Malaysia Dateline

Mengenang Pak Shukur, penulis hebat yang mencabar zaman

A Shukur Harun bukan calang-calang penulis. Seniman Agong P Ramlee sendiri pernah memuji beliau dalam pendebatannya dengan penggubah lagu terkenal Zubir Said.

Pujian P Ramlee kepada Pak Shukur dicatatkan oleh Abdullah Hussain melalui bukunya “P Ramlee: Kisah hidup Seniman Agung”.

PAK SHUKUR HARUN

Menurut kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkifli Anwar ul Haq, buku yang beliau beli pada Februari 1980 itu mencatatkan tentang pujian P Ramlee terhadap Pak Shukur.

Malaysia kehilangan tokoh bertubuh kecil tetapi berjiwa besar pada 9 Julai lalu ketika berumur 82 tahun di rumah anaknya dekat Shah Alam, Selangor.

Ketika mudanya Pak Shukur menulis untuk majalah Gelanggang Filem. Ketika itulah berlakunya pendekatan beliau dengan Zubir Said dan P Ramlee memuji apa yang ditulis Pak Shukur.

Semasa akhir hayat hidupnya Pak Shukur menulis untuk Mingguan Amanah, sebuah akhbar mingguan yang dimiliki oleh Parti Amanah Negara atau AMANAH, parti yang disertai beliau.

Selepas pencen dari Berita Harian, Pak Shukur menyertai Harakah, akhbar milik Pas. Beliau juga pernah menjadi Yang Dipertua Pas kawasan Subang.

Ketika bekerja di Harakah, Pak Shukur menjadi Editor Harakah bersama saya. Ketika itu saya adalah Ketua Pengarang Harakah.

Turut serta bersama saya ketika itu adalah Roslan Hamid dan Haji Taib Ahmad. kedua-duanya juga veteran dari Berita Harian. Roslan Editor Berita manakala Haji Taib Editor Rencana.

Ketika kami berempat bergabunglah Harakah naik mencanak. Dari 50,000 hingga 60,000 edaran setiap keluaran menjadi 380,000 naskah setiap keluaran pada hujung tahun 1999.

Ketika itu semangat reformasi membara di kalangan rakyat. Jualan Harakah umpama goreng pisang panas. Bahkan pengedar berebut-rebut untuk mengedarkan Harakah sehingga bergaduh antara satu sama lain kerana berebut kawasan.

Pak Shukur kami amanahkan untuk menjadi penulis editorial atau rencana pengarang untuk setiap keluaran Harakah.

Ini kerana tulisan beliau yang baik dengan bahasanya yang menarik. Pak Shukur juga tahu dan memahami dengan jelas halatuju parti, mood penyokong dan peranan media dengan baik.

Ketika itu, mesyuarat Editorial Harakah yang mengumpulkan semua editor Harakah bersama dengan Ketua Penerangan Pas diadakan pada jam 5 petang setiap hari dateline, hari dimana kami buat keputusan akhir rupa bentuk Harakah yang akan terbit pada keesokan harinya.

Selaku Ketua Pengarang saya adalah pengerusi mesyuarat. Ketua Penerangan Pas ketika itu Datuk Dr Haron Din atau wakilnya turut hadir. Kebanyakan masa, Dr Haron datang sendiri atau paling tidak orang kanan beliau Dr Che Rosli Che Mat akan datang. Banyak kali juga kedua-duanya.

Ketika itu kami mematuhi keputusan bersama. Keputusan dibuat secara kolektif. Saya akan bentangkan berita-berita menarik untuk disiarkan di muka depan akhbar. Jika kami buntu, Dr Haron akan membuat keputusan akhir.

Pak Shukur sentiasa trendy dalam mencadangkan muka depan Harakah. Beliau dapat memahami denyut jantung pembaca dengan baik.

Ketika era reformasi, cerita Anwar Ibrahim paling menarik perhatian. Jika gambar Anwar di muka depan, akhbar kami akan ‘sold out’.

Tetapi jika cerita Pas apatah lagi dengan gambar Presiden Pas misalnya Datuk Seri Abdul Hadi Awang di muka depan, banyaklah akhbar kami akan dipulangkan balik oleh pengedar.

Pandangan Pak Shukur sentiasa mendapat perhatian anggota mesyuarat kerana ‘trendy’ beliau itu sehinggalah beliau digelar oleh sesetengah kumpulan dalam Pas sebagai “Anwarinas”. Ini kerana beliau sentiasa mencadangkan agar berita aktiviti Anwar ketika itu sebagai berita muka depan.

Apa yang dikatakan Pak Shukur terbukti benar. Apabila kami meminta data tentang akhbar kami yang return, kami dapat kesan berita apa yang digemari pembaca ketika itu. Akhbar dengan muka depannya gambar Anwar akan ‘sold out’.

Apabila Pas berpecah, sebagaimana kebanyakan pemimpin Pas di ibu kota, Pak Shukur dan isterinya Kak Kiah meninggalkan Pas dan menyertai AMANAH.

Sekali lagi Pak Shukur bersama-sama saya membentuk akhbar Mingguan Amanah. Beliau sejak dari awal lagi menyertai perbincangan bagi menerbitkan akhbar ini.

Sebagaimana Harakah, Pak Shukur sekali lagi diberikan amanah untuk menulis rencana pengarang Mingguan Amanah. Selain itu beliau ada kolum mingguan di akhbar itu.

Jika Pak Shukur keluar dari Shah Alam dan pergi ke mana-mana, beliau tidak pulang dengan tangan kosong. Kalau ke Johor, beliau membuat laporan tentang perkembangan politik dan isu semasa di Johor berdasarkan pemerhatian beliau.

Beliau juga ke Singapura dan Jakarta. Apabila pulang, beliau akan menulis berita dan rencana tentang tempat beliau pergi itu.

Setahun menjelang kematian beliau (kira-kira setahun lalu), kesihatan Pak Shukur mula sangat tidak baik. Beliau mula kurang datang ke mesyuarat mingguan kami. Kalau datang pun beliau mahu cepat-cepat pulang.

Tulisan rencana pengarang yang beliau buat juga mula bermasalah. Ejaannya tunggang langgang manakala saisnya pun pendek sahaja. Akhirnya beliau terpaksa berhenti dari menulis rencana pengarang akhbar Amanah.

24 hari sebelum beliau pergi, beliau kehilangan isteri beliau yang disayanginya Kak Kiah. Kehilangan Kak Kiah banyak mempengaruhi beliau, beritahu anaknya Hafiz.

Kehilangan Pak Shukur bukan sahaja dirasai oleh kalangan wartawan dan penulis bahkan juga ahli politik. Ini kerana P Ramlee juga memuji beliau.

Hannah Teoh, ahli Parlimen Segambut yang juga bekas Adun Subang, kawasan beliau, mencatatkan rasa pilu beliau dengan kehilangan Pak Shukur.

Beliau juga menceritakan saat-saat manis bersama dengan Pak Shukur di Subang Jaya.

Saya sendiri, kali terakhir berjumpa Pak Shukur adalah ketika saya bersama YB Khalid Samad pergi menyampaikan pingat yang dikurniakan oleh Yang Dipertuan Agong kepada beliau.

Semoga Allah terima roh Pak Shukur dan di tempatkan bersama orang-orang yang beriman dan diterima segala amal solehnya.

Alfatihah untuk Pak Shukur dan Kak Kiah.