Menghayati erti kemerdekaan, menginsafi amanah perjuangan

Menghayati erti kemerdekaan, menginsafi amanah perjuangan

Di atas runtuhan Kota Melaka,
Kita bangunkan jiwa merdeka.

Bersatu padulah seluruh baka,
Membela hak keadilan pusaka.

Setinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT atas nikmat keamanan dan kebebasan yang kita alami pada hari ini. Selawat dan salam buat Sayyidul Mursalin al Rasul SAW , pemimpin “pembebasan” yang sangat berjasa.

Tanggal 31 Ogos setiap tahun merupakan detik keramat bagi seluruh rakyat Malaysia yang memahami makna dan harga sebuah kemerdekaan.

Kecintaan kepada negara (patriotisme) adalah satu semangat yang menuntut tanggungjawab, ketaatan dan pengorbanan. Kita harus memaknakan sambutan Hari Kebangsaan dengan mengulangi ikrar dan tekad sebagai rakyat yang bermaruah untuk memperbaharui semangat patriotisme kepada negara.

Patriotisme bukan sekadar slogan dan simbol semata-mata, tetapi semangat yang mencetuskan pengaruh yang kuat bagi tingkah laku manusia mempertahankan kedaulatan negara dan mensejahterakan rakyat.

Menghayati nilai-nilai sejarah kemerdekaan, menyanyikan lagu-lagu patriotik dan mengibarkan jalur gemilang antara cara memperkukuh semangat patriotisme dalam diri.

Nikmat kemerdekaan mesti disyukuri dengan membina kehidupan yang menepati erti kemerdekaan semurni dan setulennya. Kemajuan yang digerakkan mesti seiring dengan pembangunan keinsanan.

Janganlah kita cemarkan makna kemerdekaan dengan apa diungkap oleh Mohammad Natsir, (Mantan Perdana Menteri Indonesia) sebagai “membangun sambil merobohkan, membangun gedung sambil merobohkan akhlak, membangun industri sambil menindas pekerja ,membina prasarana sambil memusnahkan lingkungan”.

Kemerdekaan harus dilihat sebagai mengangkat martabat kemuliaan insan. Manusia yang merdeka tidak dapat menerima kehidupan yang tidak bermaruah, kehidupan yang tidak bermoral, kehidupan yang cemar dengan amalan keji dan jijik seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa, penipuan, ampu bodek dan sebagainya.

Selain itu, penindasan manusia ke atas manusia , memaki hamun, fitnah memfitnah mesti dihentikan. Manusia punyai martabat yang mulia di sisi Allah SWT yang mesti dihormati dan dimuliakan.

Dalam konteks kemajmukan kaum dan agama di Malaysia mesti disemangati dengan semangat toleransi dan keterbukaan yang berprinsip teguh, sesuai dengan semangat Islam Rahmatan Lil ‘Alamin. Setiap hak kemanusiaan mesti dihormati , menghargai perbezaan pandangan, hidup aman damai dalam erti kata” Kepelbagaian dalam bingkai kesatuan”, ungkapan Prof Dr Muhammad Imarah, pemikir ulung Mesir.

Kita bertanggungjawab menunjukkan ketinggian akhlak dan budi, melaksanakan tugas dengan adil dan dengan jiwa kemanusiaan yang tulen mengatasi kepentingan kaum dan kelas tertentu.

Anak Muda dan mahasiswa juga mempunyai tugas maha penting dalam menghayati nilai-nilai kemerdekaan. Dalam suasana dunia “banjir idola dan kemarau teladan,” kelompok ini hendaklah membina dan menggerakkan semula kesedaran kepentingan memahami sejarah, gencarkan budaya ilmu dalam pelbagai kelompok, menghidupkan “ruh perjuangan”, melebarkan persahabatan merentas agama dan kaum, kembali menggilap ” idealisme” dan kembali dekat dengan masyarakat.

Tokoh ulung Algeria, Malik Bennabi menyebut bahawa perjuangan membebaskan tanah air harus segera disusuli dengan perjuangan memerdekakan minda (Istiqlal al-‘aql). Beliau menyedari apalah erti kemerdekaan bumi pertiwi, jika rakyat peribuminya masih tetap berminda anak jajahan. Membangkitkan jiwa merdeka adalah agenda terpenting yang tidak boleh dikompromikan.

Tanggungjawab masyarakat hari ini adalah untuk sama-sama membangkitkan semangat patriotisme yang kian lesu, menyapu debu-debu kekotoran yang menutupi jiwa dan jasad negara. Ini mesti dilakukan dengan jiwa yang merdeka dan tidak menjadi jiwa hamba dan terjajah.

Pemerintah tidak boleh meremehkan suara dan aspirasi puluhan juta rakyat Malaysia demi merealisasikan masa depan gemilang buat Malaysia terutama pasca Pilihan raya umum ke 14 yang lalu.

Kesempatan ini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengucapkan Selamat Hari Kebangsaan Ke 61 kepada seluruh rakyat Malaysia. “Sayangi Malaysiaku” tema yang diangkat pada kali ini seiring dengan perpaduan yang menjadi penggerak kepada agenda memperkasakan integrasi nasional dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia.

Terus berjuang, terus bitara, terus berjasa.

* Penulis adalah Presiden, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Sesi 2017/2018, merangkap Ahi Dewan Tertinggi Majlis Belia Malaysia (MBM), Ahli Majlis Perundingan Belia Negara.

COMMENTS

Wordpress (0)