Malaysia Dateline

Menghampiri PRU-15: Bekas pegawai Najib jadi Ketua Penerangan BN Selangor

Selepas dua hari Setiausaha Politik Khalid Samad dilantik sebagai Ketua Penerangan Pakatan Harapan (PH) Selangor, bekas pegawai Datuk Seri Najib Razak, Isham Jalil pula dilantik sebagai Ketua Penerangan BN negeri itu.

Isham memberitahu pelantikannya itu sambil mengucapkan terima kasih kepada pemimpin BN Selangor yang diterajui Tan Sri Noh Omar merangkap Ketua Perhubungan Umno negeri.

“Saya terima lantikan ini dengan hati yang terbuka, ia adalah suatu amanah yang akan saya galas demi perjuangan untuk rakyat dan negara,” katanya semalam dipetik dari Facebook miliknya.

Pelantikan aktivis politik dan penganalisis ekonomi itu sekali gus dilihat sebagai strategi awal BN menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pada 29 Mei lalu, mesyuarat PH Selangor memutuskan pelantikan Ketua AMANAH Shah Alam, Azli Yusof sebagai Ketua Penerangan PH negeri yang baharu.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Datuk Menteri Besar Selangor selaku Pengerusi PH negeri di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor.

Azli sebelum ini merupakan Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad.