Malaysia Dateline

Menjelang Hari Raya, rakyat mengadu kepada Agong risau pesakit mental bertambah

Laman rasmi Facebook Istana Negara hari ini dihujani rayuan rakyat yang rata-ratanya memohon Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk segera mengambil tindakan terhadap kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mengekang pandemik Covid-19.

Mereka juga cuba menarik perhatian Seri Paduka Baginda agar pentingnya kerajaan menutup semua sektor ekonomi selama dua minggu tetapi membuka kembali sidang Parlimen.

“Tuanku mohon agar kerajaan Tuanku tutup semua sektor ekonomi selama dua minggu. Dan juga mohon kerajaan Tuanku untuk buka Parlimen bagi membincangkan banyak perkara. Ampun Tuanku,” kata Rashid Samad.

Sementara itu, pengguna Facebook Puan Yana membangkitkan polisi pilih kasih dalam penguatkuasaan protokol kesihatan dalam mencegah penularan Covid-19 apabila golongan kenamaan daripada selebriti jutawan dan ahli politik tidak dikenakan hukuman tegas.

Beliau juga menyatakan rasa tertekan rakyat akibat siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan terkini berkuat kuasa esok hingga 7 Jun nanti dibimbangi akan menambahkan jumlah rakyat yang mengalami simptom depresi dan tekanan emosi.

“Daulat Tuanku. Tapi kerajaan tetap degil arahkan kilang-kilang dan tapak pembinaan dibuka. Kluster inilah kes paling banyak.

“SOP pun berat sebelah. Kalau menteri-menteri dah tak boleh tadbir, eloklah kiranya Tuanku saja ambil alih pemerintahan negara.

“Kami sebagai rakyat dah letih, stres, nak naik gila dah. Risau bukan hospital saja yang penuh dengan pesakit Covid-19 tapi pesakit mental sekali,” luahnya.

Untuk rekod, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tahun lalu telah memberi peringatan bahawa sejumlah besar populasi penduduk dunia akan terjerumus dalam tekanan mental dan mengalami penderitaan psikologi akibat pandemik Covid-19.

Hayat politik

Dalam masa sama, terdapat juga rakyat yang merayu kepada Agong agar tidak lagi melanjutkan tempoh darurat yang sebelum ini dirancang dilaksanakan sehingga 1 Ogos ini.

“Mohon jangan perpanjang darurat setelah sesi darurat ini tamat Ogos nanti. Kalau darurat diperpanjang, pasti majoriti rakyat akan tafsirkan sebagai konspirasi kerajaan untuk perpanjangkan hayat politik mereka.

“Takutnya pihak Istana juga akan dapat tempias rakyat nanti,” kata Anas Abd Jalil.

Bagi Tun Sazwan Jami’an pula berpendapat rakyat umumnya penat terhadap kerajaan sekarang yang berterusan menggunaaan pelaksanaan yang tidak memberi impak berkesan terhadap penurunan kes Covid-19.

“Ampun tuanku. Maaf, rakyat sudah patuh (SOP) cuma tak terbendungnya penularan adalah kerajaan orang politik yang makin rakus mempertahankan kerusi dan tak kurang juga yang tamakkan kuasa juga yang menginginkan kuasa.

“Semua pihak marhean telah memberi kerjasama, bagaimana pura dengan orang politik? Itu yang sebenar-benarnya rakyat muak dan memberontak.

“Mohon adakan timbal balik setiap keputusan yang kerajaan putuskan. Bimbang tidak akan ada kerjasama lagi dari pihak marhaen rakyat dengan kerajaan sekarang. Ampun tuanku,” katanya lagi.

Luahan rasa dan pendapat rakyat itu antara lebih 200 komen berserta hampir 300 perkongsian susulan hantaran Istana Negara di Facebook berkaitan titah terkini Agong.

Seri Paduka Baginda menasihati rakyat agar berada di rumah dan tidak keluar jika tiada keperluan mendesak, susulan pelaksanaan PKP di seluruh negara bermula esok hingga 7 Jun depan.