Malaysia Dateline

Mengapa SPR bimbang pemantau antarabangsa jika proses pilihan raya telus dan bersih

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu bimbang untuk menjemput pemantau antarabangsa pilihan raya umum (PRU) dijalankan dengan bersih, bebas, adil dan berwibawa.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) berkata, pemantau pilihan raya antarabangsa akan memberi keyakinan kepada rakyat terhadap integriti dan kebolehpercayaan proses pilihan raya negara.

“Pemantauan pilihan raya adalah asas sebuah demokrasi yang progresif. Sejak dua dekad yang lepas, jutaan rakyat dari lebih 90 buah negara telah membenarkan pemantauan pilihan raya secara sah dan secara bebas.

“Bersih 2.0 mencabar SPR untuk menjemput pemantau antarabangsa dan membenarkan pemantau dalam negara kepada badan-badan yang bebas jikalau SPR benar-benar yakin dengan kebersihan dan keadilan proses pilihan raya di Malaysia,” kenyataan Bersih 2.0 itu dipetik.

Dalam perkembangan berkaitan, Bersih 2.0 terkejut dengan kenyataan ahli majlis tertinggi Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menganggap kehadiran pemantau pilihan raya umum antarabangsa tidak diperlukan.

Menteri Pendidikan itu memberikan alasan bahawa sistem PRU yang diguna pakai hampir sama dengan sistem di negara-negara lain justeru tidak memerlukan pemantauan.

“Kenyataan beliau jelas menunjukkan kecetekan pemahaman beliau terhadap demokrasi dan proses pilihan raya. Hari ini, pemantauan pilihan raya adalah satu ‘amalan terbaik’ (best practice) pilihan raya di seluruh dunia.

“Cuma negara yang tidak demokratik akan menghalang pemantauan atau memanipulasi operasi pemantauan,” kata kenyataan itu.

Pada masa ini, antara negara yang mengamalkan sistem PRU seperti di Malaysia adalah Indonesia, Bangladesh, Pakistan, Nepal, Kenya, Myanmar, Filipina dan sebagainya.

“Negara-negara ini membenarkan pemantauan pilihan raya kerana, mereka faham akan keperluan menjaga dan memelihara integriti PRU di negara mereka.

“Bahkan ini juga menunjukan keterbukaan negara-negara tersebut untuk belajari dari lemahan yang sedia ada ke arah sebuah sistem yang lebih cekap dan berkesan.

“Suka kami mengingatkan Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa, Malaysia sendiri pernah menjemput badan bebas daripada luar negara untuk memantau PRU di Malaysia sekitar tahun 90-an,” ujar Bersih 2.0.

Mengulas lanjut, Bersih 2.0 turut menjemput orang ramai untuk melaporkan insiden berkenaan kesalahan dan penipuan pilihan raya di laman web Pemantaudi pemantau.org.