Malaysia Dateline

Mengenali Tamadun China dalam isu Xinjiang dan Uyghur

Xinjiang merupakan di antara daerah yang terbesar China dan terletak di barat negara tersebut. Ia juga merupakan kawasan strategik untuk Inisiatif Jalur dan Jalan (Belt and Road Initiative – BRI) terutamanya bagi Projek Koridor Ekonomi Gwaidar Pakistan.

Menariknya, Xinjiang juga membawa maksud “kawasan baharu” dalam Bahasa Mandarin. Mengambil kira ketamadunan China, kesemua negara seharusnya berdiplomasi dengan China.

Walaubagaimanapun, tamadun China tidak boleh diungkap melalui lensa positif semata, kerana ia membawa kepada sifat mengagungkan ketamadunan secara membuta tuli.

Dalam konteks ini, Xinjiang merupakan salah satu isu penting dalam perbincangan ketamadunan China.

Walaubagaimanapun, Xinjiang menghadapi masalah apabila diungkap melalui sejarah China dan tamadun moden China. Walaupun Muslim Uyghur di China mempunyai kira-kira 20 juta penduduk, sebahagian besar daripadanya telah ditangkap dan ditahan daripada berhubung dengan ahli keluarga masing-masing.

Kenyataan rasmi Kerajaan China menyatakan bahawa Muslim Uyghur telah terdedah kepada ideologi “Islam Radikal” kerana mempunyai kaitan dengan peperangan yang meletus di Afghanistan.

Walaubagaimanapun, Xinjiang telah digunakan sebagai tujuan lain, antaranya adalah sebagai salah satu kawasan ujian nuklear.

Samada masyarakat Uyghur terkesan daripada ujian nuklear yang dijalankan di Lop Nur, daripada segi kesihatan tidak dapat diketahui kerana tiada laporan dibuat.

Terdapat juga beberapa usaha oleh saintis antarabangsa untuk mengetahui kesannya. Walaubagaimanapun kemasukan ke Lop Nur dan Xinjiang telah disekat.

Sapporo Medical Center di Jepun telah menjalankan eksperimen untuk mengenalpasti kesan dan impak ujian nuklear tersebut di Xinjiang pada tahun 1962 hingga 1994.

Walaubagaimanapun, China telah mengelak daripada perbincangan tersebut dan beralih kepada masyarakat Uyghur kini diancam dengan sebaran “Islam Radikal”.

Oleh itu, China berkewajipan untuk menghapuskan elemen radikal atau militan yang terdapat pada masyarakat Uyghur.

Kerajaan China juga kurang memberi tumpuan untuk membangunkan wilayah yang besar ini, jika dibandingkan dengan pembangunan pesat seperti Pearl River Delta dan Wilayah Yang Tse, menerusi Go West Campaign yang dilancarkan oleh Kerajaan China.

Jika dakwaan Kerajaan China bahawa ideologi Islam Radikal sedang menembusi masyarakat Uyghur, ia adalah tidak logik sama sekali.

Masyarakat Muslim seluruh dunia juga percaya masyarakat Uyghur tidak pernah menjadi radikal, walaupun hanya meliputi hanya 5 peratus masyarakat Uyghur.

Oleh itu, tindakan Kerajaan China yang menahan seramai 1 juta orang Uyghur yang turut telah memisahkan seramai 550,000 kanak-kanak daripada ibu bapanya demi proses indoktrinasi adalah tindakan tidak masuk akal.

Selepas beberapa tahun menafikannya, Kerajaan China telah menyatakan bahawa pusat tahanan masyarakat Uyghur adalah hanya “Pusat Latihan Vokasional” semata.

Tambahan pula, menurut The Economist yang memetik laporan daripada Australian Strategic Policy Initiative (ASPI) pada tahun 2017, China telah memindahkan sebahagian masyarakat Uyghur ke beberapa wilayah lain di China.

Masyarakat Uyghur akan dibahagikan kepada beberapa bidang kerja dan mereka akan di kawal ketat untuk bekerja di pelbagai kilang-kilang. Malah, kehidupan masyarakat Uyghur juga turut di bawah pengawasan Kerajaan China yang ditempatkan di kilang-kilang tersebut.

Sehingga masyarakat antarabangsa, terutamanya negara-negara yang terlibat dalam inisiatif BRI ini memahami secara tuntas berkaitan isu penindasan masyarakat Uyghur atau Kazakhs di China ini, maka isu ini terdedah untuk meletus sebagai isu politik keagamaan terutamanya apabila masyarakat Uyghur seringkali dikasari oleh pihak berkuasa China.

Kerajaan China juga turut menolak dakwaan penindasan oleh masyarakat antarabangsa dan menyatakan bahawa ia adalah campur tangan asing.

Walaubagaimanapun, beberapa siri brutal dan kekejaman terhadap tahanan Uyghur seringkali memenuhi berita dunia, walaupun Kerajaan China menyatakan bahawa ia adalah usaha “rehabilitasi”.

Oleh itu, jika Malaysia ingin mempunyai peranan penting di dalam BRI, Malaysia seharusnya memberi cadangan mesra bahawa tindakan Kerajaan China yang menahan hampir 1 juta masyarakat Uyghur adalah strategi tidak berkesan.

Jika strategi menahan masyarakat Uyghur diteruskan atas nama pembelajaran semula dan proses rehabilitasi, ia berpotensi untuk disamakan ketika Perang Dunia Kedua dan Nazi Jerman.

China adalah sebuah tamadun agung dan tidak seharusnya memerlukan kesilapan seperti ini yang hanya menghadkan kemajuan ekonominya.