Malaysia Dateline

Mengapa tidak pindahkan saja Kementerian Kewangan ke Kuala Selangor?

Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini mengumumkan Kuala Selangor sebagai daerah angkat kementerian yang diterajuinya.

Selain mengumumkan persetujuan kerajaan mewujudkan sebuah stesen ECRL di Puncak Alam dalam daerah Kuala Selangor, beliau juga memberitahu, daerah itu ada nilai sentimental kepada dirinya.

“Saya secara peribadi sememangnya sedikit sentimental dengan daerah Kuala Selangor ini.

“Memang banyak potensi tempatan yang boleh dikembangkan dan diketengahkan,” katanya dalam majlis kenduri rakyat di Puncak Alam, Ahad lalu.

Sebagaimana diperkatakan ramai sejak akhir-akhir ini, Tengku Zafrul dikatakan sedang meninjau-ninjau kemungkinan ingin bertanding di Kuala Selangor dalam PRU15 akan datang ini.

Agaknya nilai sentimental dan pengumuman Kuala Selangor sebagai daerah angkat Kementerian Kewangan itu tidak lain kerana keinginannya untuk bertanding di kawasan itu.

Yang peliknya sebelum ini beliau ada juga turun mengadakan beberapa program di Lembah Pantai dan Kuala Pilah, tetapi tidak pula kedua-dua kawasan itu pernah disebutnya ada nilai sentimental kepada dirinya.

Tidak juga diumumkannya Lembah Pantai dan Kuala Pilah sebagai kawasan angkat kepada Kementerian Kewangan.

Dahsyat dan hebat juga nampaknya gaya orang kayangan ini dalam berpolitik!

Zafrul bulan lalu bersama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar dan belia di Puncak Alam menonton bola final Liverpool dan Chelsea sempena Karnival Belia Kuala Selangor.

Jika dah syok sangat dengan Kuala Selangor, kenapa tak dipindahkan saja seluruh Kementerian Kewangan ke kawasan itu?

Mengumumkan sesuatu kawasan sebagai daerah angkat kepada Kementerian Kewangan bukan saja tidak pernah berlaku sebelum ini, bahkan juga tidak pernah dilakukan oleh mana-mana menteri atau kementerian yang lain.

Sesebuah kementerian adalah berfungsi untuk rakyat seluruh negara dan tidak terhad kepada sesuatu kawasan saja.

Menjadikan sesebuah kawasan sebagai daerah angkat hanya akan menjadikan kementerian itu cenderung bertindak berat sebelah dan tidak adil kepada kawasan-kawasan lain.

Apatah lagi apabila menterinya sendiri mempunyai hasrat yang menggelodak dalam dada ingin bertanding di kawasan Kuala Selangor di sebalik ditolak oleh kepimpinan Umno bahagian tersebut.

Apakah selepas ini banyak peruntukan pembangunan akan dilambakkan ke Kuala Selangor, bukan saja untuk memastikan kemenangan dalam PRU15 akan datang, tetapi juga untuk “membeli jiwa” orang-orang Umno yang menolak kehadiran beliau?

Apa pun, sebagaimana dibangkitkan Anthony Loke daripada DAP semalam, perlakuan Tengku Zafrul menjadikan Kuala Selangor sebagai daerah angkat adalah suatu bentuk salah guna kementerian itu.

“Tengku Zafrul tidak sepatutnya menggunakan kedudukannya sebagai Menteri Kewangan untuk memberi kelebihan pilihan raya kepada dirinya,” ujar beliau.

Dalam hal ini, meskipun Tengku Zafrul adalah “menteri kayangan”’yang seolah-olah diturunkan daripada cakerawala, namun Perdana Menteri harus memberi teguran kepadanya agak berkelakuan betul sebagai seorang menteri dan anggota Kabinet.

Beliau tidak patut dibiarkan berbuat sesuatu mengikut selera dan kepentingan dirinya semata-mata.

Cuba bayangkan jika setiap kementerian memilih satu kawasan sebagai daerah angkat masing-masing, apa jadi akhirnya kepada fungsi semua kementerian?

Tidakkah akhirnya kementerian akan jadi seperti sebuah syarikat sendirian berhad kepada menterinya saja?

Apa pula jadinya jika beliau dipindahkan ke kementerian lain selepas ini?

Adakah Kuala Selangor akan jadi daerah angkat kepada kementerian baru yang diterajuinya pula?

Baca juga ‘Tidak pernah dibuat mana-mana menteri, Zafrul sangat desperado’

Baca juga Harga kereta dijangka meningkat jika GST dilaksanakan semula