Mengapa solat jenazah hulur sampul?

Oleh ARIF ATAN

Zaman dulu, mungkin kerana tidak ramai orang tahu cara solat jenazah. Tidak ramai orang ada masa untuk hadir solat jenazah.

Waris yang banyak duit mahu lebih ramai orang berdoa untuk jenazah. Mahu orang saleh doakan jenazah. Waris, anak atau saudara-mara si mati tidak tahu solat jenazah. Jiran-jiran hampir tidak tahu cara solat jenazah.

Oleh itu, waris akan jemput orang jauh, terutamanya tok guru pondok bersama-sama pelajarnya untuk hadir solat jenazah.

Jika tak jemput orang luar (misalnya orang pondok), jenazah mungkin hanya disolati oleh imam (jika imam tak sibuk) dan 2 atau 3 orang masjid (jika mereka pun tak kerja).

Orang dulu kerja sendiri di bendang, di ladang, di estet yang kadang-kadang begitu sukar untuk hadir solat jenazah. Jika tinggal kerja, tak berasaplah dapur.

Apabila mereka hadir solat jenazah, kadang-kadang mereka kena tinggalkan kerja seketika, atau tinggalkan waktu belajar untuk pergi ke tempat jenazah.

Pergi pula dengan kereta (satu kereta empat orang) yang tentunya pergerakan dengan kereta melibatkan kos. Maka, rombongan yang hadir solat jenazah diberi saguhati kehadiran.

Tak banyak pun. Kadar biasa 3 ringgit, atau kalau orang kaya, 5 atau 10 ringgit. Duit minyak juga diberi kepada pemilik kenderaan dengan kadar yang sesuai mengikut jarak.

Ada waris yang sengaja panggil pelajar pondok solat jenazah sebab berniat untuk bersedekah kepada pelajar pondok. Kerana pelajar pondok dulu-dulu bukan macam pelajar asrama zaman sekarang. Bagi pelajar pondok, 3 ringgit tahan seminggu.

Kita kena faham situasi sebelum mengeluarkan hukum untuk sesuatu situasi atau keadaan termasuk beri duit jika hadir solat jenazah. Hal ini kerana, hukum terhadap sesuatu perkara adalah cabang daripada gambaran perkara itu.

Saya duduk dalam pondok. Orang yang tak duduk dalam pondok, tentu tak berapa faham situasi yang saya ceritakan ini.