Malaysia Dateline

Menjawab tuduhan liar kelompok kecil cuba jatuhkan MB Negeri Sembilan

Setiausaha Politik Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Romli Ishak tampil menjawab tuduhan liar kelompok kecil yang cuba menjatuhkan Menteri Besar Aminuddin Harun.

Menurut beliau yang juga salah seorang penama disebut dalam kenyataan media 5 September baru-baru ini terpanggil untuk menjelaskan kedudukan sebenar parti dan persepsi rakyat terhadap kepimpinan kerajaan Negeri Sembilan hari ini.

Katanya, sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan negeri pada Mei 2018, beberapa cubaan telah dilakukan oleh kumpulan yang sama untuk menjatuhkan menteri besar termasuk usaha untuk bekerjasama dengan Umno.

Namun katanya, usaha mereka terhalang disebabkan kepimpinan menteri besar didukung kuat oleh pimpinan Pakatan Harapan negeri dan sebahagian besar pimpinan Cabang.

“Isunya sama, pangkat, kedudukan, jawatan, projek dan hal-hal yang berkaitan.

“Tidak ada langsung yang terkait isu rakyat, pembangunan negeri, reformasi urus tadbir serta pengukuhan parti di peringkat Cabang dan Ranting,” kata beliau dalam kenyataan.

Romli juga berkata, alasan yang diberi dalam sidang media tempoh hari dan dokumen yang disebarkan hanya sekadar tuduhan dan kekecewaan peribadi yang langsung tidak melibatkan soal prinsip perjuangan parti.

“Jika dilihat, mereka yang tampil dalam sidang media tersebut, semuanya berjawatan yang sewajarnya membantu mengukuhkan parti dan kerajaan negeri, sebaliknya mengkritik kepimpinan parti dan YAB MB yang mereka sendiri sebahagian daripada kepimpinan parti dan kerajaan negeri.

“Parti dan kerajaan tidak tertegak dengan hanya keberadaan seorang Pengerusi MPN dan Menteri Besar tetapi adalah kombinasi kepimpinan semua pihak secara kolektif,” katanya.

Beliau bersyukur beberapa tinjauan dan kajian umum yang dibuat secara imperikal sejak Suku Pertama 2020 hingga yang terkini, Suku Kedua 2021, sokongan rakyat semakin bertambah pada setiap tempoh suku tahun dan terkini, melebihi 70% (approval rate) kepada kepimpinan menteri besar dan kerajaan negeri.

“Sebagai parti yang berteraskan reformasi dan ‘Islah’, tertubuhnya gara-gara fitnah dan adu domba, seharusnya pihak pengkritik sudah matang dalam berpolitik.

“Budaya-budaya jelik dan bobrok ini seharusnya sudah tidak wujud dalam parti keramat ini.

“Namun kita agak terkilan dengan apa yang berlaku apabila segelintir kecil pimpinan parti yang sanggup menabur fitnah sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap kepimpinan menteri besar, kerajaan negeri dan parti di mata rakyat,” katanya lagi.

Romli juga mempersoalkan mengapa sidang media ini diadakan pada ketika Penggal Keempat, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) mula membuka tirai perbahasan pada 6hb September 2021?

Jelas tindakan ini katanya menggambarkan niat buruk penganjur yang ingin mengambil kesempatan memburukkan imej menteri besar dan parti dengan harapan tekanan yang diberi akan menyebabkan berlaku peralihan sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), namun apa yang berlaku sebaliknya.

“Tiada sebarang usul tidak percaya kepada menteri besar bahkan tidak ada mana-mana ADUN termasuk pembangkang yang menyuarakan hilang kepercayaan mereka kepada menteri besar.

“Ini jelas membuktikan bahawa dakwaan serta tuduhan liar tanpa asas kelompok kecil ini sangat tersasar jauh sekaligus menyerlahkan niat mereka yang sebenar.

“KEADILAN Negeri Sembilan dan rakyat negeri ini harus terus bangkit dari peristiwa ini untuk segera memacu negeri beradat ini agar gagah mengangkat martabat rakyat dan negeri menjadi negeri yang ‘Makmur dan Diberkati’,” katanya.

5 September 2021, satu sidang media bersama sekelompok individu yang mendakwa mereka pemimpin parti akar umbi yang turut dihadiri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) iaitu YB Dato’ Hj Ismail Ahmad, Ketua Cabang Rasah, ADUN Labu merangkap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar).