Malaysia Dateline

Mengarut, kata Dr Dzulkefly kononnya beliau setuju darurat disambung

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyifatkan mesej yang tular mendakwa kononnya beliau bersetuju darurat disambung adalah tidak benar.

“Mengarut,” kata Ahli Parlimen Kuala Selangor yang juga Pengarah Strategi AMANAH itu kepada Malaysia Dateline hari ini.

Ketika ini sedang beredar di WhatsApp tentang dakwaan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 mengesyorkan pelanjutan pelaksanaan darurat selepas Ogos.

Menerusi edaran tersebut, dimaklumkan Pengerusi jawatankuasa itu, Tun Arifin Zakaria telah tiba di Istana Negara pada pukul 9.45 pagi semalam, bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong.

“Makluman dalaman memaklumkan bahawa Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 setelah bermesyuarat, mengesyorkan kepada YDPA agar darurat kesihatan disambung,” tulis mesej itu.

Antara yang bersetuju darurat disambung ialah Tun Arifin; bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai; bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin; bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohamad Taha Arif.

Selain itu, mesej tersebut turut menyebut nama Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook; Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh; dan Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun.

Kenyataan tersebut turut mendakwa daripada 18 yang menyokong, hanya seorang sahaja membantah iaitu Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu dari PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution.