Malaysia Dateline

Menipu tanpa perlu bertanggungjawab sudah jadi norma baharu ke?

Adakah menjadi “norma baharu” di Malaysia dalam era Covid-19, di mana menteri dan timbalan menteri boleh mengeluarkan kenyataan yang tidak benar tanpa perlu bertanggungjawab terhadap kenyataan-kenyataan tersebut, soal Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

Ini berikutan kenyataan Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang mengatakan Kabinet telah membincangkan isu mengenai pelajar daripada Sabah, Veveonah Mosibin.

Menurut Khairy, mesyuarat Kabinet bersetuju yang kenyataan daripada dua timbalan menteri, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Timbalan Menteri Kewangan, Abdul Rahim Bakri adalah tidak tepat dan tidak patut dikeluarkan.

“Tindakan Kabinet yang “mengambil maklum” mengenai kejadian ini hanya menguatkan lagi kes untuk merujuk Zahidi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara atas kesalahan menyalahgunakan hak dan kebebasan yang diberikan.

“Adakah kerajaan kini akan menyokong usul untuk merujuk Zahidi ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara, atau adakah kerajaan akan terus menafikan keadilan dalam insiden Veveonah ini dengan menghalang usul merujuk Zahidi ini?” soal beliau lagi.

Dalam pada itu, veteran DAP itu juga mengucapkan tahniah kepada pelajar Sabah daripada Pitas, Veveonah Mosibin kerana telah berjaya menjadi topik perbincangan mesyuarat Kabinet.

Namun amatlah malang sekali apabila mesyuarat ini berkisarkan lebih kepada tindak laku dua orang timbalan menteri yang tidak mampu didisiplinkan oleh Perdana Menteri yang terlalu lemah dan bukannya mengenai pengalaman beliau berada di atas pokok selama 24 jam untuk menduduki peperiksaan ataupun mengenai jurang digital yang dihadapi oleh rakyat di Sabah dan seluruh Malaysia, kata Kit Siang.

Dalam tempoh beberapa hari yang lepas, rakyat Malaysia telah dihiburkan dengan komedi kesilapan dua orang timbalan menteri ini.

“Agak mengejutkan apabila insiden Veveonah ini memerangkap dan mendedahkan betapa terputusnya dua timbalan menteri ini daripada realiti kehidupan seharian rakyat, terutamanya dengan golongan muda,” katanya.

Selain daripada mengatakan Timbalan Menteri Kewangan yang juga merupakan Ahli Parlimen Kudat sebagai sumber maklumat beliau, Zahidi masih belum menjelaskan tindakan beliau dalam beberapa hari yang lepas.

Ia dimulakan dengan menuduh Veveonah menipu mengenai pengalaman 24 jam di atas pokok untuk mendapatkan sambungan internet bagi menduduki peperiksaan atas talian; yang disusuli dengan penarikan semula tuduhan beliau pada hari yang sama; dan kemudiannya tuduhan yang sama diulangi pada hari Isnin, dengan mengatakan yang beliau mendapat maklumat daripada Timbalan Menteri Kewangan.

Manakala itu, Abdul Rahim Bakri pula menulis di laman Facebook beliau dengan mengulangi semula penipuan ini bersama dengan satu laporan daripada seorang ketua kampung tempatan yang mendakwa Veveonah tidak tinggal di sebuah kampung pedalaman di Pitas.

Seorang “dekan” Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang tidak dinamakan juga telah mempertikaikan kewujudan peperiksaan atas talian semasa insiden ini berlaku.

“Siapakah “dekan” UMS ini dan mengapakah beliau menyorokkan identiti beliau?” tanya Kit Siang.

Abang Veveonah, Mekvin Mosibin, dalam catatan laman Facebook beliau untuk mempertahankan tindakan adiknya yang memuat naik video beliau memanjat pokok untuk mendapatkan sambungan internet yang lebih baik untuk menduduki peperiksaan atas talian, telah mengkritik Zahidi dan menjemput Zahidi untuk melawat kampung mereka.

“Cuba datang melawat kampung hulu, mari, mari. Tapi jangan pilih kampung tertentu sahaja, lawat seluruh kawasan. Kawasan paling hulu sekali.

“Cuba rasa bagaimana pengalaman melayari internet di kawasan pedalaman.

“Dan ini baru saja internet. Kita belum masuk hal air, elektrik, jalan lagi,” tulis Mekvin.