Malaysia Dateline

Menjawab kenyataan media Presiden Pas tentang integriti Tabung Haji

Pertama, saya ingin menasihatkan Haji Hadi, sudah sampai masanya untuk beliau bersara daripada politik, tindakan itu adalah lebih wajar daipada mengeliru dan menghuru-harakan pemikiran para pengikut dan penyokong Pas.

Ada orang yang dulunya cerdik, tapi apabila menyertai Pas, atau jadi penyokong tegar Pas, semuanya jadi keliru dan haru biru, bukannya bertambah baik, bukannya bertambah cerdik, tapi rata-ratanya menjadi semakin amat berkurangan akan tahap kecerdikannya.

Apa masalah sebenar Haji Hadi? Terdapat dua masalah utama, pertama, beliau tidak memahami konteks bahasa dan kedua, beliau tidak memahami hakikat yang berlaku.

Perenggan pertama, Haji Hadi menyatakan:

“Saya mengikuti pendedahan terbaru ke atas pihak Tabung Haji (TH), melibatkan aspek pengurusan kewangan, pelaburan dan tadbir urus yang dipertikaikan.”

Saya jawab: Ya, Mujahid mendedahkan laporan audit PricewaterhouseCoopers berkaitan dengan unsur penipuan terhadap kedudukan kewangan TH, sebelumnya Mujahid telah mendedahkan dalam sidang Parlimen. Salinan laporan audit itu telah diberikan kepada setiap ahli parlimen. Apa masalah?

Perenggan kedua, Haji Hadi membangkitkan:

“Pas memandang serius terhadap tuduhan yang berlaku di dalam institusi kewangan terbesar umat Islam di Malaysia ini, namun Pas berpandangan adalah tidak wajar sekiranya pertuduhan ini dibicarakan melalui media oleh seorang Menteri yang masih mentah, sehingga boleh menimbulkan persepsi dan percanggahan maklumat yang mengelirukan.”

Saya jawab: Hakikatnya, itu bukanlah merupakan tuduhan. Itu merupakan satu pendedahan tentang satu bentuk unsur penipuan. Laporan audit ada disertakan. Apakah Haji Hadi sebenarnya memahami akan keadaan yang berlaku?

Mujahid mendedahkan senario yang berlaku di dalam parlimen, bukannya di luar Parlimen. Apakah itu merupakan satu kesalahan? Itu yang sepatutnya dilakukan oleh seorang menteri yang bertanggungjawab. Bukannya menyembunyikan setiap salah laku pihak yang terlibat. Itu perangai apa? Itu bukan dari ajaran Islam. Mujahid sebagai menteri yang bertanggungjawab mendedahkannya di dalam parlimen.

Apa perlunya Haji Hadi pusingkan ayat mengatakan pertuduhan terhadap TH dibicarakan melalui media oleh seorang menteri yang masih mentah? Apakah Haji Hadi memahami akan perkara ini?

Siapa yang dimaksudkan sebagai menteri yang masih mentah tu? Adakah Mujahid Yusof Rawa? Mentah dalam aspek apa? Kalau Mujahid dianggap sebagai Menteri yang mentah, Hakikatnya bagimana dengan kedudukan Haji Hadi sendiri, menteri apa yang beliau sandang?

Mujahid mendedahkan laporan audit bebas dalam parlimen, bukannya membicarakan tuduhan melalui media. Apa yang jadi viral dalam media sosial adalah berpunca dari kenyataan “kurang cerdik” oleh para pemimpin Pas sendiri, bukannya datang daripada Mujahid, sebagai Menteri yang bertanggungjawab ke atas TH.

Perenggan ketiga, Haji Hadi ada mengatakan:

“Pas menyarankan agar satu penilaian menyeluruh dikendalikan di bawah seliaan Majlis Raja-Raja (RCI) ataupun Parlimen, bagi meneliti dan mempertimbangkan setiap syor yang akan dikemukakan oleh juruaudit bebas yang telah dilantik, sebelum dilaksanakan oleh pihak Kerajaan yang masih baharu dan kerap membatalkan keputusan yang dibuat mereka sendiri.”

Saya jawab: Sekali lagi saya ingin bertanya, adakah Haji Hadi memahami tentang apa yang berlaku? Apa yang didedahkan oleh Mujahid adalah berdasarkan laporan dari juruaudit bebas, bukannya melibatkan penyata kewangan palsu, sebaliknya berkaitan dengan kedudukan kewangan sebenar TH, melibatkan liabiliti melebihi asset sebanyak 4.1 bilion.

