Malaysia Dateline

Menjelang 19 Disember: Ini 9 perkara anda perlu tahu tentang Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim

Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal berdepan usul undi percaya bagi menguji keabsahannya sebagai Perdana Menteri pada 19 Disember ini.

Hal itu merupakan ujian besar buat Menteri Kewangan yang juga Ahli Parlimen Tambun berkenaan selepas melengkapkan komposisi Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Pembentukan Kerajaan Perpaduan merupakan atas titah nasihat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ekoran negara mengalami situasi Parlimen tergantung.

Umum sedia tahu tiada parti politik yang menang majoriti untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu menyebabkan Seri Paduka Baginda mengemukakan cadangan Kerajaan Perpaduan yang menggabungkan parti politik hingga mendapat sokongan majoriti bagi membentuk kerajaan.

Setelah itu dapat dilihat berlaku perbincangan melibatkan wakil Barisan Nasional (BN) bersama Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) secara berasingan.

GPS dengan 23 Ahli Parlimen juga mengumumkan perubahan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bersama PH dan BN.

Manakala GRS dengan enam orang Ahli Parlimen pula mengumumkan meninggalkan PN untuk menyokong Anwar Ibrahim dan bersedia diambil tindakan kerana mereka adalah ahli-ahli PPBM.

Selepas Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja, Istana Negara mengumumkan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10 setelah gabungan PH, BN dan parti-parti lain berjaya memperolehi majoriti melebihi 112 (PH:82 dan BN:30); dan Istiadat Mengangkat Sumpah telah berlangsung pada 24 November lalu.

Blok kerajaan pada masa ini terdiri daripada 148 kerusi Parlimen manakala blok pembangkang iaitu Perikatan Nasional (PN) mempunyai 74 kerusi.

Selain PH dan BN, blok Kerajaan Perpaduan merangkumi 23 kerusi dimiliki Gabungan Parti Sarawak (GPS), GRS iaitu Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), Parti KDM (1), Parti Bangsa Malaysia (1) dan Bebas 2 kerusi Parlimen.

Ini adalah sembilan perkara anda perlu tahu tentang Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dipetik dari Jabatan Penerangan Malaysia:

1. Apakah maksud Kerajaan Perpaduan?

Kerajaan Perpaduan merupakan satu kerajaan yang menggabungkan parti politik yang menuntut semua pemimpin terlibat untuk mengenepikan kepentingan politik dan parti masing-masing demi kepentingan rakyat dan negara.

2. Bagaimana proses pembentukan sesebuah Kerajaan Perpaduan?

Kerajaan terbentuk daripada kemenangan majoriti parti dipilih menerusi amalan demokrasi berparlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 113 hingga Perkara 120 berserta Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan Perpaduan dibentuk atas titah nasihat Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah selepas negara berdepan keadaan Parlimen tergantung dengan bukti hemat dan kebijaksanaan Seri Paduka.

3. Adakah anda tahu apakah proses pemilihan Perdana Menteri di bawah bidang kuasa Yang Di-Pertuan Agong yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan?

Yang Di-Pertuan Agong menggunakan kebijaksanaan bersandarkan panduan Perlembagaan Persekutuan untuk menentukan seorang Perdana Menteri.

Perlembagaan Persekutuan Perkara 43(2)(b) yang menyebut Yang Di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

4. Mengapa perlu penjajaran baru parti-parti menang untuk pembentukan kerajaan?

Keputusan PRU 15 untuk pertama kalinya menyaksikan tiada parti politik yang mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Situasi ini menjadikan Parlimen tergantung dimana ia tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah negara. Justeru itu, ia memerlukan penjajaran baru parti-parti menang untuk pembentukan kerajaan.

5. Apakah peranan Perdana Menteri?

• Menasihati Yang Di-Pertuan Agong:
• Ketua Kerajaan;
• Membuat keputusan dasar kerajaan;
• Menentukan perjalanan dan tadbir urus Kabinet

6. Apakah keunikan dalam pelantikan Menteri Kabinet Kerajaan Perpaduan?

Kerajaan Perpaduan diwakili oleh ahli-ahli parlimen pelbagai kaum, agama dan rentas wilayah, dengan pelbagai kepakaran dan pengalaman bersama-sama untuk membina Malaysia yang stabil, maju dan makmur.

7. Bagaimanakah sistem demokrasi berparlimen dijadikan asas untuk menyelesaikan kemelut Parlimen tergantung?

Demokrasi Berparlimen bermaksud rakyat melibatkan diri dalam sistem pemerintahan negara. Raja-Raja Melayu pula menjadi lambang taat setia rakyat. Melalui sistem ini rakyat berpeluang membentuk kerajaan.

Rakyat juga bebas memilih perwakilan melalui pilihan raya. Melalui pilihan raya, rakyat berhak menyokong, mengekal atau menukarkan kerajaan yang sedia ada dalam proses pengundian semasa pilihan raya.

Walau bagaimanapun, apabila parlimen tergantung kerana tiada mana-mana gabungan parti berjaya mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan, kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri memainkan peranan penting dalam pemecah kebuntuan ini.

8. Adakah pelantikan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan di bawah bidang kuasa Perdana Menteri?

TIDAK. Pelantikan Jemaah Menteri bukan di atas kuasa penuh Perdana Menteri tetapi adalah berdasarkan cadangan nama Ahli Parlimen daripada parti-parti yang bersetuju untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

9. Apakah peranan dan tanggungjawab rakyat Malaysia dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen?

Rakyat hendaklah mematuhi undang-undang negara dan menghormati prinsip Rukun Negara. Sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan dan menjaga keharmonian serta perpaduan antara masyarakat.

Rakyat juga perlu menyokong dan tidak mempertikai serta memberi peluang kabinet Kerajaan Perpaduan membuktikan kemampuan untuk membentuk semula negara selepas mengalami beberapa siri ketidakstabilan politik dan ekonomi sebelum PRU15.

Kerajaan Perpaduan yang terbentuk adalah langkah penting dalam menamatkan kemelut ketidaktentuan politik dan Parlimen tergantung yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah negara.

Baca juga Selepas kecundang PRU15, Presiden PBM sertai Muafakat Nasional