Malaysia Dateline

Mengharap azan kembali berkumandang di Hagia Sophia

Saya menyokong penuh dan menyambut baik usaha kerajaan Turki untuk menjadikan bangunan Hagia Sophia dikembalikan sebagai masjid. Ini berdasarkan kepada kenyataan daripada Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang disiarkan dalam media pada 2 Julai 2020.

Bangunan bersejarah yang menjadi ikonik dan rebutan antara penganut umat Islam dan Kristian itu telah ditukar menjadi muzium sejak tahun 1935 di bawah kepimpinan Mustafa Kamal Attarturk.

Sejarah perlu membetulkan antara kesilapan terbesar Mustaffa Kamal Attarturk adalah menukar masjid Hagia Sofia sebagai muzium, sesuatu yang sukar diterima oleh umat Islam.

Kesannya, Islam menjadi suram di bumi tersebut, manakala sekularisme menjadi doktrin anutan rakyat Turki selama lebih 80 tahun.

Menukar status Hagia Sophia sebagai masjid adalah tanda aras kejayaan Erdogan memimpin Turki.

Sultan Muhammad al-Fatih, tokoh penting dalam sejarah Turki telah merintis kegemilangan kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah dengan pembukaan Kota Konstantinople pada tahun 1453 dan menukar Hagia Sophia sebagai masjid sehingga menjadi kota terpenting dunia.

Hagia Sophia sebelumnya dibangunkan sebagai gereja terbesar di Kota Konstantinople ketika Empayar Rom Timur pada abad ke-6 dan bertahan selama lebih 1,000 tahun.

Penguasaan strategik ke atas Kota Konstantinople oleh Sultan Muhammad Al Fatih dan menukar status Hagia Sophia kepada masjid menandakan Islam menguasai kerajaan Turki.

Seharusnya, ketegasan dan inisiatif Erdogan dihormati semua pihak. Hagia Sofia adalah nadi penting kepada Turki dan bangunan ini dianggap sebagai antara bangunan teragung dan tercantik di dunia.

Bahkan, Hagia Sofia telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Justeru, sebagai Presiden Turki, beliau mahu mengembalikan fungsi dan peranan asal Hagia Sophia sebagai masjid untuk syiar dan syariat Islam.

Keputusan Mahkamah di Turki menentukan hala tuju Hagia Sophia dan juga kedudukan Islam di Turki.

Umat Islam seluruh dunia mendoakan agar azan kembali dikumandangkan di Hagia Sophia manakala solat berjemaah lima waktu kembali didirikan di masjid tersebut, tanda bermula kebangkitan dan mengembalikan kegemilangan Islam di bumi Turki.

* FAKHRUL RAZI MOKHTAR adalah Timbalan Setiausaha Agung Sekretariat Himpunan Ulama Asia (SHURA).