Malaysia Dateline

Mengapa Umno benci sangat dengan laporan PAC, takut jerung itu adalah Najib atau Zahid ke?

Orang awam di Malaysia kini keliru: mengapa Umno kini benci terhadap laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang melibatkan RM9 billion.

Adakah mereka bimbang, jerung yang dimaksudkan oleh Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan sama ada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, dan Menteri Pertahanan ketika itu, Datuk Seri Zahid Hamidi, soal ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Veteran DAP itu dalam kenyataannya berkata, tindakan benci terhadap PAC ini dibuat sedangkan sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, telah berjanji untuk mengambil tindakan mengikut cadangan PAC terhadap skandal LCS ini.

Perkembangan terkini dalam skandal LCS ini menyaksikan Pengerusi semasa, Wong Kah Woh dan bekas Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamad kini bertikam lidah.

Wong Kah Woh dan Nur Jazlan… kenapa Umno benci sangat dengan laporan PAC padahal siasatan sepatutnya dibuat semasa Nur Jazlan menjadi Pengerusi PAC lagi.

Nur Jazlan yang juga Timbalan Pengerusi Umno Johor menuduh penggantinya, Wong Kah Woh, menyalahgunakan kedudukannya untuk membawa kelebihan kepada Pakatan Harapan.

Wong pula ketika menjawabnya mengatakan PAC adalah satu badan bipartisan dan semua laporannya diterbitkan berdasarkan persetujuan bersama.

“Adakah Nur Jazlan sedang membuat provokasi terhadap sembilan orang ahli Parlimen kerajaan (tiga orang dari Umno dan Bersatu, dua orang dari Pas, dan seorang dari PBB) dalam PAC untuk menyangkal laporan skandal LCS ini?”

“Adakah semua ini kerana Pilihan Raya Umum ke-15 yang pemimpin Umno mahu diadakan segera atau sekurang-kurangnya dalam tahun ini juga?” tanya ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.

Menurut Kit Siang, beliau akan menahan dari menulis komen dan kekecewaan beliau terhadap Nur Jazlan mengenai kegagalannya sebagai Pengerusi PAC untuk mendedahkan skandal 1MDB yang melibatkan RM50 billion dalam Parlimen ke-13 sebelum ini.

Ia dilakukan ketika Parlimen Malaysia yang telah dibuli oleh Perdana Menteri ketika itu untuk “menutup” apa yang telah digambarkan oleh Peguam Negara Amerika Syarikat sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”.

“Namun, saya masih tertanya-tanya, bagaimana seorang akauntan bertauliah boleh tertipu dengan skandal 1MDB yang melibatkan RM50 billion ini,” kata beliau.

Menurutnya, Nur Jazlan perlu ingat mengenai kenyataan Menteri Pertahanan, Hishammuddin Hussein, semasa laporan PAC mengenai skandal LCS ini dibentangkan ke Parlimen pada 4 Ogos 2022.

Hishammuddin mengatakan yang kementeriannya dan semua pemegang taruh akan mengambil kira cadangan yang telah dibuat oleh laporan PAC ini.

Hishammuddin mengatakan:

“Saya ambil maklum dapatan PAC mengenai projek LCS yang baru diterbitkan hari ini.

“Kami, di Kementerian Pertahanan (Mindef), telah memberikan kerjasama penuh dan akan terus telus dalam mengendalikan mesyuarat dan proses siasatan PAC.”

Laporan PAC mendedahkan bahawa tidak ada satu kapal pun yang telah siap dibina, walaupun Putrajaya telah membelanjakan RM6 billion untuk projek ini yang telah diberikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) melalui rundingan terus.

Pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah diabaikan oleh Kementerian Pertahanan dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).

Hishammuddin telah mengatakan yang kabinet pada bulan April bersetuju dengan Rancangan Pemulihan LCS yang memperuntukan tempoh mobilisasi selama enam bulan, membolehkan rundingan dengan pengeluar perkakasan dan juga vendor-vendor, untuk melengkapkan perolehan LCS seperti yang diperlukan oleh pihak tentera laut.

Kabinet juga bersetuju untuk membentuk sebuah jawatankuasa khas tadbir urus, yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan untuk memantau proses mobilisasi ini dan memberikan laporan kepada Kabinet.

“Saya bersetuju dengan Hishammuddin, yang untuk bergerak ke hadapan, perkara yang paling penting sekarang adalah untuk memastikan projek LCS ini dapat berjalan lancar, memandangkan aset LCS ini amat diperlukan untuk keselamatan kawasan perairan negara, selari dengan Program Transformasi Armada 15 hingga 5, dan juga demi kepentingan pihak tentera laut.

“Kerana ini jugalah saya bersetuju dengan timbalan setiausaha agung DAP, Liew Chin Tong, yang mengatakan Hishammuddin patut mendedahkan apakah kontrak tambahan kelima yang dimeterai di antara pihak Kementerian Pertahanan dengan Boustead Naval Shipyard (BNS) mengenai projek LCS ini pada 31 Mei 2022 – yang ditemui melalui rekod BNS dengan Suruhanjaya Syarikat,” kata Kit Siang.

Beliau turut bertanya, adakah baki RM3.048 billion untuk kontrak enam LCS ini diberikan kepada BNS?

Kit Siang mengingatkan Hishammuddin yang dia masih perlu menjawab dua persoalan yang beliau bangkitkan sebelum ini:

(1) Mengapakah Kementerian Pertahanan mengurangkan dari dua LCS yang perlu disiapkan oleh pihak kontraktor kepada satu LCS tanpa dana tambahan dari kerajaan sebelum kerajaan akan bergerak ke hadapan dengan projek LCS ini. Semasa Hishammuddin hadir di hadapan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada 25 Januari 2022, di bercakap mengenai “penstrukturan semula korporat” kontrak LCS dan pihak kontraktor, BNS, perlu menyiapkan dua buah LCS tanpa kos baharu kepada kerajaan.

(2) Adakah pihak kontraktor, BNS, telah bersetuju untuk menyiapkan kapal tempur pesisir pertama (LCS 1) tanpa dana tambahan dari kerajaan.

Dalam kenyataannya, Kit Siang juga berkata, Ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan, telah membuat satu kenyataan video yang menarik di laman Facebook dia sebelum ini, di mana dia menyenaraikan kes rasuah yang melibatkan beberapa agensi kerajaan atau GLC untuk membuktikan yang orang korup yang memegang jawatan tinggi ini tidak semesti ahli politik.

Dia mengatakan, menjadi satu “tanggapan salah untuk mengatakan penyelewengan, salah urus, dan perkara sebegini mesti melibatkan arahan dari “jerung” yang mestinya menteri atau perdana menteri”.

“Soalan yang lebih besar di sini, siapakah “jerung” dalam skandal LCS yang melibatkan RM9 billion ini – sama ada Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak, dan Menteri Pertahanan ketika itu, Zahid Hamidi, adalah antara “jerung-jerung” ketika itu!” tanya beliau.