Meniaga guna mesin layan diri IPR, wanita jana pendapatan cecah RM21,000 sebulan!

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, seorang wanita yang menjalankan perniagaan menggunakan mesin layan diri (vending machine) boleh meraih pendapatan mencecah RM21,000 sebulan.

Menurut peniaga dikenali sebagai Wan Asikin itu, mesin layan diri tersebut dibekalkan di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) menerusi kategori Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN).

Wan Asikin kini mampu memperoleh pendapatan antara RM13,000 hingga RM21,000 sebulan dengan meniaga pelbagai jenis minuman tin dan makanan seperti roti sandwic dan nasi beraneka lauk.

Jelasnya, pendapatan yang terkumpul semenjak mula meniaga menggunakan mesin dibekalkan dengan inisiatif kerajaan pada Oktober tahun lalu itu adalah RM120,000 sehingga RM130,000.

“Sebelum ini saya meniaga kuih seperti karipap dan popia mini secara atas talian. Ada juga mengambil tempahan tetapi waktu itu hanya meraih pendapatan antara RM300 hingga RM500 sebulan sahaja.

”Saya ada empat orang anak, semuanya lelaki. Mesin layan diri ini sangat bagus untuk saya yang berpendapatan B40. Memang banyak membantu. Lokasi mesin di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Kelantan di Machang ini juga bagus.

“Pelajar tidak perlu lagi keluar jauh untuk mendapatkan makanan. Mereka boleh turun sahaja daripada bilik dan beli secara terus makanan dalam kuantiti yang banyak, mengenyangkan serta murah melalui mesin ini,” katanya.

Kehidupan keluarga Wan Asikin juga berubah selepas menyertai program IPR selain dapat membantu suaminya yang bekerja sebagai pemandu bas dalam UiTM dengan pendapatan mencecah RM1,200 hingga RM1,300 sahaja.

Perkara itu didedahkan Wan Asikin dalam satu rakaman video yang dimuat naik oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menerusi platform X (dahulunya dikenali sebagai Twitter), semalam.

Dalam hantaran tersebut, Rafizi memaklumkan bahawa Wan Asikin adalah peniaga yang menjana pendapatan tertinggi dalam program mesin layan diri IPR INSAN tersebut.

Sekadar info, IPR yang dilancarkan oleh Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Februari tahun lalu ini bertujuan untuk membantu golongan miskin tegar dan berpendapatan rendah agar dapat menjana penghasilan mampan.

Inisiatif berkenaan melibatkan kerjasama antara kerajaan, rakyat dan rakan strategik selaras dengan pendekatan keseluruhan negara seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) serta prinsip Ihsan di bawah Kerangka Dasar MADANI.

Baca juga: Lelaki kongsi tiga ‘part time’ paling masyuk, yang penting bukan kerja ‘retail’