Malaysia Dateline

Mengejutkan, hanya RM130 juta peruntukan untuk 14 negeri, kata Adly

Pengerusi AMANAH Melaka, Adly Zahari melahirkan rasa terkejut dengan pengumuman kerajaan Persekutuan yang hanya memperuntukkan RM130 juta kepada 14 negeri bagi menangani kesan ekonomi kerana Covid-19.

Menurut beliau, ketika zaman Pakatan Harapan (PH) mentadbir dahulu bagi negeri Melaka sahaja katanya, kerajaan PH bersetuju memberi peruntukan RM450 juta hanya untuk mengatasi krisis air di Melaka.

“Di kala Melaka hadapi krisis air tempoh hari, kerajaan luluskan RM200 juta untuk Empangan Jernih dan Kelulusan Lisan RM250 juta untuk Fasa 3 paip air dari Gerisik. Jumlah RM450 juta untuk satu Negeri Melaka. Itupun dalam keadaan penjadualan air bukannya “zero water”.

“Bayangkan kesan ekonomi yang besar akibat Covid 19, Pakej RM130 juta untuk 14 negeri, fikirlah sendiri,” kata bekas Ketua Menteri Melaka itu di Facebooknya semalam.

Kata beliau, pada waktu ini kita bukan lagi perlu fokus Pakej Ransangan (Stimulus Package) tetapi perlu kepada Pakej Kehidupan (Survival Pakage).

“Kita jaga kita tak tepat. Kerajaan wajib menjaga rakyat. Pada mereka kuasa dan dana. Tabung simpanan rakyat adalah ikhtiar paling akhir,” katanya lagi.

Pada 23 Mac lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk menyalurkan peruntukan sebanyak RM130 juta kepada negeri-negeri untuk membantu kerajaan negeri menangani krisis Covid-19.

Katanya, peruntukan tersebut boleh digunakan untuk memberi bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil yang terjejas akibat krisis Covid-19, bantuan kepada pesakit Covid-19 dan ahli keluarga mereka serta menyediakan keperluan kepada petugas-petugas di peringkat kerajaan negeri yang terlibat dalam menangani krisis ini.