Menjawab tulisan ‘comot’ Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Menjawab tulisan ‘comot’ Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Membaca tulisan terbaru Dr Ridhuan Tee yang disisipkan oleh beberapa akhbar dan blog mengenai serangan terbaru beliau kepada Amanah, saya kira ia perlu dijawab agar projek pembodohan dan pembohongan terhadap masyarakat ini tidak diteruskan oleh pihak yang berselindung disebalik kostum akademik atau agama.

Diawal tulisan beliau, Dr Ridhuan Tee telah menyatakan bahawa yang membina Amanah tidak sedikit pun mencerminkan sikap amanah mereka. Malah beliau memilih untuk memuji Pas dan Umno walau kata beliau tidaklah mereka semuanya betul, namun tidak pernah pula mereka melabel diri mereka sebagai organisasi atau individu yang amanah.

Dr Ridhuan Tee dalam salah satu perenggan menyatakan nama Amanah itu adalah sifat mulia yang dimiliki nabi. Maka ianya tidak harus ada dalam nama parti politik. Apa pula pandangan terhadap perkataan Islam yang tertera pada ceraian akronim PAS? Itu lebih besar dan buruk mudaratnya pada Islam jika mahu dipersoalkan.

Pendaftar pertubuhan (ROS) melakukan kesilapan meluluskan nama Amanah

Dr Ridhuan Tee menyatakan bahawa ROS telah melakukan kesalahan apabila meluluskan akronim Parti Amanah Negara dengan perkataan Amanah dan sepatutnya PAN. Beliau juga menjadikan Umno, Pas, MIC, MCA, DAP, PKR, SUPP, UPKO, PBB, PBS sebagai contoh antara singkatan yang mudah dan tidak memakan banyak ruang.

Kata beliau alangkah kelakar apabila PAS menggunakan akronim Islam sebagai singkatan dan Umno pula dikenali dengan singkatan Melayu. Di sini saya kira telah bermula kedangkalan yang disengajakan oleh Dr Ridhuan Tee dalam membina tulisan terbaru beliau. Jika dipecahkan nama Pas dan Umno itu satu persatu maka secara jelas akan tersingkap perkataan Islam dan Melayu walau tidak kelihatan pada singkatannya.

Pas (Parti Islam Se-Malaysia) dan Umno (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu), maka di sana Dr Ridhuan Tee mungkin perlu membuat sedikit kajian ringkas yang tidak perlu mengambil masa yang panjang untuk memecahkan akronim 2 parti yang terang-terangan melabel jemaah dan golongan mereka sebagai Islam dan Melayu.

Maka Parti Amanah Negara memohon nama singkatan Amanah agar ia selari dengan nama parti dan tidak timbul soal mengelirukan orang awam jika media menggunakan akronim yang diluluskan oleh ROS. Mungkin ada baiknya Dr Ridhuan Tee menasihati Umno dan Pas untuk tidak memalukan nama bangsa dan agama dengan tindak-tanduk mereka mutakhir ini kerana mereka mendukung label yang lebih berat.

Jika menggunakan nama PAN sekalipun saya yakin Amanah itu tidak akan sunyi dari tohmah dan adu domba mereka yang “cemburu”. Pokok pangkalnya ialah tahap pemikiran musuh politik Amanah dan Pakatan Harapan(PH) itu bertembung atas premis dan isu yang bagaimana.

Dulu Keadilan dan kini PKR

Menyentuh isu nama KeADILan yang bertukar kepada PKR itu juga berlaku atas beberapa faktor. Untuk pengetahuan Dr Ridhuan Tee, awal penubuhan PKR dulu mereka dikenali dengan nama Parti Keadilan Nasional (KeADILan). Mereka juga awalnya punya kekangan yang sama sepertimana Amanah lalui dalam awal penubuhan parti.

Pada April 1990, ketika itu KeADILan juga mengambil alih sebuah parti kecil lalu ditukar nama setelah melalui beberapa prosedur. Namun selepas Pilihanraya Umum 1999, KeADILan dan PRM (Parti Rakyat Malaysia) bergabung atas prinsip perjuangan yang sama dengan menjadikan reformasi sebagai asas perjuangan lalu mereka menubuhkan Parti Keadilan Rakyat(PKR) pada 2003.

