Impian semua rakyat Malaysia sekarang ialah negara ini bebas daripada Covid-19. Kalau tidak sepenuhnya pun, sekurang-kurangnya ia terkawal dan rakyat dapat hidup secara yang hampir pada normal.
Tetapi bebas daripada Covid-19 itu tidak mencukupi. Impian sebahagian daripada rakyat Malaysia adalah untuk hidup dalam sebuah negara yang bersih, adil, progresif dan dinamik. Bebas daripada korupsi.
Menjadi negara Islam yang progresif dan bukannya regresif, iaitu berundur ke belakang. Negara yang dinamik dengan rakyatnya aktif membuat penerokaan dan penemuan, bukan masyarakat statik yang membosankan.
Kalau tidak mencapai tahap impian itupun, sekurang-kurangnya negara menuju ke arah itu. Tetapi impian seseorang terhadap negaranya tentulah berbeza. Ada orang berpuas hati apabila negara ini aman, dapat bekerja serta memperoleh pencen. Anak peroleh pendidikan dan bekerja dengan baik. Dan ada surau berhampiran rumah. Lain orang, lain impiannya.
Saya sedar politik pada tahun 1973 ketika berusia 14 tahun. Kampung saya di Johor yang terdiri daripada Melayu dan Cina adalah sepenuhnya penyokong Perikatan. Bukan saja penyokong tetapi ahli Umno dan MCA.
Penduduk kampung saya seperti mana banyak tempat di Johor mengundi Perikatan dalam pilihan raya 1955, 1959, 1964 dan 1969. Walaupun hanya empat kilometer dari bandar Batu Pahat, kampung saya pada tahun 1973 tidak mempunyai bekalan air dan elektrik.
Jalan berdebu yang tidak berturap. Hubungan telefon pun tidak ada. Malah surat pun terpaksa diambil dari sebuah kedai runcit di pekan berhampiran. Setelah 16 tahun merdeka, pendapatan penduduk kampung amat kecil. Anak-anak muda menganggur dan tiada peluang pekerjaan.
Tetapi kesedaran politik saya bukan melalui Umno. Saya berminat politik melalui pembacaan novel-novel seperti Sandera oleh Arenawati, Tulang-tulang Berserakan oleh Usman Awang dan Patah Sayap Terbang Jua oleh Samad Ismail. Semuanya buku teks bacaan sastera sekolah. Saya menjadi remaja yang mengagumi Ahmad Boestamam, pengasas Parti Rakyat.
Ketika itu sebagai remaja saya menolak Perikatan kerana setelah 16 tahun, ia tidak menawarkan harapan untuk perubahan yang lebih baik. Ini kerana menurut fikiran ramaja saya, demokrasi Malaysia tidak berfungsi dengan baik.
Selama 16 tahun, negara ini hanya diperintah oleh satu parti dengan parti pembangkang tidak berpeluang untuk menubuhkan kerajaan alternatif walaupun negara sudah tiga kali pilihan raya. Ini kerana pemimpin-pemimpin dari pembangkang yang baik ditahan oleh ISA. Sementara saluran maklumat iaitu radio dan akhbar dikawal oleh kerajaan.
Saya mengimpikan Malaysia yang dinamik. Bukan saja kampung-kampung dapat bekalan air dan elektrik serta kemudahan pos, telefon dan perkhidmatan bas turut masuk ke kampung. Dengan pendapatan orang kampung yang lebih baik, peluang pendidikan dan pekerjaan yang luas. Tetapi turut penting, masyarakat dinamik dapat diwujudkan.
Perpustakaan yang banyak pengunjungnya. Kegiatan seni yang aktif termasuk balai seni dan acara-acara kebudayaan yang rancak. Muzium sejarah dan sains yang turut popular iaitu di samping program-program agama yang progresif di mana orang boleh membincangkan isu-isu tanpa rasa sensitif dengan masyarakat dapat menerima perbezaan pendapat.
Tetapi pada tahun 1973, Malaysia sedang mengalami penjajaran semula politik ekoran Mageran, Peristiwa 13 Mei dan kegagalan Perikatan untuk memperoleh majoriti dua pertiga.
Penjajaran bermula dengan penubuhan kerajaan campuran Perikatan-Pas di Kelantan dan Perikatan-Gerakan di Pulau Pinang. Ia sempurna dengan penubuhan Barisan Nasional pada tahun 1974. Dua parti yang menolak jemputan untuk menyertai BN ialah DAP dan Parti Rakyat.
