Malaysia Dateline

Mengapa Umno, Pas abai proses siasatan bekas Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji?

Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang dilihat lantang di Parlimen adalah antara orang yang bertanggungjawab atas kegagalan Tabung Haji (TH) sebelum ini, kata Ketua Pemuda AMANAH Tenggara, Ridhuan Esa.

Menurutnya, terdapat tiga laporan polis terhadap Abdul Azeez yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu sebagai pengerusi TH dan juga ahli lembaga pengarah lain.

Walau bagaimanapun, Ridhuan berkata, Pas dilihat menghalakan laras serangannya kepada pihak yang memulihkan.

“Tidak kepada pihak yang bertanggungjawab meletakkan harta orang Islam dalam keadaan yang tidak berdaya saing dan pengurusan yang korup.

Ridhuan Esa

“Mengapa Umno, Pas, Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ahmad Dusuki Abd Rani tidak menekankan proses siasatan laporan polis oleh Tabung Haji kepada mantan Pengerusi serta Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengekalkan pengurusan TH sedia ada agar langkah baikpulih yang dirancang dapat diteruskan dan mencapai objektifnya.

Mengulas jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung TH tidak dikuasai oleh orang bukan Islam, Ridhuan mengucapkan tahniah kepada Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dan pengurusan TH yang berkhidmat dengan cemerlang dan berintergriti.

“Takziah kepada Asyraf Wajdi Dusuki dan Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani serta pengadu domba yang mengecam langkah memulihkan Tabung Haji dengan melempar fitnah serta tuduhan sehingga meletakkan hukum hakam agama yang melampau.

“Kerajaan Pakatan Harapan dan pengurusan Tabung Haji dituduh menjual aset orang Islam, menyerahkan harta orang Islam kepada orang kafir (DAP) dan tohmahan fitnah yamg sengaja dibuat untuk menakutkan orang Melayu dan Islam.

“Jawapan Perdana Menteri pada sesi Dewan Rakyat semalam menjawab tohmahan yang dilemparkan oleh Umno, Pas dan pengadu domba,” tambahnya lagi.