Malaysia Dateline

Mengkritik kerajaan harus berpada-pada, kata NGO

Kritikan kepada kerajaan boleh dilemparkan oleh sesiapa sahaja, namun begitu ianya harus berpada-pada, khususnya yang melibatkan isu agama dan juga bangsa serta institusi Raja (3R), kata Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Cakna Ummah Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria.

Beliau berkata, naratif yang dilemparkan kepada Pakatan Harapan (PH) khususnya AMANAH amat menyimpang dari kedudukan sebenar.

“Naratif lama ialah PH kuda tunggangan DAP.

“Kini mereka mencipta lagi naratif baru dengan melabelkan ‘Rahmatan Lil-Kafirin dan Menteri Firaun’

“Isu Dr Zakir Naik pula mereka sekali lagi cuba meningkatkan momentum ‘Islam terancam dibawah PH, ” ujarnya.

Menurut beliau lagi, dalam sejarah zaman BN sebelum ini, pemimpin pembangkang bukan Muslim (kini sudah menjadi kerajaan) kerap terjerumus, terperangkap dan melatah dengan isu-isu 3R.

Manakala impak negatifnya adalah kepada rakan-rakan komponen Muslim dalam PH.

“Mileage dan momentum mereka terus melonjak tinggi dikalangan bukan Muslim tetapi sebaliknya mileage dan momentum rakan Muslim terus terancam dikalangan Melayu-Muslim.

“Ini merupakan realiti yang sedang dihadapi oleh PH, khususnya AMANAH.

“Kini secara terbuka pula para ustaz dan ulama tertentu secara terbuka menyerang AMANAH sebagai ‘Rahmatan Lil-Kafirin’ yang merupakan sarkastik keras mereka terhadap pendekatan ‘Rahmatan Lil-Alamin’ yang dipelopori AMANAH ” tegasnya yang merupakan mantan Ketua AMANAH kawasan Permatang Pauh.

Kata Dr Zaidi lagi, serangan sarkastik keras tersebut begitu meluas sehinggakan yang terbaru ulama mereka mengecam di mimbar khutbah Jumaat.

Tambah beliau, terdapat beberapa perkara yang tersasar dalam ucapan dan ceramah panas mereka yang panjang lebar.

“Sekiranya tindakan diambil keatas mereka, seperti membuat laporan polis dan seumpamanya, maka ia akan menguatkan lagi naratif kita menentang dakwah Islam dan menentang Islam.

“Seandainya kita berdiam diri, kita pula diserang sebagai bacul, takut bertindak keatas pemimpin DAP dan menjadi tunggangan mereka sehinggakan menimbulkan naratif baru dengan label jelek ‘Rahmatan Lil-Kafirin’

“Sebenarnya pemimpin-pemimpin bukan Muslim dalam PH tidak begitu peduli dengan impak negatif kenyataan dan tindakan mereka ke atas rakan komponen Muslim, sekaligus seolah-olah berlumba dengan MCA, MIC, Gerakan dan BN untuk menjuarai Non-Muslim, ” katanya.

Sehubungan itu tegasnya, dari sisi pandang yang lain ia juga merupakan satu pendekatan ‘rasis’, sekaligus mereka terheret dan terjerumus kepada perangkap 3R Umno-Pas.

“Mereka seharusnya berpada-pada mengkritik kerajaan melibatkan isu 3R dan menarik ‘handbrake’ sekurang-kurangnya kerana peduli kepada rakan-rakan Melayu- Muslim.

“Apabila keputusan telah dibuat diperingkat Majlis Presiden PH atau jemaah menteri kabinet, mereka perlu berhenti.

“Sekiranya mereka tidak berhenti, maka naratif negatif keatas PH semakin hari semakin kuat momentumnya yang mungkin meninggalkan kesan ‘yang dikejar tidak dapat, yang dikendung pula berciciran, ” katanya.

Tatkala itu ujar Dr Zaidi lagi, menangis air mata darah sekalipun, sudah tidak akan berguna lagi.