Saya memilih untuk bersama Parti Rakyat dan menolak BN. Apabila berlaku demonstrasi pelajar pada 3 Disember 1974, saya menyokong pelajar-pelajar universiti dan kolej Malaysia yang antara pemimpinnya ialah Anwar Ibrahim.
Pada tahun 1976, gelombang kebangkitan anak-anak muda Islam mula melanda dunia. Saya pun terikut dilambung oleh gelombang ini. Kami tidak mahu menyokong Pas kerana ia berada dalam BN. Wadah sesuai adalah ABIM pimpinan Anwar Ibrahim dan Fadzil Nor.
Impian saya dan banyak anak muda pada masa itu ialah sebuah Malaysia yang melaksanakan Islam dalam suasana zaman ini. Iaitu Malaysia yang melaksanakan syariah dalam konteks sebuah negara demokratik, dinamik, moden dan dipimpin oleh ulama yang progresif.
Tentulah Islam ini sesuai pada semua zaman. Ia tidak bersifat perkauman dan memberi keadilan serta kebebasan pada semua manusia. Mungkin anak-anak muda gerakan Islam ketika itu adalah naif dan idealis tetapi itulah kepercayaan sebilangan besar mereka.
Tentulah terdapat pelbagai tafsiran mengenai Islam yang hendak dilaksanakan. Ada sebahagian pendukung gerakan Islam memperjuangkan syariah dalam bentuk konservatif dan eksklusif. Fahaman terhadap agama dan politik tentulah berbeza-beza.
Apabila Pas dikeluarkan daripada BN dan Anwar menyertai Umno, penjajaran politik disusun semula. Banyak pendukung gerakan Islam yang menolak BN beralih pada Pas. Tetapi anak-anak muda tidak puas hati dengan pimpinan Asri Muda yang dilihat tidak jauh berbeza dengan Umno walaupun di luar BN. Ini kerana mereka bersifat nasionalis, konservatif dan tidak dinamik. Untuk mengubah Malaysia, Pas sendiri kena berubah.
Akhirnya, Asri mengundurkan diri dalam tekanan. Saya hadir di muktamar berkenaan sebagai pemberita. Pas diambil alih oleh Yusof Rawa yang disokong oleh Fadzil Nor. Nik Aziz Nik Mat, Nakhaie Ahmad dan Hadi Awang. Kejayaan mereka adalah juga atas usaha aktivis-aktivis muda ketika itu seperti Mohamad Sabu.
Dalam Pas terdapat pelbagai fahaman tentang bagaimana hendak melaksanakan Islam di Malaysia. Ada yang bersifat progresif. Tentu juga ada yang kental konservatif.
Walaupun berbeza pendapat dan fahaman, tetapi pendukung-pendukung gerakan Islam ini bersatu di bawah Pas. Mereka faham kepelbagaian pandangan dan tafsiran ini adalah lumrah dan ia perlu diselesaikan secara musyawarah dan konsesus dalam ukhuwah berjemaah. Maka adakala keluar kenyataan-kenyataan yang bercanggah di antara satu sama lain, tetapi semua pihak dalam parti bersikap toleran. Inilah realiti berjemaah.
Tetapi sikap pendukung-pendukung parti adalah jelas, iaitu memperjuangkan sebuah negara yang bersih dari korupsi, mendukung kebebasan iaitu amalan demokrasi yang memberi ruang supaya semua rakyat boleh bersuara.
Dengan itu, kebenaran dapat terserlah yang boleh menghalang perbuatan tidak amanah dan tidak jujur. Pendek kata, gerakan Islam itu memperjuangkan kebaikan. Walaupun pemahaman penyokongnya juga berbeza. Ada segelintir yang taksub dan ekstrem. Tetapi umumnya bersikap toleran dan moderat. Umumnya semua menolak Umno.
Pada tahun 1981, iaitu setelah 27 tahun merdeka, anak-anak muda ini tidak berpuas hati dengan Umno. Bukan saja kerana parti itu namanya Umno tetapi juga budaya dan sistem. Sistem sekular yang memisahkan agama daripada politik dilihat menjadi penyebab kegagalan ini. Segala eksperimen politik, baik sosialis mahupun kapitalis dilihat gagal. Maka pandangannya ialah kembali pada Islam tetapi dalam konteks moden, progresif, dinamik dan rasional.
