Gimnas popular Filipina mendedahkan bahawa selama ini wang kemenangannya dibolot ibunya sendiri sejak 2020.
Yulo yang meraih dua emas di temasya dalam acara senaman lantai dan melombol di Sukan Olimpik Paris baru-baru ini, mendedahkan ketegangan antara dia dan ibunya dalam satu siaran langsung di TikTok.
Dia mendakwa, sejak empat tahun lalu ibunya mengeluarkan kesemua wang hadiah yang dimenanginya tanpa memberi tahu kepadanya.
Gimnas berusia 24 tahun itu, dalam satu siaran video yang panjang berkata, ibunya yang selama ini menguruskan akaun banknya yang mengandungi wang kemenangan dari pertandingan gimnastik.
Namun ibunya mengeluarkan wang itu tanpa mendedahkan transaksi yang tepat kepadanya.
Yulo mendakwa ibunya tidak memberitahunya bahawa dia menerima pembayaran hasil wang kemenangan dari pertandingan sejak 2022 dan ibunya mendakwa jumlah itu adalah kurang daripada apa yang sebenarnya dimenangi oleh Yulo.
Yulo berkata jumlah itu sepatutnya enam angka, bukan sekadar P70,000 (RM5,446) seperti yang didakwa oleh ibunya.
“Saya tidak akan tahu bahawa dia menerima wang itu jika saya tidak periksa sendiri. Saya tidak pernah menerima insentif itu dan saya tidak pernah memintanya. Saya sudah berputus asa mengenainya; ia bukan lagi milik saya,” kata Yulo seperti dilapor Harian Metro.
Susulan tular pendedahan itu, ibunya, Angelica Yulo, menafikan tuduhan tersebut, dengan dilaporkan dalam temu bual awal minggu ini bahawa dia memindahkan wang dari akaun itu ke akaun peribadinya untuk menjaga masa depan anaknya.
Yulo berkata jumlah pembayaran itu tidak penting, tetapi mengkritik cara ibunya “menyembunyikan dan mengendalikannya tanpa izin,”.
Terdahulu syarikat perumahan FIlipina, Megaworld mengumumkan akan memberikan Olimpian negara itu kondominium di McKinley Hill yang berharga 24 juta peso (RM1.85 juta) jika berjaya membawa pulang pingat emas. Hanya Yulo yang berjaya meraih pingat untuk Filipina di Paris setakat ini.
Selain kondo, kerajaan Filipina juga akan memberikan imbuhan 10 juta peso (RM771,855) kepada Yulo.
Gimnas itu juga akan menerima ganjaran daripada beberapa syarikat lain berupa wang tunai dan barangan.
Baca juga: Habis tangan kena minyak panas kalau goreng hati ayam, rupanya ada cara tak bagi ia meletup