Malaysia Dateline

Menjelang gelombang ke 3 Covid-19, kenapa hospital masih kekurangan PPE

Ketika pihak yang tidak memerlukan pakaian perlindungan diri (PPE) memperagakan pakaian itu, kerajaan dipersoal kenapa pakaian itu tidak mencukupi untuk petugas barisan hadapan bagi melawan Covid-19.

Tambahan pula, ia berlaku ketika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan negara akan menghadapi gelombang ketiga wabak itu menjelang pertengahan April ini.

Aiman Athirah menyifatkan adalah sangat penting hal berkaitan PPE itu diuruskan dengan telus, jujur dan cekap.

Sehubungan itu, Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Senator Aiman Athirah Al Jundi menggesa kerajaan agar menjawab tiga soalan dilontarkannya berkaitan PPE yang tidak mencukupi.

Beliau yang cakna dengan petugas barisan hadapan negara terutamanya daripada sektor kesihatan, mengambil maklum bahawa hampir semua hospital masih mengalami kekurangan bekalan PPE.

Media baru-baru ini memaparkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamarudin memperagakan PPE dengan bertandanama MENTERI di atas dahinya.

Ekoran itu, beliau dikecam dan dipermainkan oleh warga media sosial dengan pelbagai cara.

“Mengapa masih berlaku masalah ketidakcukupan bekalan PPE di saat negara sedang memasuki gelombang ketiga, yang digambarkan sebagai tsunami pesakit Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan (KKM)?

“Apakah usaha dan jaminan pihak kerajaan bagi memastikan setiap pasukan barisan hadapan di semua Hospital Kerajaan dibekalkan dengan kelengkapan PPE yang mencukupi?

“Bagaimanakah mekanisme pengagihan PPE ke hospital-hospital yang memerlukan khususnya yang terlibat mengendalikan pesakit-pesakit Covid-19. Sejauh mana mereka itu diberi keutamaan?” soal beliau menerusi satu kenyatan.

Dalam pada itu, Aiman Athirah menyifatkan adalah sangat penting hal berkaitan PPE itu diuruskan dengan telus, jujur dan cekap.

Katanya, beliau tidak mahu sesuatu berlaku sepertimana yang terjadi di beberapa negara di luar sana.

“Kakitangan hospital (luar negara) mendapat arahan untuk menyembunyikan keadaan sebenar yang terpaksa dihadapi mereka, iaitu bekerja tanpa bekalan PPE yang mencukupi.

“Bahkan ada yang memberitahu mereka telah diberi amaran agar tidak melaporkan kepada pihak luar serta diberi kata dua, iaitu sama ada terus bekerja tanpa rungutan, atau pun bakal kehilangan pekerjaan,” katanya sambil berharap situasi sedemikian tidak akan berlaku di negara ini.

Berbalik semula kepada tiga soalan yang diajukan Aiman Athirah kepada kerajaan, beliau yakin jika persoalan itu dijawab dengan jelas, pihaknya dan masyarakat di negara ini akan bersedia menghulurkan bantuan sewajarnya.

“Saya yakin dan percaya, sekiranya keadaan sebenar dijelaskan kepada kita dan seluruh rakyat Malaysia, dengan segala kepakaran, kebolehan dan kemampuan masing-masing, kita semua sedia membantu menyediakan PPE demi negara dan pasukan barisan hadapan.

“InsyaAllah semua itu boleh dicapai dengan kerjasama dan kejujuran daripada pihak kerajaan itu sendiri,” ujarnya lagi.