Misteri Kubor paling panjang di Malaysia ini akhirnya terjawab

Oleh WAN SITI AMINAH

Kubor Panjang adalah nama satu pekan atau penempatan kecil yang terletak di daerah Pendang, Kedah.

Difahamkan, pekan tersebut dinamakan bersempena penemuan sebuah kubur misteri yang mempunyai ukuran panjang yang luar biasa.

Menimbulkan tanda tanya, ‘kubor panjang’ tersebut mempunyai ukuran yang berubah-ubah daripada batu nisan bahagian kepala kepada bahagian kaki.

Penduduk kampung yang mengukur kepanjangan kubur tersebut turut merasa hairan kerana jaraknya sentiasa berubah sehingga ia digelar ‘Kubor Panjang’.

Merungkai persoalan, seorang penulis terkenal iaitu Zubir Mohd Yunus berpeluang untuk menyingkap misteri yang menyelubungi kampung tersebut.

Berdasarkan cerita lisan orang tua-tua yang disampaikan kepada Zubir, misteri itu bermula dengan kehadiran dua adik beradik asal Pattani, Thailand.

Lebih kurang 200 tahun lalu, tapak kubur berkenaan dikatakan asalnya adalah kawasan pertandingan sabung ayam.

Suatu hari, dua beradik yang gemar menyabung ayam itu membuat perjanjian untuk tidak menyorak tanpa mengira sesiapapun yang menang.

Sang adik yang lupa akan perjanjian tersebut telah bertindak menyorak di depan khalayak ramai ketika berjaya memenangi pertandingan sabung ayam itu.

Rasa dipermalukan, si abang telah menikam adiknya sehingga mati sebelum memutuskan untuk membunuh diri dengan menggunakan keris yang sama.

Penduduk kampung berdekatan yang menemui jenazah mereka malangnya tidak mampu mengusung jasad si adik yang berat, lalu dikebumikan di tapak itu.

Berbeza dengan nasib adik, jenazah abang pula dibawa penduduk balik ke kampung untuk disemadikan.

Memeranjatkan, orang kampung yang menziarah kubur si adik mendapati kedudukan batu nisannya berubah sehingga menjadi panjang seperti sekarang.

Beratus tahun sudah berlalu, tiada satu pun kajian saintifik dibuat bagi merungkai misteri kubor panjang itu.

Baca juga: Siapa HABHAL’S? Rupanya ini sejarah kicap cap kipas udang yang ramai tak tahu