Majlis Dakwah Negara temui Guan Eng luaskan perbincangan

Majlis Dakwah Negara temui Guan Eng luaskan perbincangan

Majlis Dakwah Negara (MDN) menggesa semua pihak yang terlibat dalam perbalahan politik dan akidah di negara ini agar mengambil kira nasib masa depan umat Islam di negara ini yang mungkin terancam akibat daripada perbalahan mereka.

Majlis Dakwah Negara (MDN) menggesa semua pihak yang terlibat dalam perbalahan politik dan akidah di negara ini agar mengambil kira nasib masa depan umat Islam di negara ini yang mungkin terancam akibat daripada perbalahan mereka.

Pengerusinya Profesor Emeritus Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd Majid berkata, pada masa ini perlunya membentuk strategi dan mekanisme yang terbaik untuk meredakan perpecahan ummah agar segala usaha yang akan dilakukan mendapat kejayaan yang maksimum.

” MDN percaya, walaupun untuk menghapuskan perbalahan sama sekali adalah sangat sukar malah boleh dikatakan mustahil dalam keadaan sekarang ini, tetapi menguruskan perbalahan itu dengan betul adalah satu perkara yang masih boleh dilakukan,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau menegaskan MDN berpendapat, bagi mewujudkan perpaduan ummah yang boleh kekal berpanjangan, ia tidak boleh sekadar berasaskan kepentingan politik pilihan raya semata-mata.

“Sebaliknya perlu lebih komprehensif dengan melibatkan lebih banyak pihak dan menjadikan rasa persaudaraan Islam sebagai asasnya sepertimana yang dicontohkan oleh baginda Rasulullah s.a.w sewaktu menubuhkan Kerajaan Madinah,” ujarnya.

Kata Dr Mahmood Zuhdi lagi, tujuan multaqa diadakan untuk membincangkan sejauh mana golongan menengah masyarakat Islam di negara ini boleh memainkan peranan dalam mengurus perpecahan ummah di Malaysia.

“Hari ini apa yang berlaku baik dalam bidang akidah mahupun politik, kita mahu memastikan agar perpecahan yang berlaku itu tidak mengancam survival umat Islam di negara ini pada masa yang akan datang,” ujarnya.

Majlis Dakwah Negara bertemu dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk membincangkan isu berkaitan perpaduan antara kaum baru-baru ini.MDN ujarnya meyakini ruang untuk mencari penyelesaian isu perpecahan ummah membabitkan bukan sahaja umat Islam sebaliknya di kalangan bukan Islam juga masih terbuka luas berdasarkan maklum balas yang diterima oleh MDN dalam satu lawatan kerja ke Pulau Pinang selepas satu pertemuan meja bulat diadakan di negeri itu pada April lalu.

“MDN sudah bertemu dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, exco, NGO, ahli akademik dan pemimpin masyarakat di negeri itu.

“Lim Guan Eng misalnya menekankan pentingnya kefahaman Islam yang syumul dan fahaman wasatiyah di kalangan orang Islam dipertingkatkan. Ini sekaligus mengelakkan daripada menularnya sifat ekstremisme yang mengugat perpaduan negara dikalangan orang Islam dan bukan Islam.

“Dalam pertemuan terdapat di pihak mereka yang mahu perkara yang berkaitan kebaikan dalam masyarakat ditonjolkan kerana dengan cara itu akan menyebabkan masyarakat menumpukan kepada perkara positif dan tidak memberi tumpuan kepada aspek negatif yang boleh memecah-belahkan masyarakat,” ujarnya.

Dr Mahmood Zuhdi menambah, kejayaan yang dipacu oleh negara selepas peristiwa 13 Mei 1969 lalu menunjukkan isu perpecahan antara kaum boleh mencetuskan perubahan positif sekiranya ditangani dengan betul.

‘Melalui kaedah sama setiap pihak yang bertelagah perlu bertemu dan berbincang sekaligus mereka dapat memahami sesuatu isu itu dengan lebih jelas.

“Inilah yang sedang diusahakan oleh MDN di multaqa yang akan diadakan kelak,” terangnya.

Sidang meja bulat yang diadakan dikalangan NGO Islam terbabit di Pulau Pinang sebelum berlangsungnya Multaqa Perpaduan Ummah pada 18 Mei ini.Dijangka persidangan sehari ini akan disertai daripada kalangan masyarakat menengah, termasuk veteran politik semua parti dan pentadbiran, ahli akademik, ulama, peguam, aktivis dakwah dan lain-lain orang perseorangan yang mewakili diri masing-masing.

Dalam usaha ke arah menyatukan umat Islam satu persidangan yang dinamakan sebagai “Multaqa Perpaduan Ummah” akan diadakan pada 18 Mei ini, bertempat di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi, Selangor yang akan dihadiri sekitar 200 peserta.

Ia merupakan satu persidangan yang dianjurkan oleh MDN-Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan beberapa lagi NGO Islam negara ini.

Antaranya yang turut terbabit dalam memacu perpaduan ummah ini seperti Wacana Ilmuan Malaysia (Wim), iaitu satu rangkaian group Online, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah (PBMITT) dan Majlis Alumni Pengajian Islam Kebangsaan (Mapik).

TAGS