Menitis air mata ‘jantan’, pesakit ini sebak bila mak cik India bantu suapkan makanan

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman video memaparkan seorang wanita berbangsa India menyuapkan makanan kepada pesakit lelaki di sebuah wad hospital di Johor Bahru.

Difahamkan, wanita India yang tidak mengenali pesakit terbabit membuat keputusan untuk membantu selepas melihat lelaki itu tidak dapat menyuapkan makanan sendiri.

Menerusi rakaman berdurasi 26 saat itu, dapat dilihat wanita terbabit menghulurkan pertolongan dan menyuapkan makanan kepada pesakit dengan menggunakan sudu.

Selepas makanan disediakan pihak hospital itu disuapkan, pesakit berambut panjang terbabit terlihat merenung wajah wanita India berkenaan dengan cukup mendalam.

Tidak dapat menahan rasa sebak, pemuda itu kemudian mengesat air matanya yang tumpah mungkin kerana terharu dengan kasih sayang dikongsi wanita India terbabit.

Suasana mengharukan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bharu itu sempat dirakam sebelum dikongsikan oleh keluarga wanita India terbabit di platform TikTok.

@jamzapparels

Saw him struggling to eat and my family got their back✨🥺 #hsa

♬ original sound – Tamil BGM – Tamil BGM

“Apabila pesakit di katil lain juga penting. Nampak dia mengalami kesukaran untuk makan lalu ahli keluarga saya membantunya,” tulis pemilik akaun @jamzapparels itu.

Berjaya mencuri perhatian ramai, perkongsian tersebut telah berjaya meraih sebanyak 2.5 juta tontonan bersama 321,800 tanda suka daripada pengguna platform TikTok.

Tinjauan mendapati rata-rata pengguna berkongsi rasa terharu dan memuji tindakan wanita terbabit kerana ikhlas membantu pesakit walau mereka tiada pertalian darah.

Ramai juga pengguna tampil menceritakan pengalaman masing-masing ketika mereka dibantu oleh orang awam tidak dikenali terutama daripada individu berlainan bangsa.

“Jatuh air mata aku. Teringat mak cik yang jaga aku masa masuk wad tiga minggu akibat denggi. Suami dia sebelah katil. Dia pimpin tangan aku ketika nak pergi mandi dan suapkan makan. Ibu tetap seorang ibu,” kata seorang pengguna.

“Saya pernah masuk wad bersalin masa umur 19 tahun. Tak boleh jalan tetapi dekat sebelah ada seorang mak cik Melayu. Dia bantu angkat saya ke tandas, ikatkan rambut dan berikan air kopi. Saya tak boleh lupa mak cik itu.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Sah Kieda Crepe tak buat cerita, polis dah tangkap 4 penjenayah sekali dengan barang kemas RM400K