahu memajukan bangsa Melayu. Sayangnya potensi itu disia-siakan saja selama ini.” Itu komen saya kepada masukan fesbuk sahabat saya Ahmad Nizam Hamid, seorang peguam, yang berkongsi laporan berita Malaysiakini berkenaan.

Dan itulah juga pandangan sahabat-sahabat saya dalam PAKSI terhadap DBP. Bahawa kami melihat DBP itu sebuah institusi penting bukan sahaja untuk kemajuan bahasa dan sastera Melayu, tetapi juga untuk kemajuan bangsa Melayu itu sendiri; kerana bahasa adalah jiwa suatu bangsa.

DBP boleh berperanan aktif untuk memajukan bangsa Melayu, sekiranya segala potensi ke arah itu digerakkan secara bijaksana dan berstrategi, dengan penuh sedar. Tetapi malangnya selama ini bukan sahaja potensi itu tidak pernah dipedulikan, malah peranannya memajukan bahasa dan sastera Melayu pun tidak kesampaian.

Manakala episod Dawama adalah suatu tragedi yang meninggalkan luka-luka yang masih belum sembuh.

Dan kekecewaan terbaru ini menyebabkan saya pun menyemak semula tulisan-tulisan saya dalam kolum di akhbar Harakah, yang pernah saya tulis berkaitaan DBP. Satu darinya ialah “Yasin-Puisi ‘Selamatkan DBP’ di Warung Rakyat”, bertarikh 21.3.2011, yang telah saya angkat ke dalam fesbuk saya 12 Januari lalu.

Ada sembilan lagi tulisan saya dalam kolum di Harakah itu yang menyentuh DBP, bermula daripada “Langkah mundur dan pandir tamadun ke-98” pada 30 April 2010; diikuti dengan “Siapa peduli apa pun berlaku pada DBP” (21.2.2011); “Majlis baca Yasin untuk selamatkan DBP?” (11.3.2011).

Seterusnya “Mari kita ingati peristiwa besar menjelang Ogos ‘57” (17.6.2011); “Bila Prof Shaharir berkuliah di warong rakyat” (27.6.2011); “Dawama dah tutup, DBP nak ke mana?” (5.8.2011); “Kembalinya Hassan Ahmad” (9.9.2011); “Daulat bahasa Melayu dan jatidiri bangsa” (7.11.2011); dan “Harapan pada Awang Sariyan di DBP” (13.2.2011).

Selepas itu saya tidak menulis lagi mengenai DBP dalam kolum di Harakah, juga di The Malaysian Insider, dan mingguan Amanah.

Sekarang saya kembali menulis mengenai DBP. Bukan kerana saya tidak suka kepada KP yang baru dilantik itu, tetapi kerana saya kecewa dengan pihak yang lebih di atas daripada itu.

Seperti yang saya jelaskan kepada wartawan Malaysiakini, saya dan PAKSI mempunyai beberapa perancangan program seni-budaya yang telah dibincangkan bersama Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, dan kami telah bersetuju untuk melaksanakannya (yakni sebahagian daripadanya) bersama DBP.

Malah satu daripadanya, iaitu Seminar Teater Islam Dunia, telahpun selesai dilaksanakan dengan jayanya (melalui Pusat Teater Islam Dunia – PTID), di Dewan Bahasa dan Pustaka, pada 22 Disember lalu. Segala perbelanjaannya dibiayai oleh Kementerian Pendidikan. Terima kasih Dr Maszlee!

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Dr Hatta Shaharom nampak sangat gembira dengan seminar tersebut dan dengan PTID, lalu beliau berjanji untuk menyediakan suatu sanggar PTID di DBP. Dan Datuk Awang Salehuddin yang waktu itu masih TKP DBP berbisik kepada saya – dia akan dapatkan sebuah bilik yang sesuai di DBP untuk dijadikan pejabat PTID.

Sekarang, setelah ucapan takziah telah dilafazkan kepada DBP, segala perancangan seni-budaya yang dibincang dan disetujui bersama menteri Dr Maszlee itu pun tetap akan dilaksanakan oleh PAKSI, walaupun tanpa penglibatan atau kerjasama dari pihak DBP. Insya Allah.