Malaysia Dateline

Menjelang Festival Teater Islam Dunia anjuran PAKSI-Universitas Abdurrab

Kami pergi berenam. Walaupun rancangan menganjurkan Festivel Teater Islam Dunia di Pekanbaru, Riau pada 23-25 Ogos itu ditunda ke bulan Oktober-November nanti, kami tetap juga pergi demi meraikan Panggung Toktan (penganjur festival tersebut) mengadakan program Pra-Festival pada tarikh yang sama, sebagai ganti festival yang ditunda itu.

Kami yang berenam itu ialah Yassin Salleh BT, Dr Zainal Abd Latiff, Kassim Mohamad, Syed Shahir Syed Mohamud, AC Jaffri dan saya, yang mewakili Ziarah Karyawan Nusantara (ZKN), Pusat Teater Islam Dunia (PTID) dan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI).

Kami sampai di Lapanganterbang (Bandara) Sultan Sharif Kassim, Pekanbaru kira-kira jam 10.30 pagi waktu tempatan. Disambut oleh Toktan Aris Abeba, Imam Panggung Toktan (Imam ialah gelaran untuk Ketua Umum). Langsung dibawa ke Konsulat Malaysia Pekanbaru, bertemu dengan Konsul Wan Nurshima Wan Jusoh.

Teringat waktu pertama kali ke sana dua tahun lalu. Toktan mengaturkan jadual kami pada hari kedua bertemu dengan Konsul waktu itu. Tetapi dia tiba-tiba saja harus ke Kuala Lumpur, kata pejabatnya. Dan apabila disiasat wartawan berpengalaman dalam kelompok Toktan, rupa-rupanya dia membatalkan pertemuan kerana ada nama Yassin Salleh dan Dinsman dalam rombongan kami.

Itu cerita sebelum PRU-14. Konsul sekarang baru lagi bertukar ke situ. Dia dari kerajaan baru. Alhamdulillah, dia membawa semangat baru.

Tengah hari itu Mariana isteri Toktan menyediakan masakan istimewa untuk rombongan kami. Saya, Yassin dan AC sudah biasa dengan keluarga dan rumah Toktan di Jalan Hang Tuah Ujung itu. Saya memang suka dengan keluarga ini dan juga dengan rumah mereka yang sangat mempesonakan saya ketika pertama kali datang dulu, hingga saya terus menulis puisi di pagi hari pertama itu.

Toktan menyediakan penginapan kami di rumahnya waktu kedatangan pertama dan kedua. Tetapi kali ini kami diberikan bilik yang selesa di hotel Aryaduta. Tak tahulah kenapa. Katanya kerana ada Dr Zainal, Syed Shahir (mantan senator) dan Kassim yang baru pertama kali ke Pekanbaru.

Tak mengapalah walau apa pun sebabnya. Selesai makan tengahari yang sangat enak itu kami dibawa pula ke Perpustakaan Soeman HS Propinsi Riau. (Soeman HS itu bapa cerpen Indonesia). Ada beberapa hal menarik di perpustakaan ini, tetapi lain kali sajalah kita bercerita mengenainya.

Selepas itulah baru kami dibawa ke hotel Aryaduta. Tidak ada acara lagi hingga malam. Saya memang tak suka duduk-duduk saja di hotel, maka saya ajak Kassim, Syed dan Dr Zainal keluar mencari kedai kopi untuk minum-minum sambil mengenali satu sudut dari kota Pekanbaru.

Malam – sekali lagi kami ke rumah Toktan untuk makan malam. Dan selepas makan malam, Dheni Kurnia (tokoh wartawan dan penyair yang sedang masyhur namanya di Indonesia; juga ‘Buya’ Panggung Toktan) meletakkan beberapa buah durian di atas meja di depan kami untuk kami makan sepuasnya, sambil bersembang sekitar seni dan budaya.

Hari kedua, Jumaat pagi kami ke Universitas Abdurrab – sebuah universiti yang dimiliki oleh orang perseorangan bernama Tabrani Rabb, seorang doktor paru-paru dan penulis yang pernah dikenali juga di Kuala Lumpur, tetapi kini terlantar sakit dan lumpuh tidak sedar sudah tiga tahun, kecuali sesekali membuka matanya.

Kini universiti itu diuruskan oleh anak perempuannya Dr Susiana Tabrani. Dinamakan Universitas Abdurrab mengambil sempena nama ayah kepada Dr Tabrani Rabb, pendiri universiti itu.

Ada acara istimewa di Universitas Abdurrab pagi itu, iaitu Perasmian Galeri dan Sanggar Tabrani Rabb serta Lembaga Kajian Islam dan Alam Melayu, dan kami rombongan dari Malaysia menjadi tetamu istimewa mereka. Dr Zainal, Syed Shahir dan saya bersama dengan seorang tokoh tempatan menjadi panel sebuah forum sebelum acara perasmian berkenaan.

Dan selesai perasmian, (yang menyaksikan Dr Zainal Abd Latiff memukau hadirin dengan persembahan silatnya), berlangsunglah pula suatu upacara menandatangani MoU antara Universitas Abdurrab dengan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI). Saya mewakili Seniman Paksi Rakyat.

Ini sesuatu yang memang di luar jangkaan dan di luar pengetahuan saya sebelumnya. Tentulah ia diatur oleh Toktan Aris Abeba dan orang-orangnya.

Memang Toktan ada menceritakan kerjasama yang telah dijalin antara Panggung Toktan dengan pihak universiti tersebut. Sebelum ini kami (yakni Toktan Aris Abeba, Dheni Kurnia, Yassin Salleh dan saya) pernah berbincang dan merancang hendak menubuhkan akademi teater dan lakonan bertempat di Panggung Toktan.

Apa yang pernah kami rancang itu, kata Toktan, berkemungkinan akan dilaksanakan di universiti tersebut. Tetapi belum ada ketetapan yang dibuat. Dan kata Toktan lagi, Festival Teater Islam Dunia yang ditunda ke bulan November/Disember itu pun berkemungkinan sekretariatnya di universiti itu.

Hanya itu yang dimaklumkan oleh Toktan kepada saya dan Yassin Salleh. Dan apabila berada di universiti itu pada pagi Jumaat itu Toktan bertanya saya bagaimana kalau pihak universiti hendak mengadakan MoU? Saya ingatkan tentulah MoU dengan pihak Pusat Teater Islam Dunia (PTID).

Rupa-rupanya MoU antara universiti tersebut dengan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI). Dan program kerjasama yang pertama dari MoU ini, kata Toktan, ialah melaksanakan Festival Teater Islam Dunia (FTID).

Memang FTID itu adalah program PTID, bukannya program PAKSI. Tetapi tak dinafikan penggerak utamanya ialah PAKSI. Dan PTID pun belum lagi didaftarkan secara rasmi. Barangkali itulah rasionalnya mengapa MoU dibuat dengan PAKSI.

Namun sungguhpun begitu, ia adalah satu penghormatan yang sangat besar kepada saya dan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI). Semoga ia menjadi pendorong untuk PAKSI mengatur langkah-langkah ke depannya dengan lebih bersungguh-sungguh dan berani.