Mengimbau sejarah sebuah negara yang merdeka

Oleh KIM SYAZIE

Negara tercinta ini menyambut ulang tahun ke-64 hari ini. Satu pencapaian yang bukan mudah malah menuntut perit jerih, darah merah rakyat yang menjunjung bumi bertuah ini. Berjuta air mata mengalir mengiringi sejarah tanah melayu yang kita cintai ini.

Tanggal 31 Ogos 1957, Tunku Abdul Rahman melaungkan keramat “Merdeka!” sebanyak tujuh kali, menandakan berakhirnya penjajahan British di negara ini.

Menurut petikan ucapan Tunku pada 20 Februari 1956 di Banda Hilir, Melaka ketika mengumumkan tarikh kemerdekaan;

“Tidak ada suatu bangsa pun boleh menyelamatkan dirinya jikalau bangsa itu berdiam diri memeluk tubuh selama-lamanya. Terserah kepada kesanggupan dan kesedaran bangsa itu menghadapi perubahan dan perkembangan.

Manakala rakyat yang di dalam keadaan berpuas hati dengan taraf dan kedudukan mereka sentiasa bimbang atas sebarang perkara yang membawa perubahan. Mereka akan berasa curiga terhadap sebarang langkah atau fikiran-fikiran dan pendapat-pendapat baru.”

Begitulah cakna dan luas visi Bapa Kemerdekaan negara kita.

Bermula dengan jajaran dihujung benua asia, gabungan Sabah dan Sarawak dalam pembentukan Malaysia pada 1963 menambah kekuatan kita sehingga bangkit maju dirantau Asia Tenggara.

Hari ini, negara Malaysia melalui episod-episod sedih yang akan tercatat dalam sejarah negara buat selamanya. Pandemik yang melanda ini seolah menambah lagi rencah pada luka yang sedia terbuka.

Sungguhpun begitu, jika kita mengenang kembali pengorbanan orang-orang sebelum kita yang berjuang menentang penjajah, yang berjuang mendapatkan kemerdekaan daripada British, yang berusaha kuat memajukan dan memodenkan negara sehingga terpampang di mata dunia, dan kitalah generasi kini yang mewarisi tidak sedikit keselesaan dan kenyamanan hari ini agar tidaklah kita mempersiakan perit jerih yang mereka ciptakan untuk kita hari ini.

Sebagai rakyat Malaysia, senantiasalah di hati kita mendahulukan negara dan kesejahteraannya, mempertahankan prinsip undang-undang dan keluhuran perlembagaannya serta mendukung kewajipan kita sebagai rakyat membina negara agar cita-cita dan tangisan masa lalu menjelma menjadi sebuah kejayaan yang manis.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!