Menjelang Belanjawan 2019: Rakyat nantikan mekanisme rumah mampu milik

Isu rumah mampu milik dan lambakan rumah yang tidak terjual berlaku kerana terdapat jurang yang luas di antara penawaran dan permintaan, kata Muzzammil Ismail.

Ahli Royal Institute of Chartered Surveyor & Royal Town Planning Institute, United Kingdom itu berkata, rakyat memerlukan unit perumahan mampu milik iaitu mampu dibeli dan mampu disewa.

“Tidak sekadar mampu berhutang semata-mata… memudahkan rakyat berhutang semata-mata hanya akan meningkatkan kesan lain dalam jangka panjang.

“Yang membuat keuntungan berterusan ialah pemaju hartanah kerana mampu menawarkan unit perumahan kategori mewah atau sederhana mewah, berbanding menyediakan rumah mampu milik dan kos rendah,” dipetik dari BH Ahad hari ini.

Sehubungan itu, beliau berharap belanjawan kali ini lebih terarah kepada memperluaskan peruntukan bagi sewa beli kepada pembeli rumah pertama, di samping meningkatkan usahasama antara pihak kerajaan dan pemaju.

“Kerajaan perlu menyediakan dasar untuk mengawal unit rumah yang harganya pada tahap mampu milik melalui integrasi data di antara kerajaan-institusi kewangan-pemaju dan pembeli rumah secara lebih tepat bagi mengekang spekulasi kepada harga tanah dan rumah.

“Harus diingatkan suntikan haruslah bertepatan untuk menjalankan dasar lebih substantif selaras dengan aspirasi Malaysia baharu,” tulis Muzzammil lagi.