Kewangan TH mengalami defisit yang sangat besar, akibat daripada unsur penipuan tersebut, TH telah membayar dividen kepada para pencarum sejak 2014, padahal TH telah melanggar syarat hibah iaitu aset tidak boleh kurang dari liabiliti dan mesti ada keuntungan yang boleh diagihkan.

Itu syaratnya, syarat itu merupakan undang-undang. Sekarang TH telah melanggar undang-undang sejak tahun 2014. Apa masalah sebenar Haji Hadi dan Pas? Pihak TH sendiri telah membuat dua laporan polis terhadap bekas Pengerusi TH, iaitu Azeez Rahim, Ahli Parlimen Baling sekarang, bahkan dia sendiri pun telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan sedang menunggu perbicaraan di mahkamah.

Haji Hadi menuduh kerajaan baharu yang kerap membatalkan keputusan yang dibuat sendiri, keputusan apa? Kerap tu berapa kali? Haji Hadi ni macam “burung tiong,” dia sendiri tidak memahami, apa sebenarnya yang dia cakap, cuma mengajuk apa yang para pengikut “bawahan dia cakap sahaja.”

Perenggan keempat, Haji Hadi membangkitkan:

“Pas juga menasihatkan agar Kerajaan tidak mempolitikkan isu ini sehingga merosakkan imej Tabung Haji, dan tidak bersikap berat sebelah dalam menjalankan siasatan terhadap kes rasuah dan penyelewengan melibatkan pemimpin Pakatan Harapan yang masih belum disiasat dan didakwa sehingga hari ini.”

Saya jawab: Pihak yang mempolitikkan isu ini adalah Pas sendiri, bukannya kerajaan. Kerajaan hanya menjalankan tanggungjawab. PAS sememangnya parti yang tidak bertanggungjawab, tidak telus, menyokong penipuan yang dilakukan UMNO, menyokong penyelewengan pemimpin UMNO, menentang ketelusan kerajaan PH. Itu yang cuba digambarkan oleh Haji Hadi. Imej TH tidak terjejas dengan pendedahan Mujahid, bahkan selepas pendedahan ini dan langkah kerajaan meletakkan TH di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM), akan membolehkan imej serta kredibiliti TH lebih menonjol.

Perenggan kelima, Haji Hadi menyatakan:

“Pas meletakkan keyakinan terhadap integriti dan profesionalisme di pihak Lembaga Pengarah, pengurusan tertinggi, pegawai dan kakitangan Tabung Haji dalam melaksanakan tugas bagi melindungi kepentingan para pendeposit Tabung Haji. Janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.”

Saya jawab: Ini bukan soal integriti dan profesionalisme lembaga pengarah, pengurusan tertinggi, pegawai dan seluruh kakitangan TH, Mujahid tidak sebut pun perkara yang berkaitan dengan hal ini. Mujahid hanya mendedahkan kesalahan yang berlaku sejak tahun 2014, hakikatnya, kesalahan tersebut bukannya dilakukan oleh semua pengurus, pegawai dan kakitangan. Mujahid tidak pun membangkitkan sebarang tuduhan terhadap sesiapa dan menyalahkan mana-mana pihak.

Mujahid menjelaskan bahawa laporan kewangan terdahulu adalah tidak betul, akibat daripada itu telah menyebabkan wujudnya beberapa kesalahan lain, termasuklah dalam proses pembayaran hibah.

Ini soal unsur penipuan, ini soal perlanggaran undang-undang, ini soal kewangan yang jumlahnya sangat besar. Ini bukan soal nila setitik rosak susu sebelanga.

Ini bukan soal “seekor kerbau membawa lumpur, habis terpalit semua kerbau sekandang.” Ini bukan soal hendak bermain dengan kata-kata, semata-mata untuk mengelirukan rakyat.

Realitinya, Pengerusi TH dahulu adalah pemimpin Umno. Mujahid mendedahkan kesalahan yang dilakukan oleh TH, Mujahid tidak pun menyebut nama sesiapa. Orang-orang Umno sendiri pun hanya mendiamkan diri, walaupun mereka tahu orang yang terlibat adalah orang daripada kelompok mereka sendiri, sebaliknya pihak yang paling lantang “marahkan” kerajaan PH adalah daripada kalangan para pemimpin Pas, soalnya kenapa? Apa kaitannya antara Pas dengan para pemimpin Umno tersebut?

Haji Hadi bersara sajalah daripada politik. Haji Hadi terlalu daif untuk bermain politik di alaf ini. Kedaifan Haji Hadi hanya memudaratkan umat Islam dan menjatuhkan imej Islam.