Mengapa Shahidan cium tangan Anwar?

Mengapa Shahidan cium tangan Anwar?

Tular di media sosial gambar Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim mencium tangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Foto yang dirakam di bangunan Parlimen hari ini turut menyaksikan kehadiran beberapa pemimpin PKR dan Pas.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam gambar tersebut jelas sedang melihat aksi Shahidan yang dikenali kerap tampil dengan imej bersongkok itu.

Untuk rekod, Anwar, 72, hanya empat tahun lebih tua daripada Shahidan.

Aksi Shahidan itu berlaku ketika isu peralihan kuasa Perdana Menteri antara Anwar dan Tun Dr Mahathir Mohamad masih diperkatakan.

Seminggu sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Shahidan mengkritik Dr Mahathir yang merupakan Pengerusi Bersatu.

Walau bagaimanapun, nada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu terhadap Dr Mahathir kemudiannya lebih lunak sejurus BN kecundang.

Bahkan, Shahidan menyalahkan media yang dakwanya salah lapor kenyataannya berhubung Dr Mahathir.

Pada April lalu pula, Shahidan yang merupakan Ahli Parlimen Arau mempertahankan Dr Mahathir daripada diserang dan digelar sebagai diktator oleh pihak tertentu.