Malaysia Dateline

Mengapa semangat asabiyah kembali merebak

Sebahagian besar daripada penyokong Parti Amanah Negara bukan saja adalah orang Melayu dan Islam tetapi juga merupakan bekas pendukung Pas.

Sementara sebahagian daripada mereka itu menyertai gerakan Islam pada masa era apa yang disebut sebagai kebangkitan Islam, iaitu antara sekitar awal tahun 1980-an.

Antara ciri penting dalam kebangkitan itu adalah kesedaran terhadap konsep asabiah. Lalu apabila difahami mengenai asabiah, maka adalah jelas mengapa seseorang itu perlu menentang perkauman atau rasisme, dan kebangsaan atau nasionalisme.

Pemimpin-pemimpin Pas ketika itu, termasuk Abdul Hadi Awang yang merupakan Naib Yang Dipertua Pas turut menjelaskan apa erti asabiah.

Banyak anak-anak muda Melayu Islam menyertai Pas ketika itu adalah antara lain kerana kefahaman mereka mengenai asabiah.

Dengan mengenalpasti bahawa Umno adalah pengamal sekularisme, nasionalisme, rasisme yang dikaitkan dengan konsep asabiah, maka adalah mudah bagi pendukung gerakan Islam yang bergabung dengan Pas untuk menentang Barisan Nasional.

Bersikap menentang asabiah merupakan suatu pendirian yang radikal dan berilmu. Tanpa sikap radikal dan berilmu ini sukar untuk menentang asabiah kerana ia merupakan naluri manusia untuk cenderung ke arah membela kaum sendiri walaupun ia berada di pihak salah.

Walaupun rasisme itu boleh disifatkan sebagai asabiah, tidak semua nasionalisme adalah asabiah. Sementara itu ada asabiah yang wujud di luar daripada perkauman dan kebangsaan, umpamanya asabiah yang bersifat kepartian.

Dalam tradisi Islam, asabiah merujuk kepada suasana masyarakat Arab yang bersifat suku kaum. Apa yang dikatakan sebagai asabiah ialah sikap menyokong kaum sendiri walaupun atas perbuatan mungkar atau zalim. Maksudnya, perbuatan mungkar atau zalim mesti ditentang walaupun dilakukan oleh suku kaum sendiri.

Pada zaman Rasulullah s.a.w., belum wujud lagi apa yang kini dikenali sebagai kaum atau ras, perkauman atau rasisme, bangsa atau nasion, kebangsaan atau nasionalisme, dan juga parti politik. Yang ada ialah kabilah, keluarga besar dan suku kaum atau tribe.

Apa yang disebut kaum atau bangsa pada masa itu berbeza dengan apa yang difahami pada waktu ini. Kaum merujuk pada kumpulan manusia yang ada ciri-ciri tertentu, umpamanya kaum Quraisy, kaum Musyrikin dan kaum Munafik.

Dalam zaman moden, khususnya selepas Perang Dunia Kedua, istilah perkauman dan rasisme serta kebangsaan dan nasionalisme sudah membawa maksud yang berbeza, itupun di tempat yang lain, ia membawa makna berlainan.

Rasisme adalah sikap eksklusif yang membenci kaum lain. Ia juga berkaitan dengan keagungan (supremasi) kaum tertentu di atas kaum lain. Tetapi Islam menolak rasisme. Tidak ada keagungan sesuatu kaum di atas kaum yang lain.

Manusia adalah setaraf di sisi Allah s.w.t. Perbezaan kedudukan manusia hanya terletak pada takwa, yang ukurannya pada seseorang hanya diketahui oleh Allah s.w.t Apa yang dapat dilihat oleh manusia hanyalah sifat zahir mereka. Tidak boleh mana-mana manusia yang boleh menetapkan keagungan seseorang.

Allah s.w.t mencipta kepelbagaian kaum supaya saling kenal mengenal. Taaruf antara kaum itu adalah supaya boleh bekerjasama untuk melakukan kebaikan, bukannya saling bermusuh-musuhan, apatah lagi berbunuh sesama sendiri.

Apa yang disebut sebagai rasisme selepas Perang Dunia Kedua merujuk pada dua perkara. Pertama, rasisme di Amerika Syarikat yang merendahkan martabat kemanusiaan mereka yang berkulit hitam. Kedua, anti-semitisme di Jerman yang
menyifatkan orang Yahudi sebagai punca segala kejahatan.

Kedua-duanya dikaitkan dengan fahaman keagungan orang kulit putih atau White Supremacy. Ia juga berkait pada keagungan bangsa Aryan yang di dalamnya adalah orang Jerman dan Parsi. Maka nasionalisme yang dianjurkan oleh Jerman bersifat eksklusif di mana fahaman fasisme Nazi menuntut supaya hanya Jerman merupakan bangsa yang layak untuk menerajui dunia.

Konsep nasionalisme Jerman yang keji ini berbeza daripada fahaman kebangsaan yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan tanah-tanah jajahan Barat selepas Perang Dunia Kedua. Kebangsaan dan nasionalisme mereka ini pada asasnya bersifat inklusif.

