Mengapa wajah Mahathir kelihatan stress?

Mengapa wajah Mahathir kelihatan stress?

Dalam sidang akhbar sekembalinya Tun Dr Mahathir Mohamad ke Malaysia dari China, bersama beliau ialah menteri dari PKR, AMANAH dan DAP.

Wajah Dr Mahathir kelihatan stress. Mungkin penat kerana lawatan itu tetapi juga marah dengan kerajaan terdahulu hinggakan beliau menggunakan perkataan “stupid”, suatu perkataan yang jarang sangat beliau gunakan,

Beliau tidak menyalahkan China, tetapi menyalahkan orang Malaysia. Hubungan kerajaan China dengan Malaysia adalah baik. Begitu juga hubungan dengan Parti Komunis China. Tetapi hubungan dengan syarikat China adalah bersifat komersial.

Rasanya kerajaan China tak campur. Pampasan terpaksa juga dibayar. Substantial, kata Dr Mahathir. Rasanya tiada pengurangan.

Dr Mahathir kelihatan tidak gembira. Begitu juga dengan menteri-menteri itu.

Namun apa yang berlaku di Malaysia pasti menjadi maklum balas kepada pihak berkuasa di Republik Rakyat China berhubung dengan One Belt, One Road. Terdapat backlash terhadap usaha China ini bukan saja di Malaysia tetapi juga Sri Lanka dan Afrika.

Tentunya Parti Komunis China mengambil kira hal ini. Pasti ada perbincangan bagaimana mereka boleh terperangkap dengan keadaan politik di Malaysia. Pesaing utama China buat masa ini adalah Amerika. China mahu tarik sokongan sebanyak negara yang boleh.

Apabila ditanya, adakah Malaysia memihak pada China dalam soal free trade, iaitu makna kata lain dalam berdepan dengan Amerika? Dr Mahathir jawab, free trade mesti diiringi dengan fair trade. Maknanya Malaysia juga mengambil kira keluhan Trump mengenai perdagangan tidak seimbang dengan China.

Dua kali Dr Mahathir pergi ke Jepun sebelum ke China. Melihat nada katanya, tentulah ia kecewa apabila melihat Proton terlepas pada Geely. Asal mula Proton adalah dengan Mitsubishi, tetapi Jepun pun tak jaga, lepas itu Proton pergi ke Perancis pula, tetapi akhirnya yang menang di Malaysia ialah Perodua.

Projek kereta Malaysia ketiga ini, nampaknya Dr Mahathir nak buat dengan Indonesia, tetapi rasanya Prof Jomo KS, Anwar Ibrahim, DAP dan AMANAH takkan setuju.

Projek kereta nasional ini adalah asas kepada program perindustrian negara yang boleh memberikan banyak pekerjaan kepada orang muda, terutama Melayu dalam teknikal. Kalau tak, nak dapat kerja kat mana?

Tidak seperti ECRL yang tidak memberi pekerjaan teknikal pada orang Malaysia.

Dulu Dr Mahathir buat Cyberjaya untyk dijadikan Silicon Valley. Masa itu Jack Ma dan Alibaba pun belum ada. Akhirnya Cyberjaya jadi “peoperty showcase”. KRU yang ada studio kat situ pun entah ke mana.

Selama 22 tahun Dr Mahathir tak dapat melatih menteri menterinya. Musa Hitam tak menjadi. Anwar tak menjadi. Pak Lah tak menjadi. Najib Razak tak menjadi.

Jadi nasihat saya pada menteri Bersatu, PKR, DAP dan AMANAH, belajarlah dari Dr Mahathir selama dua tahun ini. Lepas itu, pandai pandailah bawa diri menghadap pilihan raya ke-15.

Umno dan Pas rasanya takkan berubah. Dulu, kini dan selamanya. Takkan kita nak kembali pada zaman purba.

—–
Zin, wartawan yang aktif pada 1980-an, pernah mengetuai Harakah dan bekas editor kanan Utusan Malaysia.

COMMENTS

Wordpress (0)