Malaysia Dateline

Menilai kedudukan perjuangan semasa Ramadan

Apabila Ramadan tiba tentulah perhatian seseorang adalah kepada ibadah khusus dengan mengambil peluang untuk bermuhasabah bagi menilai kedudukan diri dalam skema kewujudan di alam ini.

Selain puasa, ibadah pada bulan Ramadan antaranya adalah solat tarawih, mengaji dan iktikaf di masjid. Tetapi iktikaf ini mungkin tidak dapat dilakukan pada zaman Covid-19 ini yang masih belum dibendungi sepenuhnya.

Namun, tahun ini lebih baik daripada tahun lepas. Solat tarawih sudah boleh dilakukan, walaupun dengan bilangan terhad dan saf terpaksa direnggangkan. Apa yang berlaku pada Ramadan tahun ini dan tahun lepas tidak terfikir oleh sesiapa sebelum ini.

Pada Ramadan tahun lalu, solat tarawih terpaksa dilakukan di rumah. Maknanya kembali seperti semasa zaman Rasulullah s.a.w. apabila kebanyakan Muslimin menunaikan solat tarawih di rumah masing-masing. Hanya semasa pemerintahan Khalifah Umar r.a. barulah solat tarawih berkenaan dilakukan di masjid.

Sekitar tahun 1970-an, masjid dan surau tidak ada sebanyak seperti yang ada hari. Apa yang ada pun pun ialah surau dan masjid sederhana dibuat daripada kayu. Untuk solat tarawih pula, para Muslimah umumnya melakukannya di rumah.

Keadaan berubah tahun demi tahun hinggalah tahun 2000-an. Sejak itu, bukan saja terdapat banyak masjid dan surau tetapi bangunan-bangunannya besar dan indah. Solat tarawih berjemaah pula menjadi acara meriah. Kaum Muslimah pun banyak ikut serta. Lebih-lebih lagi kedudukan sosio-ekonomi Muslimah jauh lebih baik berbanding tahun 1970-an. Malah ada yang mampu membeli telekung mahal. Selain itu, tumbuh banyak pusat tahfiz dan kini bacaan-bacaan imam solat terawih begitu bermutu tinggi berbanding dahulu.

Selain itu, bulan Ramadan menyaksikan banyak orang Malaysia menunaikan umrah di Makkah dan Madinah. Mereka berpuasa dan beriktikaf di Masjidul Haram dan Masjid Nabawi.

Namun walaupun terdapat masjid-masjid tersergam di negara ini, amalan berktikaf di Malaysia tidaklah serancak berbanding di sebahagian negara Asia Barat dan Asia Selatan.

Kelancaran hidup Ramadan ini terganggu pada tahun lalu apabila Covid-19 melanda negara. Masjid dan surau yang tersergam indah terpaksa dikosongkan bagi menghalang penularan virus. Kemeriahan menunaikan umrah semasa Ramadan tinggal menjadi kenangan. Baik Muslimin mahupun Muslimat terpaksa menunaikan solat terawih di rumah. Iktikaf di masjid tidak dapat dilaksanakan.

Tentu keadaan ini tidak terfikir boleh berlaku. Apabila berlaku, barulah dapat ia dihargai. Setelah kehilangan, terasa kerinduannya. Begitulah Ramadan tahun lalu. Maka kali ini, umat Islam negara ini akan menghargai Ramadan tahun ini yang diharap lebih baik daripada tahun lalu. Bagaimanapun, ancaman Covid-19 masih belum reda.

Kemuncak Ramadan tentulah malam Lailatul Qadar. Selepas kemuncak itu, maka perhatian masyarakat Melayu adalah persiapan bagi menyambut Hari Raya yang mana ibadah wajibnya ialah membayar zakat fitrah. Tetapi dalam budaya orang Melayu, dalam setahun, hari paling utama adalah Hari Raya Aidilfitri. Keutamaannya ditandai dengan tiga perkara. Pertama, balik kampung. Kedua, bertemu ibu bapa dan datuk nenek. Ketiga, ziarah-menziarah. Sambutan Hari Raya dalam masyarakat Melayu menunjukkan kebahagiaan hidup seseorang terletak pada kegemerlapan kehidupan berkeluarga.

Tetapi perkara itu, sedihnya, buat pertama kali dalam sejarah sejak Perang Dunia Kedua tidak dapat dilakukan pada tahun lalu kerana Covid-19. Sesuatu yang tidak terfikir boleh berlaku selama ini. Maka harapan tinggi menggunung bahawa rentas negeri dapat dibenarkan bagi membolehkan tonggak budaya Melayu berhubung Hari Raya ini dapat dilaksanakan. Namun kerajaan tentulah terikat dengan perakuan dari Kementerian Kesihatan.