Cuma yang saya sedikit kehairanan, mengapa kes yang melibatkan PGRM (Gerakan), Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Barisan Jemaah Islam Se-Malaysia (Berjasa) terdaya pula Dr Ridhuan Tee menganggap akronim yang digunakan sebagai terpencil dan boleh diterima tanpa menyatakan asas penerimaan sepertimana beliau punya asas yang banyak mengapa ROS perlu menarik balik nama Amanah.

Dr Ridhuan Tee mungkin sengaja membiarkan masyarakat terbuai dengan ideologi kerasnya kerana beliau tidak menceritakan perihal sebenar apa yang cuba dilontarkan menerusi tulisannya melainkan ianya bersudutkan emosi berulang semata-mata. Apakah Dr Ridhuan Tee terlupa bahawa perlu juga Dr Ridhuan Tee beramanah dengan ilmu lantaran kewajipan menyampaikan perkara yang sebenar kepada rakyat?

Apakah isi 1 hinga 8, buah fikir terbaik Dr. Ridhuan Tee

Saya tidak mahu mengulas setiap satu daripada 8 isi yang diluncurkan dalam tulisan beliau kerana itu semua sering diguna pakai oleh musuh politik yang tidak setuju dengan Amanah, DAP dan PKR. Malah itu juga antara peluru kapur yang dihala oleh pejuang alam maya yang saban waktu menyerang koalisi PH. Cuma tidak sangka ianya turut diambil sebagai rujukan oleh sarjana seperti Dr Ridhuan Tee.

Setinggi-tinggi Dr Ridhuan Tee melambung Pas dan Umno dalam tulisannya. Mungkin kerana kedua-dua parti itu sudah senada dengan beliau. Beliau mempertikai mengapa mereka yang menang di atas tiket Pas tidak merasa malu kerana tidak mahu meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat yang dimenangi atas tiket Pas?

Biar saya pulihkan memori intelek Dr Ridhuan Tee yang mungkin sengaja dihilangkan untuk artikel beliau diangkat dan dijulang pengikutnya, pada 2 Pilihan Raya Umum yang lalu Pas, PKR dan DAP bertanding atas permuafakatan Pakatan Rakyat (PR). Maka di sana ada juga kerusi yang dimenangi PAS adalah hasil dari sokongan 2 lagi parti rakan dalam PR.

Mengapa tidak timbul pula soal pemulangan kerusi PAS kepada parti lain? Seteruk-teruk Umno pun saya jarang dengar mereka membincangkan ini dalam jangka masa yang lama. Jadi saya mohon Dr Ridhuan Tee mengeluarkan artikel atau tulisan berkaitan hasil kemenangan kerusi Pas yang dimenangi hasil sokongan ultra kiasu.

Cuma saya tertarik dengan isi kelapan iaitu yang terakhir, “Amanah mungkin amat takut dipanggil PAN sebab membawa papan dalam bahasa Cina dan kuali dalam Bahasa Iinggeris”. Jika Dr Ridhuan Tee mahu berfalsafah, lebih baik jadi papan jika ia boleh diguna membina rumah dan jambatan untuk perlindungan dan kemudahan yang bergelar manusia. Jika kuali sekalipun paling tidak jadi tempat menakung masakan yang akhirnya mengenyangkan perut insan.

Dan sudah tentu keduanya lebih baik daripada jadi terompah yang hanya dipakai bila perlu. Malah ia jarang diguna untuk bersiar-siar atau dalam majlis keraian.

Pesanan buat Dr. Ridhuan Tee

Moga kelantangan Dr Ridhuan Tee akan dipandang oleh pimpinan negara di Putrajaya. Malah saya berharap beliau juga berani dan lantang dalam membela nasib rakyat tanpa mengira agama serta bangsa yang semakin hari semakin tertekan sara hidup mereka. Sesekali apa salahnya Dr Ridhuan menebak pimpinan negara persoalan 1MDB atau kepincangan cukai GST.

Bukan hanya berani bersuara berkenaan ultra kiasu dan penyatuan Umno dan Pas, tetapi memikirkan bagaimana untuk mengharmonikan masyrakat dalam negara atau paling tidak bersama-sama membina politik yang matang dalam erti kata sebenar dan bukan omongan kosong.

Namun jika jawapan Dr Ridhuan Tee untuk Malaysia ini aman dan harmoni maka perlu dihapuskan ultra kiasu, saya nasihatkan Dr Ridhuan Tee bertanding pada PRU 14 yang akan datang jika berani.

COMMENTS

Wordpress (0)