Bangsa yang dimaksudkan pada pejuang-pejuang nasionalis ini adalah berbentuk penyatuan anak-anak tanah jajahan dalam kawasan tertentu untuk merdeka daripada penjajahan dan menubuhkan sebuah negara yang berkedudukan setaraf dengan bekas penjajahnya.

Contoh terbaik ialah Indonesia. Ia merupakan negara yang mempunyai kebangsaan yang inklusif, semua penduduk Indonesia merupakan warga negara bangsa setaraf tanpa mengira kaum, suku kaum dan keturunan mereka termasuklah yang nenek moyang mereka Cina, atau Belanda sekalipun.

Gagasan kebangsaan inilah juga yang dibawa oleh pejuang-pejuang kemerdekaan awal Malaya. Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) memperjuangkan kemerdekaan untuk semua kaum di Malaya. Ia dinamakan Melayu kerana pada masa itu kebangsaan Malaya itu adalah juga ditampilkan sebagai kebangsaan Melayu. Ini kerana pada tahun 1945 itu, Malaya ini terdiri daripada negeri-negeri Melayu.

Parti politik berhaluan Islam pertama di Malaya, Hizbul Muslimin juga mendukung kebangsaan Melayu atau Malaya yang dikemukakan oleh PKMM. Sebab itulah mereka boleh bergabung dengannya dalam Pusat Tenaga Rakyat (Putera) pimpinan PKMM.

Malah Umno sendiri mendukung kebangsaan Melayu yang bersifat inklusif. Penentangannya terhadap Malayan Union adalah pada asasnya kerana tindakan pihak British membelakangkan orang Melayu yang pada masa itu merupakan rakyat kepada Raja-raja Melayu.

Hakikat bahawa Umno yang pada awalnya turut disertai oleh PKMM adah pendukung kebangsaan Melayu yang inklusif dapat dilihat daripada keyakinan pengasasnya Dato Onn Jaafar yang mahu menjadikan Umno sebagai Pertubuhan Kebangsaan Malaya Bersatu.

Pada masa itu, apa yang disebut sebagai perkauman adalah sifat benci antara kaum yang membawa kepada pergaduhan selepas Perang Dunia Kedua apabila Bintang Timur menculik, mendera dan membunuh orang Melayu yang dituduh sebagai tali barut Jepun.

Kebangsaan Melayu yang bersifat inklusif ini kemudiannya turut dilaksanakan oleh Perikatan Umno-MCA-MIC. Sementara Pas di bawah kepimpinan Dr Burhanuddin Al-Helmy, bekas presiden PKMM turut mendukung kebangsaan Melayu atau Malaya.

Ketika penubuhan Malaysia, Tunku Abdul Rahman juga membawakan kebangsaan Malaysia. Kesediaan Perikatan bekerjasama dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura yang mengemukakan gagasan Malaysian Malaysia dengan juga mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Malaysia adalah juga menandakan dukungan terhadap konsep Kebangsaan Malaysia.

Namun begitu, harapan kebangsaan Malaysia ini tergugat. Sebahagian besar penyokong-penyokong Umno menjadi rasis, dalam erti kata timbulnya perasaan curiga yang membawa kepada kebencian pada orang Cina dan India.

Perasaan perkauman muncul dari kedua-dua belah pihak. Ia boleh menjadi suatu lingkaran syaitan, aksi menimbulkan reaksi. Emosi dan sentimen itu boleh jadi akibat perasaan inferior complex, superior complex, insecurities, siege mentality dan racial anxiety. Ia juga melibatkan soal sosial, ekonomi dan politik.

Daripada perbalahan Perikatan-PAP yang membawa kepada pemisahan Singapura, Peristiwa 13 Mei dan Dasar Ekonomi Baru yang melaksanakan positive discrimination dan affirmative action berpihak pada orang Melayu.

Orientasi Pas di bawah pimpinan Datuk Asri adalah berbeza daripada semasa Dr Burhanuddin dan Zulkifli Mohamad apabila parti itu turut mendukung gagasan Barisan Nasional.

Pas di bawah pimpinan Yusof Rawa dan Fadzil Noor adalah bersifat global dan universal, tidak rasial. Unsur-unsur perkauman tetap ada tetapi ia dapat dibenamkan ketika golongan “progresif” masih ada dalam parti itu.

Apabila Pas tiba-tiba berubah haluan dan bermesra dengan Umno atas platform Melayu-Islam, maka golongan progresif ini keluar yang akhirnya menubuhkan AMANAH atas platform Rahmatan Lil Alamin. Platform ini merupakan lanjutan kepada sikap menentang asabiah yang konsepnya pernah ditekankan oleh Pas dahulu.

Sememangnya dalam negara terdapat isu-isu perkauman yang perlu diselesaikan. Tetapi perasaan membenci kaum lain hingga membawa kepada pergaduhan tidak ada tempat dalam perjuangan atas landasan Rahmatan Lil Alamin. Kebangsaan yang didukung ialah kebangsaan Malaysia dalam konteks kemanusiaan dan keharmonian sejagat.

Kaum adalah untuk kenal satu sama lain, dan bukannya bagi menetapkan siapa tuan, dan siapa yang menjadi orang suruhan.