Malaysia Dateline

Menjelang kempen PRU15: Covid-19 pula kembali melambung 4,711 kes baharu

Menjelang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bermula, esok, jangkitan harian kes positif baharu Covid-19 di negara ini terus melambung.

Mengikut Kementerian Kesihatan (KKM), sebanyak 4,711 kes dilaporkan setakat malam tadi, berbanding 3,969 kes sehari sebelumnya.

Laman sesawang KKMNOW menunjukkan 4,704 kes adalah penularan tempatan manakala tujuh lagi kes import.

Angka itu menjadikan keseluruhan 4,914,557 kes sejak Covid-19 mula dikesan pada Januari 2020.

Sebanyak 1,591 kes aktif dilaporkan setakat tengah malam tadi menjadikan keseluruhan kes aktif 34,609 kes dengan 32,956 atau 95.2 peratus menjalani isolasi di rumah manakala 67 berada di wad Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ia termasuk 47 individu yang memerlukan bantuan pernafasan, manakala tiada kes dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Penggunaan katil ICU juga berada pada paras 62.4 peratus.

Sementara itu, jumlah korban akibat pandemik itu kekal sebanyak 36,480 apabila tiada kematian direkodkan semalam.

Daripada jumlah maut itu, 7,763 kes adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Akhir bulan lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata Malaysia kini berdepan gelombang kecil XBB, subvarian kepada varian Omicron yang dijangka mengakibatkan lonjakan jangkitan Covid-19 antara 3,000 hingga 5,000 kes sehari dalam beberapa minggu akan datang.

Menurutnya, KKM tidak pasti sama ada gelombang kecil tersebut akan berubah menjadi besar tetapi ia bergantung kepada tingkah laku masyarakat.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan berhati-hati sepanjang musim PRU15) ini.

Baca juga Tinggalkan tawaran dan cara lama – Bagaimana bakal YB respons kepada ‘masyarakat CCTV’?