Malaysia Dateline

Menghina Raja: Susah kalau tak faham hukum-hakam

Dua, tiga hari lalu hangat berita mengenai aduan polis terhadap Dr Mahathir Mohamad kerana kononnya “menghina” Raja.

Bagi saya, khabar itu biasa saja sebab aduan dan tuduhan menghina Raja ini sudah jadi kebiasaan sejak akhir-akhir ini. Sikit-sikit buat repot polis.

Boleh jadi orang yang buat aduan itu tidak faham maksud hasutan atau benci kepada Dr Mahathir. Satu lagi kemungkinan adalah si pengadu itu diupah atau diarahkan membuat aduan.

Sebagai contoh, apabila pada 23 Februari lalu saya menulis di sini mengenai persidangan Majlis Raja-raja yang ditangguhkan dengan tajuk “Cerita Rakyat Jelata dan Payung Mahkota” banyak aduan polis dibuat terhadap saya. Saya mendapat tahu salah seorang pengadu adalah lelaki India yang mendakwa bekerja dengan Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga DiRaja Johor.

Bila ada aduan, polis akan buka kertas siasatan. Macam saya catatkan di sini selepas saya berjumpa pegawai penyiasat, “polis tanya saya jawab”. Orang nak buat aduan kita nak buat macam mana?

Saya rasa banyak yang buat aduan itu tak faham Akta Hasutan (Sedition Act) dan kebebasan bersuara. Jadi mereka ikut emosi membuta tuli.

Akta Hasutan ini undang-undang lama. Asalnya dipanggil Sedition Act kerana ia adalah ciptaan penjajah Inggeris.

Ia dikuatkuasakan pada tahun 1948 iaitu serentak dengan penubuhan Federation of Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu. Tujuannya adalah bagi menyekat penentangan terhadap pemerintahan Inggeris.

Apabila Malaya merdeka pada tahun 1957, Perlembagaan Persekutuan membenarkan Parlimen mengenakan sekatan ke atas kebebasan bersuara walaupun is dijamin oleh Perlembagaan. Macam ada percanggahan. Selepas pergaduhan kaum 13 Mei 1969, kerajaan meminda dan meluluskan bidang kuasa Akta itu yang menyempitkan lagi skop kebebasan bersuara.

Tapi dengan adanya media sosial, susah juga bagi mana-mana kerajaan pun, kecuali Komunis dan monarki mutlak, mengawal kebebasan bersuara. Justeru itu, bagi yang menggunakan media sosial, janganlah mudah sangat melenting. Kalau tidak sanggup dijawab, janganlah guna media sosial atau hadkan kepada kawan rapat saja. Kalau buka kepada “public”, kenalah terima baik dan buruknya.

Sekian. Terima kasih.


Tulisan ini berdasarkan posting yang dibuat dalam Facebook penulis. Ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya pandangan Malaysia Dateline.