Malaysia Dateline

Menjelang cabaran ekonomi pada 2023, tumpuan negara perlu ke arah pertahan kebajikan rakyat

Negara bakal berhadapan dengan kekangan kewangan dalam suasana keadaan ekonomi dunia yang semakin tidak stabil, kata Menteri Ekonomi.

Mohd Rafizi Ramli (PH-Pandan) berkata, segala pendekatan yang digunakan pentadbiran kerajaan sebelum ini mungkin tidak lagi berkesan dalam menghadapi cabaran-cabaran yang terbaru ini.

Justeru, beliau memberi penegasan bahawa tumpuan kerajaan dan negara wajar dialihkan kepada usaha melindungi kebajikan rakyat.

“Keadaan ekonomi dunia juga dijangka akan menjadi lebih mencabar pada tahun 2023 dan sekiranya pergolakan geopolitik yang berlaku ini berterusan sudah tentu ada kemungkinan besar ekonomi dunia akan memasuki kemelesetan.

“Maka seluruh tumpuan negara sepatutnya perlu ke arah mengembleng setiap usaha untuk mepertahankan kebajikan rakyat daripada terkesan daripada masa dan cabaran ekonomi global ini,” katanya ketika membahas usul percaya terhadap Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, semalam.

Beliau berkata, negara sudah berada dalam keadaan yang betul-betul mencabar contohnya hanya sekitar 2 peratus daripada jumlah perusahaan yang ada di negara ini menyumbang lebih kepada 60 peratus kepada ekonomi negara melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Tambah Timbalan Presiden PKR itu lagi, sebahagian besar daripada syarikat-syarikat sebenarnya tidak mampu untuk menanggung gaji serta menghadapi cabaran ekonomi.

Bahkan, daripada segi agihan laba ekonomi kepada pekerja-pekerja, kadar di negara ini hanya 38 peratus berbanding negara-negara maju yang kadarnya melebihi 50 peratus.

“Sebab itu sebarang kejutan kepada ekosistem ekonomi negara akan ada kesan yang sangat besar kepada rakyat dalam tahun 2023 ini.

“Dalam keadaan juga keupayaan kewangan negara ataupun yang selalu disebut sebagai ruang fiskal menjadi lebih sempit,” katanya.

Tambahnya, parti-parti politik di negara ini seharusnya mengenepikan perbezaan dan mengusahakan satu Kerajaan Perpaduan untuk memberi tumpuan membela rakyat dalam keadaan yang cukup mencabar ini seperti mana yang telah dicadangkan oleh Yang Dipertuan Agong sebelum ini. 

Baca juga: Kestabilan Kerajaan Perpaduan penting tarik keyakinan pelabur