Malaysia Dateline

Menjelang 13 Oktober: Presiden AMANAH nasihat ahli bertenang

Presiden AMANAH Mohamad Sabu menasihatkan kesemua ahli parti untuk tidak membuat sebarang spekulasi atau apa-apa kenyataan yang boleh mengguriskan hati mana-mana pihak.

Katanya, segala keputusan akan diserahkan sepenuhnya kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berikutan timbul pelbagai desas-desus berkaitan perubahan politik negara dalam tempoh terdekat.

“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia khususnya ahli-ahli AMANAH agar bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh mengguriskan hati mana-mana pihak.

“AMANAH yakin Ke Bawah Duli Tuanku Yang di-Pertuan Agong cukup arif dalam menguruskan perkara ini.

“AMANAH juga menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan dalam hal ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja berkata, pimpinan AMANAH akan bermesyuarat bagi menentukan hala tuju parti buat masa ini dan akan datang dengan penuh berhemah.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong esok bagi mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen seperti yang diumumkannya sebelum ini.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) bulan lalu mendakwa sudah memperoleh majoriti besar dan kukuh untuk merampas kembali kerajaan dari Perikatan Nasional (PN).

Ketika ini juga tersebar di media sosial yang mendakwa sejumlah 121 ahli Parlimen menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.