Kerancakan pergerakan rentas negeri ini merupakan fenomena pasca tahun 1970-an. Sebelum itu, pergerakan melintas sempadan negeri, walaupun berlaku tetapi terhad. Bukan saja masa itu bilangan penduduk negara ini adalah kecil, beserta pula kemampuan ekonomi rendah tetapi pembentukan bangsa Melayu yang belum bersepadu.

Sebelum merdeka, bentuk bangsa Melayu adalah berpecah-pecah kerana jati diri mereka baik dari segi biologi mahupun budaya adalah menurut negeri masing-masing, sebelas semuanya di Semenanjung Malaysia.

Hanya selepas tahun 1970-an, apabila dilaksanakan Dasar Pelajaran Kebangsaan dan Dasar Ekonomi Baru, orang Melayu dari semua negeri tertumpu ke Lembah Klang, untuk bekerja dan belajar. Kesan tidak langsung ialah pertemuan dan perkahwinan orang Melayu dari negeri-negeri berbeza. Jadi orang Melayu tidaklah berkahwin dengan orang sama kampung, daerah dan negeri saja. Perkahwinan rentas negeri berlaku secara besar besaran dan ia meningkatkan kecerdikan orang Melayu. Akibatnya, berlakulah pergerakan rentas negeri yang banyak dengan dibantu oleh pembinaan infrastruktur lebuh raya di seluruh negara.

Tahun 2020 adalah menyedihkan bagi orang Melayu kerana mereka tidak dapat merentas negeri pada Hari Raya. Bukan itu saja, turut menyedihkan bagi banyak keluarga di negara ini ialah kehilangan atau kemerosotan pendapatan dan peluang pendidikan akibat Covid-19.

Satu lagi perkara yang menyedihkan berlaku pada tahun 2020 ialah pergolakan politik ekoran tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan. Rasa tidak senang ini berterusan pada 2021 ini.

Beberapa hari selepas kerajaan Pakatan Harapan ditubuhkan pada tahun 2018, umat Islam negara ini memasuki bulan Ramadan. Selama dua tahun, 2018 dan 2019, rakyat negara ini menyambut Ramadan dan Hari Raya di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam Pakatan Harapan pula, pihak yang mewakili dimensi perjuangan politik Islam adalah Parti Amanah Negara. Ada penyokong yang menganggap AMANAH hanyalah sebuah parti politik seperti parti-parti politik lain yang ditubuhkan bagi membolehkan ahli-ahlinya menyertai pilihan raya dan menduduki kerusi di parlimen dan dewan undangan negeri. Terpulang pada setiap individu untuk menganggap parti politik mereka wajar berbentuk apa.

Tetapi tidakkah lebih bermakna jika penglibatan seseorang dalam sesebuah parti politik itu diperkayakan dengan kesedaran terhadap perjuangan Islam? Terhadap AMANAH, tujuannya ketika penubuhan adalah untuk menjadi parti politik Islam yang lebih baik daripada parti lain. Sudah lima tahun penyokong-penyokong AMANAH melalui Ramadan dan mengharapkan parti ini akan terus berjaya pada masa-masa akan datang.

Terdapat satu peristiwa penting dalam sejarah perjuangan politik Islam yang berlaku pada bulan Ramadan. Peristiwa penting yang diperingati setiap 17 Ramadan ialah Perang Badar.

Satu lagi hari yang juga penting diperingati ialah Hari Al-Quds. Hari Jumaat terakhir bulan Ramadan telah diisytihar sebagai Hari Al-Quds dan diperingati sejak tahun 1980. Ia bertujuan menanam azam di kalangan umat Islam supaya turut menyumbang terhadap usaha bagi membebaskan Masjid Al-Aqsa di Baitulmakdis.

Terpulang kepada setiap individu cara mana mereka beramal pada bulan Ramadan. Setiap orang mempunyai kecenderungan masing-masing dalam amalan beragama, termasuk terhadap perjuangan politik. Toleransi dan berlapang dada terhadap kepelbagaian kecenderongan lebih mendatangkan keharmonian dalam masyarakat.

Perbezaan pendapat pasti ada di mana-mana pun, walaupun dalam parti yang sama. Keseronokan dan kekecewaan dalam politik kepartian tentulah perkara yang lumrah. Maka Ramadan ini memberi peluang untuk mewujudkan ketenangan dan mengendurkan ketegangan politik. Namun begitu, pendirian terhadap sesuatu perkara tetap kukuh. Hujah boleh dikeluarkan dan terpulang pada orang ramai untuk menerimanya.