Malaysia Dateline

Menjelang fasa kedua PKP: Kekal duduk rumah tempuh fasa sangat getir

Dr Noor Hisham Abdullah dan pegawainya dalam sidang media baru-baru ini.

Genap memasuki minggu kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan rakyat Malaysia menjadi penentu untuk menghentikan penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, peranan setiap individu penting dalam meratakan lengkung pandemik yang membolehkan para petugas mempunyai lebih banyak masa dan kapasiti untuk menampung keperluan penjagaan kesihatan rakyat Malaysia.

Beliau berkata, biarpun situasi yang sedang berlaku kini adalah satu pengalaman baharu bagi rakyat Malaysia, namun sektor kesihatan sentiasa merancang dan bersiapsiaga untuk sebarang kemungkinan.

“Kita kini sedang melalui suatu tempoh yang sangat getir dan setiap seorang daripada kita telah pun terkesan akibatnya.

“Harapan kami pada masa ini adalah anda terus duduk di rumah dan kekal mematuhi PKP.

“Dengan penglibatan petugas daripada semua peringkat, kami melakukan yang terbaik demi memastikan keselamatan semua pihak.

“Sememangnya kesihatan anda tetap menjadi keutamaan kami,” katanya menerusi muatnaik Facebook beliau hari ini.

Pada masa sama, Dr Hisham turut menzahirkan penghargaan kepada petugas kesihatan yang komited menunjukkan iltizam tinggi dalam usaha memerangi ancaman wabak ini.

Katanya, kementerian menghargai setiap satu daripada usaha para petugas barisan hadapan yang mengorbankan masa dan keselesaan untuk berada di barisan hadapan.

“Dedikasi dan keikhlasan yang ditunjukkan oleh setiap petugas kesihatan dalam menghadapi pandemik yang luar biasa ini sememangnya menakjubkan. Terima kasih kepada anda semua.

“Kepada para penyumbang kami, sememangnya kami amat terharu tatkala menyaksikan kemurahan hati sebegitu banyak individu dan organisasi, kecil dan besar, tempatan dan antarabangsa.

“Bagi pihak petugas di barisan hadapan, saya ucapkan terima kasih,” katanya lagi.