Malaysia Dateline

Mengenang kembali peranan Anwar, Mahiaddin dan Mahathir

Peristiwa Pertama

Menjelang Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) kerap membuat perbincangan mengenai siapakah yang akan diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri ketujuh.

Oleh kerana ketika itu Anwar Ibrahim masih di dalam penjara manakala Mahathir Mohamad pula sudah lanjut usianya maka Mahiaddin Md Yasin merasai dirinya layak dicalonkan. Di sinilah bermulanya episod kerjasama di antara Mahiaddin dengan Azmin Ali.

Mahiaddin telah menemui Anwar di mahkamah untuk mendapatkan persetujuan beliau. Janji beliau kepada Anwar akan menjadi PM untuk tempoh dua tahun sahaja dan kemudian akan menyerahkan jawatan PM sebaik selepas Anwar mendapat pengampunan dan kembali semula ke Parlimen.

Anwar dengan berlapang dada bersetuju dan menyokong cadangan Mahiaddin seterusnya meminta bawa cadangan tersebut dan berbincang dalam Majlis Presiden PH.

Lim Kit Siang juga difahamkan pernah mengusulkan nama Mahiaddin sebagai PM ketujuh sementara Anwar dibebaskan.

Sebelum cadangan itu dibawa ke Majlis Presiden PH, Mahiaddin terlebih dahulu membentangnya dalam satu mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu. Di situ, Muhyiddin turut memberitahu mesyuarat tersebut bahawa Azmin akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri jika PH berjaya membentuk kerajaan dalam PRU-14.

Cadangan Mahiaddin tidak mendapat restu dan sokongan majoriti ahli MKT Bersatu lantas perdebatan hangat telah berlaku di antara penyokong Mahathir dengan Mahiaddin.

Pertikaman lidah turut berlaku di antara Zahid Mat Arif dengan Mahiaddin.

Mahathir meminta supaya mesyuarat tidak lagi membincangkan akan isu siapa yang harus menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kerana apabila tiba masanya beliau (Mahathir) dan Tun Daim akan berbincang dengan Anwar sendiri.

Perancangan awal Mahiaddin – Azmin inilah antara punca utama mengapa Azmin menolak cadangan Majlis Presiden PH kemudiannya apabila Majlis Presiden PH telah menamakan Mahathir sebagai calon Perdana Menteri ketujuh.

Dikhabarkan Azmin dengan marah dan muka merah bertindak meninggalkan dewan mesyuarat.

Justeru, tindakan Azmin yang diketahui ramai sekarang iaitu meninggalkan Mahathir dan menyokong Mahiaddin bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Peristiwa Kedua

Peristiwa ini berlaku selepas Pakatan Harapan memenangi PRU14. Sebaik sahaja SPR mengumumkan kemenangan Pakatan Harapan, Mahathir terus bertanya kepada Mahiaddin jawatan apakah yang beliau mahu.

Mahiaddin ketika itu meminta jawatan Menteri Kewangan diberi kepadanya atas alasan beliau adalah seorang bekas Timbalan Perdana Menteri dan pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan. Mahathir bersetuju dengan permintaan Mahiaddin itu.

Setelah mendengar persetujuan dan janji Mahathir itu, Mahiaddin dengan penuh yakin pulang ke Johor Bahru untuk menyembah nama calon Menteri Besar Johor kepada Baginda Sultan.

Sekembalinya Mahiaddin ke Kuala Lumpur beliau mendapat tahu bahawa jawatan Menteri Kewangan telah diberikan Mahathir kepada Lim Guan Eng manakala beliau pula diberikan jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri.

Mahiaddin bergegas bersemuka dengan Mahathir lalu menagih janji Tun Mahathir padanya. Tun Mahathir menerangkan kepada Mahiaddin bahawa DAP telah meminta jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua.

Namun, setelah perbincangan dan sebagai tindakan tolak ansur Mahathir telah berjanji untuk melantik Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

Dengan perasaan amat kecewa dan marah dengan alasan yang diberikan Mahathir, Mahiaddin lantas memberitahu kepada Anwar bahawa beliau akan meletakkan jawatannya.

