Malaysia Dateline

Ambang 2020: Rakyat mesti diberitahu pencapaian kerajaan PH

Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi berkata, kerajaan perlu memastikan komunikasi yang berkesan ke akar umbi agar segala usaha dan kejayaan Pakatan Harapan (PH) mengetuk pintu setiap rakyat.

Beliau berkata, ketibaan tahun 2020 juga menuntut tindakan lebih tegas lagi pantas dari Putrajaya dalam menangani anasir-anasir subversif yang cuba mewujudkan ketegangan kaum dan agama.

“Tindakan pantas kerajaan PH perlu demi mengelak rasa tidak puas hati rakyat seolah-olah PH sangat lemah dalam menangani isu-isu tersebut,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Menyaksikan cabaran lebih getir pada tahun 2020, beliau berharap kerajaan PH lebih menumpukan usaha menurunkan kos sara hidup rakyat termasuk meningkatkan kuasa beli seiring peningkatan gaji pekerja.

Menurutnya, peluang pekerjaan yang lebih luas kepada rakyat pelbagai peringkat perlu disediakan serta terus menjana pembangunan melalui usaha giat menarik pelaburan asing.

“Rakyat khususnya sumber manusia di pasaran pekerjaan juga perlu dipersiap dalam menghadapi RI4.0 (Revolusi Industri 4.0),” jelasnya.

Khusus untuk anggota AMANAH sebagai parti komponen kerajaan semasa, Aiman Athirah mengingatkan pentingnya segenap peringkat meliputi pemimpin, ahli dan penyokong AMANAH menjiwai sifat rahmah dalam segala urusan terutama dalam menyantuni keperluan serta kegusaran rakyat.

“Perhebatkan aktiviti turun ke bawah dan bertemu akar umbi sekaligus menyantuni mereka.

“Dakwah bil hal diperkemas dengan mempraktiskan akhlak-akhlak yang mulia, saling menghormati dan memahami,” ujarnya.

Dalam masa sama, Aiman Athirah berharap agar AMANAH di peringkat nasional, negeri dan kawasan mengaktifkan program penerangan dan berkebajikan yang menyasarkan rakyat seluruh negara sepanjang tahun 2020.

“Usaha ini sekali gus dapat menyampaikan maklumat tentang segala inisiatif dan info-info berkaitan kerajaan PH,” katanya.

Dalam konteks PH pula, beliau menyeru agar paarti-parti gabungan segera memperkemaskan struktur dan organisasi di semua peringkat daripada nasional, negeri, Parlimen dan DUN, termasuk sayap-sayap wanita, pemuda dan wanita muda.

Demi melihat PH terus utuh dalam mengekalkan kerajaan pada PRU-15, Aiman Athirah menggesa agar peruntukan-peruntukan dalam Perjanjian PH dikuatkuasakan, antaranya disiplin organisasi, larangan membuat serangan dan kritikan terbuka antara satu sama lain.

“Kembali hidupkan peranan biro-biro dan unit-unit dalam PH dan pastikan mereka dapat berfungsi secara cemerlang sekali gus menjadikan mereka sistem penyokong paling relevan dan berkesan utk membantu kerajaan,” tambahnya lagi.