Menjadi benteng di atas kewajipan ‘Awfuu bil uquud’

Menjadi benteng di atas kewajipan ‘Awfuu bil uquud’

Ada kawan-kawan lama saya maki hamun saya bila disebarkan berita berkenaan ucapan saya pada tahun 2016 bertajuk “Amanah Bersedia Menjadi Benteng DAP”.

Tanpa membaca ucapan penuh saya, mereka mengambil tajuk itu untuk menyumpah seranah saya. Malah ada yang kata, kalau berlaku ‘perang agama’ di Malaysia, sayalah orang yang pertama perlu diperangi.

Padahal ucapan saya tersebut secara spesifik menyebut bahawa Amanah bersedia menjadi benteng kepada DAP di dalam menghadapi fitnah dan kebencian perkauman yang disebarkan oleh Umno/BN di dalam kempen menjelang PRU14.

Oleh kerana Amanah, PKR, dan DAP sudah menandatangani perjanjian kerjasama politik pada masa itu maka sudah tentulah setiap parti parti komponen akan mempertahankan rakan komponen dari serangan musuh politik. Ini adalah adab dan disiplin di dalam berkolisi politik. Tidak ada yang pelik pun.

Malah kalau kita kaji sirah Ar Rasul SAW, diantara punca besar peristiwa ‘fatah Makkah’ ialah kerana Ar Rasul SAW mahu membela rakan kolisi umat Islam waktu itu iaitu Bani Khuza’ah yang masih musyrik. Bani Khuza’ah diserang oleh Bani Bakar yang berkolisi dengan Kaum Quraisy Makkah. Serangan itu pula dibantu oleh Quraisy Makkah dan ianya dianggap mencabul perjanjian Hudaibiyah.

Atas semangat kerjasama politik dengan Bani Khuza’ah, Ar Rasul SAW mengumpul bala tentera untuk menyerang Makkah kerana Quraisy Makkah telah mencabuli perjanjian Hudaibiyyah.

Kalau mahu dikatakan umat Islam waktu itu menjadi ‘benteng’ Bani Khuza’ah yang musyrik juga boleh, di atas konteks menghormati perjanjian politik. Padahal Quraisy Makkah itu lebih hampir pertalian darah dan kekeluargaan dengn Ar Rasul SAW berbanding Bani Khuza’ah.

Perintah ‘awfuu bil uquud’ ke atas orang-orang yang beriman secara jelas telah termaktub di dalam Al Quran.

Wallahua’lam.

Jamzuri Ardani.