Anwar dengan tekun dan penuh hormat meminta agar Mahiaddin bersabar kerana kejayaan Pakatan Harapan menumbangkan Barisan Nasional pada PRU14 adalah lebih besar ertinya dari sebuah jawatan.

Kata Anwar, apa yang berlaku kepada Mahiaddin adalah terlalu kecil berbanding jumlah jawatan dalam Kabinet yang diberi kepada PKR walaupun PKR pada selepas PRU itu memiliki kerusi Parlimen terbanyak.

Anwar berkali-kali meminta agar Mahiaddin bersabar kerana sukar bagi beliau nanti untuk melantik Mahiaddin sebagai Timbalan Perdana Menteri jika Mahiaddin meletakkan jawatan beliau.

Pada ketika itulah Anwar berjanji akan melantik Mahiaddin sebagai TPM apabila Anwar mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Mahathir dalam tempoh dua tahun seperti yang dijanjikan oleh Tun Mahathir.

Peristiwa Ketiga

Peristiwa ini berlaku beberapa bulan sebelum Langkah Sheraton apabila Mahathir minta Mahiaddin mengharamkan Umno. Tindakan mengharamkan Umno adalah strategi akhir Tun Mahathir bilamana tidak ramai Ahli Parlimen Umno menyeberang dan menyertai Bersatu.

Matlamat akhir Mahathir ialah untuk membina Parti Bersatu sebagai pengganti Umno.

Mahiaddin bersetuju dan turut menyokong langkah ini. Fail dan dokumen untuk membatalkan pendaftaran Umno telah disediakan dan sudah pun berada di atas mejanya.

Hal ini pernah diceritakan oleh Presiden Umno, Zahid Hamidi kepada MKT Umno bagi menghalalkan langkahnya untuk berunding dengan Mahathir.

Apabila rancangan untuk mengharamkan Umno ini diketahui Anwar, beliau bergegas menemui Mahiaddin dan berhujah menyanggah tindakan itu.

Kata Anwar, Umno adalah legasi perjuangan Melayu menuntut kemerdekaan yang turut disertai ibu ayah dan keluarga kita semua. Pengharaman Umno akan menjadi satu tragedi hitam yang akan menyayatkan hati seluruh umat Melayu termasuk Raja-raja Melayu.

Kata Anwar lagi kepada Mahiaddin, jika pengharaman ini berlaku maka Tun Mahathir dan Pakatan Harapan akan dikutuk oleh orang Melayu dan kita semua akan dicatat sebagai pengkhianat bangsa.

Hujah Anwar, Umno tidak berdosa tetapi yang berdosa ialah pemimpinnya. Sekiranya Umno diharamkan sudah pasti proses di mahkamah akan memakan masa dan kerajaan PH tidak mampu menumpukan seluruh perhatian kepada pembinaan semula negara yang hampir muflis.

Lebih parah lagi rakyat akan percaya dengan dakyah pembangkang bahawa PH adalah kuda tunggangan DAP. Pakatan Harapan pasti akan kalah pada PRU akan datang.

Alhamdulillah, akhirnya Mahiaddin akur dengan hujah Anwar dan Umno terselamat darpada diharamkan.

Bayangkanlah apa yang akan terjadi kepada seluruh ahli Umno sekiranya Umno berjaya diharamkan?

Yang pasti, tentu sekali pada hari ini tidak akan wujud Perikatan Nasional jika Umno diharamkan dan sudah tentulah Mahiaddin tidak akan menjadi Perdana Menteri kelapan.

Seluruh Ahli Parlimen dan ahli Umno juga wajar berterima kasih kepada Anwar kerana sosok yang pernah difitnah dan diaibkan oleh pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli Umno inilah yang telah bertindak menyelamatkan Umno daripada diharamkan.

Maka, tepuk dada tanyalah hati berfikirlah dengan nurani yang tulus untuk menilai pengorbanan sebenar antara Anwar dengan Mahiaddin dan juga pemimpin politik yang lain.

*Artikel ini daripada bebenang Twitter Zack Rockstar yang dimuatnaik pada 30 November 2020.