Pada tahun 1981, Mahathir Mohamad mengetuai Umno dan mengambil Anwar untuk menyertai kerajaannya. Gabungan pemikiran Islam Mahathir-Anwar mengemukakan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam. Ia bukannya semata-mata dasar tetapi terdapat wawasan baharu terhadap negara yang menghasilkan Sistem Kewangan Islam dan Universiti Islam.
Walaupun usaha BN untuk mewujudkan negara Islam yang bersifat progresif dan dinamik menurut versi Mahathir dan Anwar, tetapi banyak pendukung Pas ketika itu masih tidak dapat menerimanya.
Ini kerana ketika mana ada dasar Bersih, Cekap dan Amanah serta Kepimpinan Melalui Teladan, tetapi korupsi, politik wang serta kronisme dirasakan tidak ditangani, iaitu sama meningkat dengan peningkatan ekonomi.
Sekitar 2000-an, kampung saya telah bertukar generasi, adalah dipercayai orang Melayu tidak 100 peratus menyokong Umno seperti dulu. Pas pun ada cawangan. Pengundi Cina pula dipercayai menyokong DAP. Perkara ini mula nampak memberi kesan pada tahun 2008 apabila kawasan kampung saya dimenangi oleh calon PKR, seorang bekas aktivis Abim. Penyokong Pas dan DAP mengundi PKR.
Menjelang tahun 2018 pula, Umno mendapat kelebihan apabila Pas enggan berpakat dengan PKR dan DAP. Keutamaan Pas juga sudah berubah. Ia mengutamakan soal kuasa Melayu seperti mana Umno.
Ekoran itu, Pas berpecah dan lahirlah AMANAH yang mahu meneruskan legasi pemikiran Fadzil Nor dan Nik Aziz. AMANAH melanjutkan pakatan dengan PKR dan DAP. Bersatu yang perjuangannya adalah untuk membersihkan negara daripada kleptokrasi Umno turut menyertai pakatan itu.
Dalam pilihan raya 2018, di kawasan kampung saya, calon PKR menang dengan undi daripada penyokong Bersatu, DAP dan AMANAH. Kerajaan Pakatan Harapan berusaha membersihkan negara daripada kleptokrasi dan korupsi. AMANAH pula berusaha melaksanakan gagasan Rahmatan Lil Alamin, suatu dasar pelaksanaan politik islam berbentuk progresif dan inklusif.
Akhirnya anak-anak muda yang berada pada gelombang kebangkitan Islam pada awal tahun 1980-an dapat duduk dalam kerajaan untuk melaksanakan impian politik mereka. Walaupun ia terhad tetapi ruang itu sudah terbuka. Dengan Mahathir juga menjadi Perdana Menteri dan Anwar sebagai penyokong kerajaan.
Pada tahun 2020, kerajaan PH tumbang. Bermula dengan perpecahan PKR dan keluarnya Bersatu daripada PH. Termasuk ahli parlimen yang melompat itu ialah ahli parlimen PKR yang mewakili kawasan kampung saya. Mereka berpakat dengan Umno dan Pas menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional.
Dalam kerajaan, Pas yang telah memilih jalan politik identiti dan konservatif berpeluang untuk melaksanakan rang undang-undang yang mereka perjuangkan. Tetapi setelah lebih setahun, kerajaan PN masih tidak dapat menyelesaikan masalah Covid-19. Realiti politik Malaysia dan juga kemampuan pemimpin Pas tidak akan membawa kepada apa yang diimpikannya.
Bagi rakyat Malaysia buat masa ini, impiannya adalah supaya negara ini bebas daripada wabak Covid-19. Kerajaan PN bertanggungjawab untuk menyelesaikannya. Iaitu setiap parti yang mendukung kerajaan ini termasuk Pas.
Kini kedua-dua Pas dan AMANAH, yang pernah berada dalam satu organisasi sudah menjadi kerajaan. Tentu mereka faham tentang realiti politik Malaysia dan pelaksanaan cita-cita mereka. Rakyat akan menilai prestasi mereka. Cumanya, AMANAH menjadi anggota kerajaan melalui sokongan rakyat terhadap PH dalam pilihan raya. Pas pula jadi kerajaan melalui pembelotan Bersatu dan sebahagian wakil rakyat PKR.