Malaysia Dateline

Mengingati Pak Shukur, ingati keindahan tulisannya

Di manakah letaknya keindahan sesebuah karya penulisan?

Amat banyak. Tetapi biasanya tulisan yang indah akan dimulai dengan pendahuluan yang menarik dan ‘menangkap’, wacana yang diusung ada nilai tambah dan menyegarkan serta bahasa yang dijalin antara ayat demi ayat, perenggan demi perenggan, dari pendahuluan hingga penutup adalah berlaras sederhana.

Definisi tulisan indah yang saya kemukakan ini tidak dipetik daripada mana-mana buku atau pandangan sarjana. Tetapi jika ditanya tentang tulisan indah, inilah pandangan atau hemat saya.

Bentuk tulisan begini juga secara spontan akan membawa ingatan saya pergi terus kepada gaya Ahmad Lutfi Othman dan Abdul Shukur Harun.

Berbanding pengalaman yang saya kutip daripada Lutfi, rakaman kenangan saya menimba ilmu dan bersahabat dengan Allahyarham Abdul Shukur Harun atau lebih dikenali sebagai Pak Shukur pula tidaklah terlalu banyak dan lumayan.

Namun, bila dikenang momen yang sejemput itu pun sudah cukup untuk membangkitkan minat saya mendekati personaliti beliau yang sederhana tetapi menarik.

Semasa masih bersama Harakah dulu, saya sempat mengikuti misi kemanusiaan untuk mangsa banjir di Kuala Krai pada 2015 dan di sinilah saya mula mengenali Pak Shukur secara lebih rapat.

Ruang duduk semeja bersamanya ketika makan adalah peluang lumayan bagi golongan yang gemar berwacana. Sebabnya beliau tidak akan jemu dan letih bercakap walaupun telah seharian berjalan ke hulu ke hilir.

Pada waktu itu, walaupun pertembungan dalam Pas belum begitu hangat sehingga membawa perpecahan. Tetapi dalam kalangan penulis dan wartawan, hal ini selalu dibualkan sekadar untuk mencari perspektif yang lain.

Sudah tentu Pak Shukur ketika itu lebih cenderung kepada golongan ‘Anwarinas’ manakala saya pula kerana inginkan sembang-sembang menjadi hangat; memilih untuk berpihak kepada golongan lebai. Rakan wartawan, Arif Atan pula lebih neutral tetapi gemar memprovokasi Pak Shukur.

Oleh kerana saya masih muda dan kepala panas, maka segala pandangan Pak Shukur akan dibidas walaupun sebenarnya saya tidaklah bermaksud demikian. Tetapi Pak Shukur tetap dengan wataknya; kekal tenang yang terpampang pada sorotan matanya yang redup. Mungkin kerana malas melayan anak muda baru nak up yang cuba tunjuk bijak depan beliau.

Kemudian Pak Shukur mula buka cerita ketika bersama Berita Harian. Perbualan itu lanjut dan menjadi satu-satunya momen yang ada dalam ingatan saya bila mengenangkan Pak Shukur.

Apabila Parti Amanah Negara (AMANAH) ditubuhkan dan portal Malaysiadateline dilancarkan, beberapa rakan rapat di Harakah juga beralih ke sana. Pak Shukur juga salah seorang penulis yang turut memilih portal tersebut untuk melanjutkan perkongsian pandangannya tentang politik semasa.

Tetapi pada penghujung perkhidmatan di Harakah pada 2017, kompilasi artikel Pak Shukur berjudul ‘Gelombang Di Pesisir Waktu’ antara buku yang sempat saya ambil di samping beberapa buku ‘malar segar’ tetapi sekadar diletak di tepi tangga menunggu ditimbang kati.

Memanglah kalau diukur jasa Pak Shukur dalam dunia politik, sukar sebenarnya untuk ditentu-letaknya. Tetapi seperti kebanyakan orang lain yang mendokong perjuangan politik alternatif yang dibawakan oleh pembangkang, nama Pak Shukur dan kolum ‘Cetusan Idea’ dalam Harakah memang ada impak tersendiri.

Saya mula mengikuti tulisannya selepas pembangkang (sebelum dikenali sebagai Pakatan Rakyat) berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional di peringkat Parlimen dan pentadbiran di empat negeri selain mengekalkan penguasaan di Kelantan pada pilihan raya umum 2008.

Jika dibuat perbandingan mudah, gaya bahasa dan wacana yang dibawa dari dahulu hingga kini masih segar dan sederhana. Kandungan yang diutarakan mudah menarik tumpuan pembaca untuk membaca dari pendahuluan hingga penutup. Tidak kurang yang menjadikan kolum itu sebagai bacaan wajib.

Selain daripada ulasan politik semasa, topik yang gemar diulas oleh Pak Shukur adalah wacana politik Islam. Sesuai pula waktu 2008 hingga 2013, selain kebangkitan pembangkang di Malaysia, di Timur Tengah berlaku kebangkitan rakyat yang dikenali sebagai Revolusi Arab Spring.

Tentunya impaknya meluas ke seluruh dunia termasuk Malaysia. Pelbagai konsep baharu politik Islam kembali diwacanakan termasuklah istilah Post-Islamisme yang menjadi ‘buzzword’ dalam kalangan netizen di media sosial.

Di sinilah Pak Shukur turut menyertai perbincangan ini lewat tulisannya. Walaupun wacana politik Islam ini kelihatan terlalu akademi disertai jargon tetapi di tangan Pak Shukur, perbincangan mengenai hal ini terasa begitu lancar, mudah difahami dan memuaskan minda.

Di sini jugalah saya melihat bahawa keupayaan lain Pak Shukur adalah pada menggubah ungkapan yang klise menjadi sesuatu yang kelihatan baharu, bertenaga dan segar. Mungkin bunyinya agak berlebihan tetapi peduli apa: ini tulisan saya.

Tetapi biasalah, seperti pernah sahabat saya sebutkan ‘ramai orang boleh menulis tetapi tidak ramai yang boleh jadi penulis dan lebih sedikit yang mampu istiqamah menulis’. Mengenangkan ungkapan ini, jika terdapat sedikit kelemahan pada mana-mana penulisan yang kita telah ikuti sejak bertahun-tahun lamanya, anggaplah itu lumrah turun naik kualiti dan kapabiliti penulis.

Namun pada Pak Shukur, mengikuti tulisannya lewat kebelakangan ini bukan lagi disebabkan keghairahan untuk sentiasa mengikuti wacana yang dikemukakan tetapi sekadar melepas kerinduan peminat kepada dirinya. Kerinduan pada keramahannya kepada sesiapa sahaja yang mendekatinya, pada sosoknya yang lemah-lembut dan suara yang perlahan.

Namun kerinduan pada penulisannya untuk ditatap saban minggu bagaimanapun telah berakhir apabila Pak Shukur telah kembali ke Rahmatullah pada 9 Julai lalu. Beliau meninggal dunia tidak lama selepas beberapa minggu isteri tercintanya terlebih dahulu pergi bertemu Ilahi.

Tetapi kerinduan pada sosok penulis ini moga kekal segar bersama setitip doa yang sederhana tetapi semoga dimakbul Ilahi agar beliau ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang dikasihi.