Mengubah makna ‘seni-budaya’ bersama menteri AMANAH

Mengubah makna ‘seni-budaya’ bersama menteri AMANAH

Barangkali ia bermula apabila Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad menyambut mesra kedatangan kami ke pejabatnya di Putrajaya pada petang Selasa 18 September. Atau barangkali lebih awal lagi daripada itu ketika 35 orang seniman-budayawan bertemu di mejabulat Institut Darul Ehsan (IDE), Shah Alam, pada petang 13 September, berbicara hal seni-budaya Malaysia setelah kerajaan baru melewati tempoh 100 harinya.

Dan hari berikutnya 14 September, Mohd Nasser dan Md Ridzuan mewakili PAKSI bertemu dan berbincang beberapa program seni-budaya dengan Ketua Menteri Melaka, Adly Zahri, di pejabatnya di Melaka.

Pada Selasa 25 September, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub pula singgah di ruang bicara IDE, untuk sesi rakaman “Dialog Budaya Paksi Dengan Menteri”, selama lebih dua jam mulai 4.00 hingga 6.30 petang.

Itu empat peristiwa penting yang memulakan fasa baru dalam gerakan Tekad Budaya yang diperjuangkan oleh Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) sejak ia ditubuhkan pertengahan 2008. Saya sifatkan sekarang sebagai fasa baru Tekad Budaya kerana pertemuan dengan menteri-menteri dari kerajaan Malaysia baru itu telah meyakinkan saya untuk mencadangkan perubahan pendekatan dan strategi dalam memajukan Tekad Budaya.

Seperti saya sebut di akhir tulisan sebelum ini, “Dan sudah ada pun orang yang bertanya – apakah Paksi sudah mulai mengubah strategi, prinsip dan matlamat?” Jawapan saya ialah: prinsip dan matlamat rasanya tidak berubah, tetapi strategi dan pendekatan mungkin sedang dalam proses berubah.

Apa yang berubah? Pertama, padang permainaan sendiri sudah berubah menjadi luas dan sangat luas berbanding dengan sebelum 10 Mei (pasca PRU14). Maksudnya, kalau dulu Paksi tidak diterima oleh Kerajaan Malaysia dan agensi-agensinya, kini Paksi sudah mulai diterima, dan beberapa pintu sudahpun dibuka untuk Paksi menjalankan peranannya.

Dr Dzulkefly secara jelas meminta Paksi supaya tinggalkan pemikiran pembangkang dan sebaliknya bersedia untuk bekerja bersama dengan kerajaan baru. Saya tidak pasti apakah tanggapan Dr Dzul yang menganggap Paksi berpemikiran pembangkang itu benar atau tidak.

Namun apapun, saya tak mahu berhujah mengenainya, kerana itu adalah tanggapannya. Bagi saya sendiri, sikap dan pemikiran Paksi sebelum ini tidaklah sepenuhnya pembangkang. Ada kalanya Paksi juga menyokong pihak-pihak tertentu di pihak kerajaan.

Sekarang Paksi mendapati ramai kawan-kawan berada di kerusi-kerusi kuasa yang strategik dalam kerajaan, yang kalau mereka mahu bekerjasama akan lebih banyak membantu usaha Paksi bagi membangun dan memajukan Tekad Budaya. Pertemuan dengan tiga orang menteri setakat ini terbukti positif dan optimis.

Seperti dengan Dr Dzulkefly Menteri Kesihatan, Salahuddin Ayub Menteri Pertanian juga rupa-rupanya adalah peminat seni dan sastera. Makanya percakapan awal petang Selasa itu bukan sahaja menjadi begitu mesra, tetapi telah juga membuka beberapa kemungkinan untuk bertemu lagi dalam suasana lain, iaitu dalam program-program baca puisi, teater, wacana budaya dan sebagainya.

Selain Dr Dzul dan Salahuddin, Paksi juga ada seorang lagi anggota kabinet yang sudahpun bekerjasama dengan kita menjayakan program budaya. Beliau ialah Anuar Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya, yang telahpun menganjurkan program puisi yang dinamakannya “Santai Seni” di Temerloh pada 14 Julai, iaitu sebelum dia dilantik ke kabinet Tun Mahathir.

Dan setelah dilantik, Anuar tidak memberi alasan dia banyak kerja dan sibuk (seperti yang selalu kita temui di kalangan para exco kerajaan negeri dan tokoh2 politik popular) apabila Paksi bertanyakan kemungkinan dia membantu dalam beberapa hal bagi menjayakan program “Dialog Budaya Paksi Dengan Menteri”.

Kelangsungan siri pertama rakaman dialog tersebut pada 25 September (bersama Menteri Pertanian) adalah hasil kerjasama baik Anuar Tahir.

Jadi – setakat ini sahaja pun, saya sangat optimis bahawa Tekad Budaya sedang memasuki fasa yang baru, iaitu dengan strategi kerja yang baru. Dan suatu yang secara serentak menggembirakan saya ialah apabila pertemuan dengan dua menteri (dan kementerian) berkenaan telah membuka ruang mengenali seni-budaya di luar makna dan definisinya yang difahami sebelum ini.

Biarlah saya tidak menceritakan dulu apa-apa persetujuan yang dicapai dengan menteri-menteri berkenaan yang saya maksudkan telah membuka sempadan definisi baru untuk seni-budaya itu. Saya akan menceritakannya apabila waktunya program-program berkenaan itu akan dilaksanakan nanti.

Seperkara yang menarik dalam perbincangan dengan Menteri Pertanian ialah pandangan mantan Pengarah Jabatan Veterinar, Datuk Dr Azmie, yang disampaikannya melalui media sosial dan saya bawa ke dalam perbincangan, iaitu katanya – “Petani di Kedah menanam padi bukan kerana untungnya besar tetapi kehidupan mereka dibina di sekitar kegiatan menanam padi yang telah dibudayakan.”

Katanya lagi, “Demikian juga nelayan yang ke laut kerana itulah kehidupan yang mereka pilih yang sejiwa dengan masyarakat itu.”

Dan Salahuddin pun bersetuju untuk melihat bagaimana faktor-faktor bukan ekonomi dan perdagangan ini mempengaruhi dan malah membentuk sikap dan pegangan hidup para petani dan nelayan kita. Faktor nilai-nilai agama dan warisan adalah faktor yang mendasari permasalahan untuk mengubah sikap dan memajukan para petani kita.

Beberapa kali misalnya Salahudin menyebut kisah Lahuma dan Jeha dalam novel ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ karya SN Shahnon Ahmad itu. Maka saya pun teringat cadangan Mazlan Abdullah agar novel ini saya terjemahkan ke dalam ‘Teater di Sawah Padi’ seperti yang saya buat dengan muzika Uda Dan Dara setahun yang lalu di Sungai Besar.

Dan ketika menutup sesi dialog, saya sempat mencadangkan kalau “Teater di Sawah Padi Muzika Uda Dan Dara” itu dipentaskan pula oleh Kementerian Pertanian, yang pantas disambut Salahuddin dengan meminta Paksi mengemukakan cadangan tersebut ke pejabatnya. Insya Allah.

CATEGORIES