Malaysia Dateline

Mohamad Sabu

Menjelang Konvensyen Nasional AMANAH: Manifesto tidak sampai kepada rakyat antara dibahaskan

Manifesto tidak sampai kepada rakyat adalah antara isu yang akan dibahaskan oleh Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dalam konvensyen nasional parti itu, bermula Jumaat hingga Ahad depan.

Menurut Mohamad Sabu, manifesto yang telah dilaksanakan tetapi tidak sampai kepada rakyat, adalah perkara yang perlu ditekankan olehnya.

“Dalam konvensyen tersebut nanti, kita mahu mencari jalan agar manifesto itu sampai kepada rakyat.

“Selain daripada membahaskan isu manifesto, saya juga akan membahaskan isu berkaitan perpaduan dalam Pakatan Harapan (PH).

“Bagi saya, perpaduan dalam PH itu mestilah ada,” jawabnya secara ringkas kepada Malaysia Dateline ketika ditemui di Parlimen, semalam.

Sehubungan itu, Mohamad yang juga merupakan Menteri Pertahanan turut berharap agar pimpinan baharu yang dipilih kelak, akan menggalas tanggungjawab sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Sementara itu, Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub ketika ditemui pula berkata, konvensyen berkenaan adalah kesempatan terbaik untuk memilih barisan pemimpin berdasarkan rekod dan pengalaman mereka.

“Saya yakin dan percaya bahawa umur parti AMANAH yang menjangkau usia empat tahun ini sudah mempunyai ‘kedewasaan’ dalam menentukan kepimpinan di semua peringkat khususnya dalam kalangan orang muda yang berminat dengan AMANAH,” kata Ahli Parlimen Pulai itu.

Ditanya apakah isu yang wajar dibangkitkan oleh perwakilan dalam konvensyen kali ketiga itu, Salahuddin mempunyai jawapannya tersendiri.

“Daripada segi konteks berkerajaan, saya berpendapat perwakilan harus membahaskan tentang keupayaan kepimpinan AMANAH yang kini sedang menerajui kerajaan.

“Justeru itu, saya menggalakkan supaya perwakilan memberikan pandangan dan teguran mereka kepada kepimpinan yang diberikan peluang untuk menerajui kementerian-kementerian,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Salahuddin berpendapat usul untuk memperkukuhkan parti perlu menjadi keutamaan.

“Usul untuk memperkukuhkan parti juga seharusnya menjadi keutamaan. Ini (memperkukuhkan parti) penting supaya kita tidak terleka dan tersasar.

“Semestinya ada perwakilan yang sentiasa cuba untuk memastikan parti tetap kukuh, dan kepimpinannya juga perlu lebih komited untuk parti ini meluncur jauh ke hadapan,” ujar Salahuddin yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Konvensyen Nasional AMANAH pada 6 hingga 8 Disember depan akan berlangsung di Pusat Konvensyen IDCC, Shah Alam.
Konvensyen parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang bertemakan ‘Kestabilan Memacu Kemakmuran Bersama’ kali ini menyaksikan pemilihan pertama selepas menjadi kerajaan.