Menjadi calon yang berintergriti

ANUAR TAHIR

Pilihan raya negara telah tiba, 222 kerusi dewan rakyat akan diperebutkan, demikian jua dengan ratusan kerusi dewan undangan negeri. Setiap parti-parti politik sudah tentu telah siap menyenaraikan tokoh masing-masing menjadi calon. Calon-calon yang dipilih barang pasti menurut ciri-ciri keboleh menangan oleh parti masing-masing.

Calon-calon yang dikemukakan perlu memiliki integriti tinggi, kalau seseorang yang pernah terlibat dengan jenayah keseksaan atas jenayah syariah, terlibat dengan penyalahgunaan kuasa, rasuah atau korupsi atau mungkin pernah terlibat dengan gangguan seksual, penyalahgunaan dadah dan bahan-bahan memabukkan atau pernah terlibat dalam kes-kes pernipuan, pecah amanah dan seumpananya sudah barang pasti orang seperti tidak layak calonkan bagi mewakili rakyat.

Calon-calon ini hendaklah baik, bersih dan sentiasa terlihat bersih agar mereka kekal telus, juga adil dan saksama ketika menggalas amanah apabila di angkat mewakili rakyat. Dengan begitu barulah benar-benar terhormat bila bergelar YB, dengan kata lain semua parti-parti politik perlu memiliki calon masing-masing dari kalangan terbaik, bersih dan telus.

Parti-parti politik perlu menjadikan wakil-wakil, pemimpin dan aktivis mereka mempunyai keperibadian mulia. Disiplin tinggi adalah suatu kemestian, calon-calon pilihan raya yang ditonjolkan kepada umum wajib bersih sebelum, semasa dan sesudah selesai pilihan raya.

Saya tertarik membaca tulisan ZAM, wartawan dan tokoh politik UMNO suatu masa lalu mengenai disiplin tinggi parti sosialis DAP di Singapura.

“Di Singapura tidak ada anggota yang berani berbohong kepada Lee Kuan Yew atau kepada parti. Othman Wok mendedahkan dalam buku biografinya Never In My Wildest Dreams perihal Perdana Menteri Lee Kuan Yew telah memanggilnya dan mengarahkannya “berambus” jika tidak boleh selesai masalahnya yang berkahwin dua secara rahsia di Thailand.

Mulanya Rajaratnam Menteri Kanan memanggil Othman dan memberitahunya, “kami mendapat tahu saudara telah berkahwin isteri kedua sejak dua tahun lalu. Walaupun seseorang Islam boleh mempunyai empat isteri tetapi kami bimbang”.

Othman kemudiannya menemui Lee Kuan Yew dan menyatakan “Saya tahu bahawa saudara telah pun dimaklumkan dan Lee terus bertanya berapa umur isteri keduanya?” Othman menjawab 29 tahun. Ketika itu Othman telah pun mengetahui perlantikannya sebagai Duta Singapura ke Indonesia dengan jawatannya sebagai Menteri Hal Ehwal Masyarakat tetap dikekalkan.

Menyedari kesilapannya, Othman bertanya pada Lee apakah beliau masih dikehendaki untuk pergi ke Indonesia sebagai duta. Lee Kuan Yew memberitahunya. “Go ahead, but if you cant’t solve your problems, pack up” (Teruskan, tetapi kalau kamu tidak dapat menyelesaikan masalah ini, kamu perlu letak jawatan)

Di Malaysia berapa banyak skandal yang telah berlaku di bawah beberapa Perdana Menteri yang diketahui umum tetapi dipejamkan mata, disembunyikan atau “disapu di bawah tikar” begitu saja. Marilah belajar dari orang lain tentang integriti.

Calon-calon pilihan raya kali ini perlu betul-betul bersih dan kekal bersih, kalau nanti menyeleweng di saat telah berkuasa, kita juga perlu menegaskan kepada mereka “sila berambus dari kedudukan kalian”.

 

  • Penulis adalah Setiausaha Agung AMANAH dan akan bertanding di Parlimen Temerloh dalam PRU 14.

CATEGORIES
TAGS