Mengisi jurang kelompongan kepimpinan belia

Mengisi jurang kelompongan kepimpinan belia

 

Baru-baru ini, Dewan Rakyat telah berbahas hampir lima jam dan pindaan Rang Undang-Undang Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Akta 688) dari had umur 40 kepada 30 tahun telah pun diluluskan.

Walaubagaimanapun, pindaan tersebut mendapat reaksi pelbagai pihak dan mengundang pertikaian. Antaranya, kenyataan media Exco Belia Kerajaan Negeri Selangor, Khairuddin Othman yang secara dasarnya menyokong keputusan tersebut tetapi masih mentakrifkan definisi belia dari umur 15 sehingga 40 tahun.

Tidak dinafikan juga, program inisiatif perkahwinan belia masih ditetapkan di bawah 40 tahun. Namun jangan kita lupa, Selangor juga antara kerajaan negeri yang telah melaksanakan dasar bawah 30 tahun sejak lapan tahun lalu.

Program tersebut adalah Program Penggerak Belia Tempatan (PeBT) Negeri Selangor. PeBT menempatkan setiap penggerak belia di setiap zon dalam PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) di seluruh Selangor.

Bermula dengan had umur adalah 16 hingga 35 tahun pada 2011 kemudian dipinda kepada 15 hingga 30 tahun pada 2014. Pada tahun itu juga Khairy Jamaluddin membentangkan Dasar Pembangunan Belia Negara yang baru dengan had umur 15 hingga 30 tahun.

Dasar kerajaan terkandung kuasa. Apabila sesuatu dasar baru diperkenalkan oleh kerajaan, dikuatkuasakan melalui pindaan Rang Undang undang (akta) tentulah banyak kesan sampingan yang akan berlaku.

Sebagai contoh pertubuhan di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia (RoY) akan dihadkan kepada umur 30. Peruntukan program pembangunan akan lebih tertumpu kepada 15 hingga 30 tahun sahaja.

Penggerak Belia yang berumur 31 keatas perlu melepaskan jawatan dimana-mana pertubuhan belia dan memberi peluang kepada yang lebih muda. Persoalannya apakah ada penggantinya? Apakah ia semudah itu. Apakah dengan dasar itu kekosongan kepimpinan dapat diisi dengan segera?

Ambil contoh Program PeBT di Selangor yang telah berumur lebih lapan tahun sebagai kajian. Program ini adalah “bukti hidup” terhadap dasar bawah 30 tahun, bukan sedikit permasalahan yang dihadapi. Bukan kecil jumlah mereka dan bukan mudah untuk program ini bertahan secara lestari.

Justeru, saya mencadangkan beberapa langkah pendekatan untuk mengisi jurang kelompongan kepimpinan belia di semua peringkat.

Di peringkat dasar, pemegang kuasa antara kerajaan pusat dan negeri untuk meyelaraskan takrifan dan pemakaian kepada kuasa ini secara bersama. Bukan nafsi-nafsi.

Apa yang diputuskan di peringkat tertinggi mestilah terpakai di setiap lapisan dan seluruh bidang kuasa di bawahnya. Perkara ini penting kerana kuasa tersebut akan merubah segala-galanya di peringkat bawahan.

Ketidakseragaman hanya memanjangkan permasalahan yang tidak kesudahan. Dasar “maju bersama” yang diucapkan oleh Perdana Menteri adalah dasar yang sangat tepat pada saat ini.

Kerajaan-kerajaan negeri pada era Malaysia baru ini boleh bekerjasama di peringkat Persekutuan dan menurunkan lebih banyak peruntukan pembangunan belia terutama di sekolah-sekolah menengah selaras dengan dasar pendidikan negara.

Gunakan seluruh agensi yang ada. Wujudkan Ahli Dewan Belia Tempatan sebagai contoh dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan PBT seluruh negeri. Setiap dari mereka diberikan jajahan tanggungjawab dan panduan secukupnya.

Kekurangan common sense yang diakui oleh majikan pada graduan adalah disebabkan kumpulan belia kurang bercakap dan bergaul. Tai Lopez menyebut dalam siri Tips Kejayaan; Berbual dengan 33 peratus orang yang lebih muda, 33 peratus dengan orang yang sebaya, dan yang akhir 33 peratus dengan orang yang 10 tahun terkehadapan atau lebih berpengalaman.

Justeru, isu gajet dan e-sport tidak harus dijadikan modal politik singkat hanya kerana ia boleh meningkatkan IQ (Intelligence Quotient). Kita perlu melihat dalam kerangka pembangunan yang lebih besar. EQ (Emotional Quatient) itu sangat penting. Tanyalah mana-mana pakar bisnes dan majikan. Kekuatan dan daya apa yang diperlukan oleh belia saat ini, fokus membangunkan daya ini di peringkat yang lebih awal.

Harus kita ingat polemik akan dimainkan politikus melihat kepada “persepsi” mana yang rakyat inginkan pada saat ini. Bukan apa yang generasi kita perlukan. Itulah yang membezakan seorang politikus dengan negarawan (statesmen).

Politikus hanya melihat apa untuknya pada pilihan raya yang mendatang. Negarawan bersusah payah memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk generasi yang mendatang.

 

* Penulis merupakan Pengarah Biro Pembangunan Sumber Manusia, Pemuda AMANAH Selangor
merangkap Ketua Pemuda AMANAH Kota Raja.