Malaysia Dateline

Menjelang keputusan rayuan kes SRC: Mahkamah Rayuan tolak permohonan Najib

Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu bagi dipertimbangkan dalam rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) dihadapinya.

Bekas Perdana Menteri itu didapati gagal menunjukkan bukti tersebut adalah perlu dan tiada keadaan istimewa bagi membolehkan ia diterima oleh mahkamah.

Keputusan itu dibuat panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Dalam masa sama, mahkamah memutuskan prosiding keputusan esok berhubung rayuan Najib terhadap sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun akan diteruskan secara maya.

Ahli Parlimen BN Pekan itu juga pada 28 Julai tahun lalu dikenakan hukuman denda RM210 juta atas tujuh kesalahan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC.

SRC ialah subsidiari kepada syarikat pelaburan strategik negara penuh kontroversi, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 2 Disember lalu, Najib melalui peguamnya memfailkan permohonan untuk memasukkan bukti dan keterangan baharu membabitkan Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang didakwa boleh mengubah keputusan Mahkamah Tinggi.

Bukti baharu itu yang didakwa Najib, antaranya mendakwa bekas Gabenor Bank Negara itu bersekongkol dengan Jho Low bagi memudahkan ahli perniagaan dalam buruan itu menyeleweng dana 1MDB dan anak syarikatnya SRC International.

Pada 30 Julai tahun lalu, anak Perdana Menteri Malaysia kedua itu memfailkan notis rayuannya dengan mengemukakan 307 alasan kenapa dirinya tidak patut didapati bersalah terhadap kesemua tuduhan berkenaan.

Antara alasan dikemukakannya; Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali gagal menimbangkan Jho Low atau nama sebenarnya, Low Taek Jho menipu dan memanipulasi akaun bank miliknya ketika mensabitkan beliau terhadap tujuh tuduhan terbabit.

Beliau berkata, Mohd Nazlan terkhilaf dalam fakta dan undang-undang melalui penemuannya bahawa pembabitan Jho Low dalam arahan pengeluaran dana dan keterangan lain yang menunjukkan kegunaan dana SRC untuk kepentingan individu itu termasuk RM42 juta iaitu perkara pokok dalam tuduhan, bukan keterangan yang memihak kepadanya.

Hakim itu turut didakwa terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila mendapati beliau ada kepentingan dalam SRC dan membuat dapatan bahawa dana RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun beliau adalah milik SRC serta gagal menghargai bahawa ia datang daripada Ihsan Perdana Sdn Bhd yang tidak diperincikan dalam kertas tuduhan.

Mohd Nazlan juga didakwa terkhilaf apabila membuat dapatan pembelaannya mengenai sumbangan Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al Saud, melalui tiga surat adalah cerita dibuat-buat.

Pada masa ini, Najib, 68, dibebaskan selepas diikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin sementara menanti rayuan.